TENGGARA – Bagi menyantuni masyarakat setempat dengan pelbagai aktiviti bermanfaat, 80 peserta terdiri daripada pelajar, pensyarah dan staf pentadbiran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai program ‘Dengan Menunggang Kita Meneroka: Konvoi Mahasiswa ke Bandar Tenggara’ pada 25 Mei 2024 lalu.

Menurut pengarah program, Ariff Lukman program konvoi mahasiswa itu merupakan anjuran Persatuan Pelajar Mekanikal (PPM), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) dengan kerjasama syarikat Prima Garage Motorsports (PGM) Capitol, Parit Raja Bikers Club (PRBC), Batu Pahat Bikers Club (BP Bikers) dan Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib.

“Berbekalkan slogan Menungang Untuk Meneroka, program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar UTHM tentang kemahiran menunggang motosikal secara profesional sambil menyantuni masyarakat di sekitar Parlimen Tenggara bagi mengeratkan lagi hubungan antara universiti-komuniti,” katanya.

Selain berkonvoi, program tersebut turut diisi dengan Kursus Praktikal Menyelenggara Motosikal, uji cuba motorcross secara percuma, Pameran Jentera Motorcross GASGAS, Pameran Motorsikal Berkuasa Tinggi KTM, cabutan bertuah, pertandingan Tenggara Menjerit dan Motor Kreatif serta jualan rakyat.

Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, FKMP, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rasidi Ibrahim, program tersebut merupakan program konvoi kali pertama dianjurkan melibatkan pelajar UTHM, komuniti setempat dan industri.

“Program seumpama ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang industri permotoran di samping dapat mempelajari teknik mengendalikan motosikal secara berhemah dan penyelengaraan motosikal.

“Kerjasama di antara PGM dan UTHM juga membuka ruang kepada staf dan pelajar untuk memperoleh sijil-sijil kompetensi bagi menyelenggara motor,” tambah beliau.

Acara perlepasan konvoi telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Sr Ts. Dr. Lokman Hakim Ismail yang turut mengetuai konvoi pelajar ke Stadium Bandar Tenggara sejauh 82 km.

Ketika berada di Stadium Tenggara, pelajar UTHM turut mengambil peluang untuk mencuba mengendalikan jentera motorcross GASGAS di litar sebenar dan juga membantu mekanik profesional dari PGM untuk menyelengara motosikal peserta konvoi dan masyarakat setempat yang hadir.

Selain itu, peserta konvoi dan masyarakat setempat juga turut menyertai Pertandingan Bunyi Ekzos Berirama, Tenggara Menjerit Dan Pertandingan Motor Kreatif yang diadili oleh juri profesional seperti Pengerusi PRBC, Pelumba GASGAS PGM dan Penolong Naib Canselor (Digital Dan Infrastruktur), UTHM, Prof. Ir. Dr. Md Saidin Wahab.

Sementara itu, majlis penutup pula telah disempuranakan oleh Ketua Pemuda Umno Bahagian Tenggara, Dr. Muhd Naqib Ghazali yang juga wakil rasmi Ahli Parlimen Tenggara.