TURKIYE – Sekumpulan penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) antara 213 peserta yang terpilih menyertai Program Global Student Leadership Summit 2024 (GSLS ’24) yang berlangsung pada 7 hingga 14 September 2024 lalu bertempat di Universiti Istanbul, Turkiye.

Program anjuran bersama Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti-Universiti Malaysia (MAKLUM), Yayasan Perkasa Siswa dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) itu melibatkan 85 pembentang terdiri daripada mahasiswa tempatan dan antarabangsa, serta 50 peserta daripada luar negara.

Penganjuran program itu juga turut disokong oleh TalentCorp, RHB Bank dan Tourism Malaysia.

Objektif utama penganjuran program tersebut ialah untuk memberi pendedahan kepada pelajar universiti awam (UA) menonjolkan bakat kepimpinan dan pembangunan pelajar di peringkat antarabangsa.

Pelbagai aktiviti GSLS’24 telah disusun sepanjang tempoh tersebut antaranya penganjuran forum, sesi pembentangan kertas kerja, sesi dialog kepimpinan dan jelajah kampus bagi mencapai objektif program.

Peserta juga diberi peluang untuk meneroka bandar Istanbul di samping mempelajari dan menghayati sejarahnya.

Sementara itu, Majlis Perasmian Penutupan Program Global Student Leadership Summit 2024 pula telah diadakan pada 10 September 2024 lalu bertempat di Fakulti Sains Politik, Universiti Istanbul.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Konsul / Ketua Canselori, Kedutaan Besar Malaysia ke Türkiye, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Mardiah Sabri.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, Hirman Awang, yang juga wakil rasmi Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi; Dekan Fakulti Sains Politik, Universiti Istanbul, Prof. Dr. Aden Esen dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin merangkap Pengerusi Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti- Universiti Malaysia (MAKLUM).

UTHM turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta, pembentang dan sekretariat atas kejayaan penganjuran program itu dan diharapkan program seumpama itu mampu memberi pengalaman baharu kepada semua yang terlibat.