Oleh Azlan Wanti

PAGOH, 12 Mei 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Muar melancarkan Program ‘Community Policing’ yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan mahasiswa.

Program tersebut diadakan bertujuan menyediakan platform kepada para pelajar untuk mendapatkan pendedahan awal berkaitan jenayah melalui ceramah pencegahan jenayah yang diberikan oleh empat bahagian utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Bahagian Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik serta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.

Selain itu, pendedahan mengenai bahaya jenayah serta trend terkini jenayah di Malaysia turut diberikan kepada para pelajar dengan harapan agar mereka dapat mengelakkan diri daripada terlibat secara langsung ataupun sebagai mangsa.

Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad dalam ucapannya berkata program tersebut bertujuan untuk menjalin hubungan yang erat antara UTHM dan PDRM, serta sebagai usaha meningkatkan keselamatan dan ketenteraman dalam kalangan warga kampus.

“Program Pelancaran ‘Community Policing’ ini diharapkan dapat diadakan secara berterusan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman seluruh warga HPTP khususnya UTHM Kampus Pagoh.

“Ini adalah langkah positif dalam memupuk kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan pihak berkuasa keselamatan untuk mencapai komuniti yang lebih selamat dan harmoni,” tambah Dr. Afandi.

Program itu telah disempurnakan oleh Ketua Polis IPD Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh pihaknya dan akan terus komited dalam memastikan keamanan di kampus Hub Pendidikan Tinggi Pagoh.

Turut hadir ke majlis pelancaran itu, Pengarah SPK KPT, Huzaimi Amir Zainudin,Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supt. Muhammad Aidil Roneh Abdullah, wakil pengurusan tertinggi IIUM, UTM, PTSN, SDPS, Pegawai Kanan UTHM Kampus Pagoh serta ketua-ketua jabatan dari IPD Muar dan para pelajar Hub Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP).

Majlis tersebut turut menyaksikan empat pegawai polis telah ditauliahkan oleh Ketua Polis Daerah Muar sebagai Pegawai Perhubungan Universiti kepada keempat-empat universiti yang berada di HPTP.

Mereka bertindak sebagai penasihat dan penghubung PDRM bagi program keselamatan dan pencegahan jenayah di universiti masing-masing.

Selain itu, program latihan dalam perkhidmatan secara gabungan berkaitan peranan Polis Bantuan telah diadakan melibatkan penyertaan semua anggota keselamatan HPTP.

Manakala satu sesi Mesyuarat Permuafakatan bersama PDRM juga turut diadakan sebelum majlis perasmian bagi menjalin hubungan dan kerjasama yang erat antara pengurusan tertinggi semua institusi dan agensi HPTP dengan PDRM IPD Muar.