Oleh Dr. Nur Adila Ab. Aziz

BATU PAHAT – Bagi memperkukuhkan lagi hubungan antara alumni dengan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) dan Kelab Kejuruteraan Awam telah menganjurkan ‘Program Perkongsian Ilmu dan Majlis Penyerahan Komputer Riba’ pada 9 Mei 2024 lalu bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.

Program dengan kerjasama Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni UTHM serta Majlis Perwakilan Pelajar UTHM itu diadakan bertujuan memberi motivasi dan kesedaran kepada mahasiswa selain memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama antara alumni, staf dan pelajar UTHM.

Program tersebut telah menjemput alumni UTHM, Datuk Ts. Dr. Sivakumar Chinnasamy, Ketua Pegawai Eksekutif CSK Group of Companies untuk berkongsi ilmu dan pengalaman beliau khususnya berkaitan kerjaya dalam bidang perniagaan dan kejuruteraan kepada kira-kira 40 pelajar FKAAB.

Dalam program tersebut, Datuk Sivakumar turut menyumbang sebanyak 10 unit komputer riba kepada pelajar FKAAB bagi membantu meringankan beban mereka.

Antara perkara utama yang ditekankan semasa sesi perkongsian beliau adalah keperluan seseorang mahasiswa untuk membina jati diri dalam menghadapi revolusi industri 4.0 yang kian mencabar pada masa kini.

Dalam sesi itu, Datuk Sivakumar turut menyeru para pelajar untuk mengamalkan empat prinsip dalam hidup mereka iaitu ‘Accept Who You Are Today’, ‘Adjust Yourself’, ‘Accommodate The Reality’ dan ‘Take Action’.

Program tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim sebagai tanda sokongan kepada pengukuhan jalinan kerjasama antara alumni dan warga UTHM.

Turut hadir, para pegawai pengurusan UTHM dan FKAAB serta para penyelaras Jawatankuasa Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FKAAB.

Pengisian program seumpama itu secara tidak langsung dapat dapat meningkatkan kesedaran pelajar akan peranan yang perlu dimainkan oleh seorang alumni iaitu dengan memupuk sifat prihatin, kebersamaan dan keazaman untuk saling bantu membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

Penganjuran program itu juga bagi menzahirkan komitmen UTHM dalam memastikan kebajikan mahasiswa terjaga selaras dengan keperluan pengajian semasa.

Datuk Sivakumar menyumbang sebanyak 10 unit komputer riba kepada pelajar B40 FKAAB bagi membantu meringankan beban mereka.