Oleh Prof. Madya Dr. Mohammad Zulafif Rahim, Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi universiti awam pertama memiliki Organisasi Latihan Juruterbang Kawalan Jauh (RPTO) setelah mendapat pengiktirafan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAMM).

Sijil Kelulusan RPTO di bawah syarikat terbitan UTHM, Avitex Solution (M) Sdn. Bhd. itu telah diserahkan kepada Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim oleh Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Dato’ Kapten Norazman Mahmud bertempat  di ibu pejabat CAAM, Putrajaya pada 20 Jun 2024 lalu.

Hadir sama, Pengurus Bertanggungjawab RPTO, Prof. Madya Dr. Mohammad Zulafif Rahim, Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Prof. Ts. Dr. Amir Khalid dan Pegawai-pegawai Kanan UTHM, CAAM dan pemegang jawatan-jawatan utama RPTO.

Menurut Dr. Zulafif, penerimaan sijil kelulusan tersebut membuka lembaran baharu kepada UTHM dalam membekalkan persijilan kompetensi berkaitan dron yang diiktiraf CAAM bukan sahaja tertumpu kepada pelajar universiti, malahan kepada komuniti luar yang merangkumi industri, agensi kerajaan, badan-badan berkanun serta masyarakat umum.

“Pengoperasian di dalam persekitaran kampus utama UTHM di Batu Pahat ini memberi kelebihan kepada RPTO dalam memastikan program persijilan profesional dron dapat dijalankan di dalam suasana pembelajaran yang lebih kondusif.

“Mutu perkhidmatan yang diberikan juga setanding dengan program akademik di universiti yang mana ia disampaikan oleh tenaga pengajar dengan latar belakang bidang aeronautik,” katanya.

Untuk rekod, sokongan CAAM kepada UTHM telah lama terjalin menerusi kewujudan komponen pelesenan dalam program akademik di bawah FKMP iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penerbangan Professional) Dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penyenggaraan Pesawat Terbang) Dengan Kepujian.

Program-program tersebut menganugerahkan pelajar dengan ijazah sarjana muda berserta lesen profesional yang diiktiraf oleh CAAM.

Hubungan erat UTHM-CAAM dan penubuhan Syarikat Avitex Solution sebagai RPTO menunjukkan komitmen universiti dalam memperkukuh bidang tujahnya serta membangunkan profesional TVET berkemahiran tinggi yang dapat memacu inovasi dan pertumbuhan dalam industri aeroangkasa Malaysia.

Ia sejajar dengan hasrat negara, Kementerian Pendidikan Tinggi dan universiti untuk memperkukuhkan tenaga kerja TVET menerusi persijilan profesional.

Melalui RPTO ini, UTHM tidak hanya menyediakan latihan teknikal dan persijilan profesional, malah juga menggalakkan penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi dron yang akan membuka peluang baharu dalam industri pengangkutan dan logistik, keselamatan serta pemantauan alam sekitar.

Tambah Dr. Zulafif, selaku syarikat terbitan UTHM, Avitex juga memainkan peranan penting dalam membekalkan servis khidmat nasihat pembangunan teknologi dron kepada industri, memberi perkhidmatan latihan dron profesional dan memberi perkhidmatan kepada komuniti menerusi pelbagai program bagi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Penubuhan RPTO memberi peluang kepada Avitex untuk memberi komitmen penuh dalam menyokong ekosistem industri dron yang kini berkembang pesat di Malaysia.

“Pencapaian itu mencerminkan komitmen UTHM dalam memperkukuhkan industri pengangkutan di Malaysia, terutama dalam bidang penerbangan dan teknologi dron.

“Dengan kewujudan inisiatif ini, UTHM menyumbang kepada matlamat negara untuk menjadi peneraju dalam sektor teknologi maju,” tambah beliau.

 

Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim menerima Sijil Kelulusan RPTO oleh Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Dato’ Kapten Norazman Mahmud bertempat di ibu pejabat CAAM, Putrajaya pada 21 Jun 2024 lalu.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Buletin Tv3 (buletintv3.my), 23 Jun 2024: UTHM universiti awam pertama dapat lesen kendali Latihan Juruterbang Kawalan Jauh (RTPO) diiktiraf CAAM

https://www.buletintv3.my/nasional/uthm-universiti-awam-pertama-dapat-lesen-kendali-latihan-juruterbang-kawalan-jauh-rtpo-diiktiraf-caam/

 

2. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 23 Jun 2024: UTHM muncul universiti awam pertama miliki RPTO

https://malaysiagazette.com/2024/06/23/uthm-muncul-universiti-awam-pertama-miliki-rpto/

 

3. Utusan Borneo Online (utusanborneo.com.my), 23 Jun 2024: UTHM muncul universiti pertama miliki RPTO

https://www.utusanborneo.com.my/2024/06/23/uthmm-muncul-universiti-pertama-miliki-rpto

 

4. Bernama (bernama.com), 23 Jun 2024: UTHM MUNCUL UNIVERSITI AWAM PERTAMA MILIKI RPTO

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2310498

 

5. Bernama (bernama.com), 23 jun 2024: UTHM MALAYSIA’S FIRST PUBLIC UNIVERSITY TO HAVE RPTO CERT

https://www.bernama.com/en/general/news.php?id=2310507

 

6. Malaysian Tribune (malaysiantribune.com), 24 Jun 2024: UTHM MALAYSIA’S FIRST PUBLIC UNIVERSITY TO HAVE RPTO CERT

https://malaysiantribune.com/uthm-malaysias-first-public-university-to-have-rpto-cert/

 

7. Borneo Post (Kuching) (page: 8), 24 Jun 2024: UTHM Malaysia`s first public varsity to have RPTO certificate