Oleh Prof. Madya Sr Dr. Mustaffa Anjang Ahmad, Sr Dr. Nazirah Mohamad Abdullah
BATU PAHAT, 25 April 2024 – Pusat Geomatik Gunaan dan Pencegahan Bencana (CAGeD) Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Institut Latihan Perindustrian Mersing (ILP) telah menganjurkan Program Persijilan Kompetensi Teknologi Dron selama tiga hari bermula pada 23 sehingga 25 April 2024 bertempat di kampus induk.
Program yang julung kalinya dilaksanakan di UTHM itu melibatkan pelajar tahun akhir dan 26 pelajar pasca siswazah dari FKAAB, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), selain lima penyelidik utama dari CAGeD, FKAAB sebagai peserta.
Program itu merupakan salah satu inisiatif bagi memberi peluang kepada pelajar terutamanya pelajar tahun akhir untuk mendapatkan Sijil Kompetensi Operasi Dron (SKOD) yang diiktiraf dan dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia Malaysia.
Persijilan ini diselia oleh staf yang berpengalaman dari ILP mersing iaitu Mohd Syahrulnizam Razali,Timbalan Pengarah Operasi ILP, Mohd. Fahmin Mohammad dan Tc. Wan Hasyidan Wan Hussein.
Dengan adanya program seperti itu, ia dapat membantu menambah kemahiran teknikal dalam diri pelajar dan seterusnya dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Hari pertama pelajar didedahkan dengan kelas teori sepenuhnya seperti pengenalan dron, undang-undang penerbangan dan pematuhan keselamatan serta prosedur pra-penerbangan.
Pelajar juga diberikan latihan pemasangan komponen dron seperti propeller dengan kaedah yang betul sebelum penerbangan dron dilakukan.
Manakala pada hari kedua, kelas dijalankan secara praktikal dengan dimulakan dengan teori sebelum penerbangan dron dilakukan.
Pelajar diberikan peluang untuk mengaplikasikan kefahaman kawalan dan selenggara dron yang telah dipelajari semasa kelas amali.
Pada hari ketiga, peserta menjalani penilaian praktikal SKOD mengikut formasi yang dikehendaki oleh penilai dan pemarkahan yang dinilai secara individu diberi berdasarkan kemahiran mengendalikan dron.
Perkongsian pengalaman oleh jurulatih dron juga telah dapat menambah nilai pembelajaran dengan pendedahan kepada pelbagai senario dan situasi penerbangan dron.
Semua itu dapat membentuk landasan yang kukuh untuk pemahaman menyeluruh mengenai penggunaan dron dalam pelbagai aplikasi.
Pusat Pembangunan Pelajar (PBP) UTHM dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTHM telah menaja pelajar untuk menghadiri kurus tersebut.
Menurut Ts. Ir. Dr. Hairol, ILP Mersing sedia meneruskan kerjasama ini dan tawaran memiliki Persijilan Kompetensi Dron untuk semua pelajar UTHM sentiasa terbuka.
“Diharapkan program yang bermanfaat seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk fasa seterusnya,” katanya.