Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 7 Dis 2024 – Seramai 4870 graduan pelbagai peringkat pengajian iaitu ijazah doktor falsafah (123), sarjana (329), sarjana muda (3492) dan diploma (926) dianugerahkan ijazah masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke-24 yang diadakan pada 7 hingga 12 Disember 2024 ini. 

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang juga Canselor UTHM telah menyempurnakan sidang pertama istiadat konvokesyen yang berlangsung pada 7 Disember bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

DYAM Tunku Ismail dalam titahnya menyeru kepada UTHM agar terus meningkatkan produktiviti secara efisien dan komited dalam memastikan perancangan dan pelaksanaan misi dan visi universiti tercapai. 

“Saya akan terus memantau prestasi UTHM dari semasa ke semasa agar ia terus relevan dan mampu melahirkan graduan yang mempunyai iltizam sekali gus dapat digunakan sepenuhnya ke arah pembangunan negara,” titah Tuanku Canselor.

Tuanku Canselor turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan selain mengingatkan mereka agar dapat meningkatkan lagi kemahiran masing-masing supaya lebih berdaya saing untuk menghadapi dunia pekerjaan sebenar.

Dalam sidang tersebut, Tuanku Canselor turut berkenan menyampaikan anugerah gelaran ‘Profesor Emeritus’ kepada Profesor Dr. Ahmad Tarmizi Haji Abd Karim bagi menghargai penglibatan dan sumbangan beliau dalam dunia pendidikan tinggi, industri, komuniti dan kepimpinan.

Beberapa anugerah akademik seperti Anugerah DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Sultan Ibrahim, Anugerah Canselor, Anugerah Tan Sri Dato’ Paduka Hajjah Aishah Ghani, Anugerah Akademik Yayasan UTHM, Anugerah UTHM Holdings, Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik, Anugerah Khas Alumni UTHM (Kategori Akademik), Anugerah Kecemerlangan Lembaga Jurutera Malaysia, Anugerah Wakaf & Endowmen, Anugerah Tesis Terbaik (Ijazah Kedoktoran) dan Anugerah Tesis Terbaik (Sarjana Penyelidikan) turut diberikan kepada graduan terpilih.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Haji Azmi Rohani yang juga Pro-Canselor UTHM; Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM; Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Naib Canselor UTHM; Datuk Dr. Haji Mohd Puad Zarkashi, Speaker Dewan Negeri Johor; Tuan Aznan Tamin Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor wakil rasmi Menteri Besar Johor; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor, Ahli-Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor dan Tuan Haji Zainor Adani, Pegawai Daerah Batu Pahat.

Bagi merai graduan dan memeriahkan lagi Konvokesyen UTHM ke-24 kali ini, pelbagai acara sampingan turut diadakan antaranya Festival Konvokesyen 2024 yang menyajikan lebih 200 gerai pelbagai variasi jualan dan Majlis Pemakaian Hud bagi meraikan kejayaan graduan pasca siswazah yang menamatkan pengajian secara penyelidikan. 

Dengan berlangsungnya istiadat konvokesyen kali ke-24 ini maka jumlah alumni UTHM akan mencatatkan penambahan menjadikan bilangannya sebanyak 62067 orang.

 

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Kosmo (kosmo.com.my), 7 Disember 2024: 4,870 graduan terima ijazah sempena Konvokesyen ke 24 UTHM

4,870 graduan terima ijazah sempena Konvokesyen ke 24 UTHM

 

2. Utusan (utusan.com.my), 7 Disember 2024: 4,870 graduan terima ijazah Konvokesyen ke-24 UTHM

4,870 graduan terima ijazah Konvokesyen ke-24 UTHM