Oleh Lina Zainal
KUALA LUMPUR – Bagi memajukan lagi penguasaan dan penilaian bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalinkan kerjasama bersama Pearson Ltd setelah menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) pada 31 Julai 2024 lalu bertempat di Menara Binjai, Kuala Lumpur.
Melalui kerjasama itu, UTHM akan menjadi pusat pendaftaran untuk Pearson Test of English Academic (PTE Academic), iaitu satu ujian penguasaan bahasa.
Manakala Pearson Ltd pula akan menyelia latihan bagi jurulatih ujian dan memastikan standard tinggi penilaian bahasa di UTHM.
Termeterainya kerjasama itu juga membolehkan UTHM menggunakan lambang ‘Pearson’ dalam sebarang aktiviti promosi yang akan dilaksanakan.
MOU tersebut diwakili oleh Dekan Pusat Pengajian Bahasa, UTHM, Profesor Madya Dr. Azmi Abdul Latiff selaku wakil rasmi Naib Canselor manakala Pearson Ltd pula diwakili oleh Pengurus Hubungan Kerajaan dan Perkongsian Asia, Matt Lampkin.
Hadir sama, Ketua Pusat Sains Komunikasi UTHM, Profesor Madya Dr. Siti Noor Fazelah Mohd Noor, Pengurus Serantau Pearson, Cheah Su Ming, Pegawai Utama Pesuruhjaya Tinggi British dan Pengurus Hubungan Pelanggan Bahagian Akademik, Gordon Vanstone.
Pertemuan tersebut turut membincangkan hala tuju dan potensi kerjasama lain yang boleh dilaksanakan oleh UTHM bersama Pearson pada masa akan datang.
”Kerjasama ini dilihat bukan sahaja dapat mengangkat kedudukan UTHM sebagai pusat kecekapan bahasa, tetapi juga menjadikan UTHM sebagai institusi pendidikan pertama di selatan tanah air yang menjalin kerjasama dengan Pearson Ltd,” kata Dr. Azmi.