BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya memperoleh pensijilan 2-Star Energy Management Gold Standard (EMGS) ketika berlangsungnya Majlis Penganugerahan Sijil Energy Management Gold Standard (EMGS) di bawah ASEAN Energy Management Scheme (AEMAS) pada 21 Mei 2024.

UTHM juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Kategori Pencapaian Terbaik Bagi Sub Kategori Institusi Pendidikan sekali gus merangkul dua anugerah dalam majlis tersebut.

Pengiktirafan dan anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam majlis yang diadakan di di Hotel EQ Kuala Lumpur.

Untuk rekod, UTHM sebelum ini pernah memperoleh pensijilan 1-Star EMGS pada tahun 2020.

Proses penilaian bagi pensijilan 2-Star EMGS ini telah dikendalikan oleh Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) menerusi tujuh komponen utama iaitu pengurusan, organisasi, proses, informasi, kewangan, tanggungjawab korporat dan pencapaian dengan berpandukan kriteria yang ditetapkan.

Pensijilan 2-Star EMGS itu membuktikan UTHM berjaya mencapai pengurangan penggunaan tenaga menerusi kempen dan inisiatif yang dijalankan.

Pengarah Pejabat Kampus Lestari (SCO), Profesor Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir berkata pihaknya bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan proses awal hingga selesai pensijilan 2-Star EMGS ini yang telah diselaraskan oleh Pengurus Tenaga Universiti, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd Fairouz Mohd Yousof.

Tambah beliau, kejayaan ini turut dibantu oleh Pejabat Pembangunan dan Penyenggaraan (PPP), UTHM yang telah melaksanakan inisiatif penjimatan tenaga bermula pada tahun 2015.

Proses pengurusan tenaga, pengumpulan data dan penyediaan laporan telah dilaksanakan secara bersama oleh SCO dan PPP dengan dibantu oleh Jawatankuasa Pengurusan dan Kecekapan Tenaga Universiti (JPKTU) dan Jawatankuasa Pelaksana Pengurusan dan Kecekapan Tenaga Universiti (JPPKTU) bermula pada tahun 2020 lagi.

“Dokumen lengkap telah diserahkan kepada pihak MGTC pada pertengahan Julai 2022, manakala sesi penilaian pula telah dijalankan pada 27 – 29 Disember 2022.

“Pihak kami juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengurus Tenaga Universiti, Prof. Madya Dr. Mohammad Kamil Abdullah, PPP, JPKTU, JPPKTU, Pusat Tanggungjawab (PTj) serta semua pihak yang terlibat dalam proses pengumpulan data dan penyediaan laporan bagi pensijilan 2-Star EMGS ini.

“Usaha dan kerjasama daripada semua pihak membuktikan kejayaan ini bukan hanya memberi pengiktirafan dan penarafan yang bermakna kepada UTHM, malah dapat membantu universiti mengurangkan kos perbelanjaan utiliti melalui inisiatif penjimatan yang dilaksanakan, selain menjadi budaya murni kepada warga kampus,” katanya.

Tambah Prof. Aeslina, SCO akan terus berusaha untuk membantu UTHM dalam aspek pengurusan tenaga dan meningkatkan lagi agenda kelestarian kampus, selain meletakkan sasaran pencapaian 3-Star yang menjadi pensijilan tertinggi di bawah EMGS oleh ASEAN Energy Management Scheme.