Oleh Norfauzan Md Sarwin

BATU PAHAT, 23 April 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) telah menganjurkan program ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ secara serentak seluruh negara bermula pada jam 11.00 pagi di peringkat universiti.

Program ini adalah inisiatif bagi memupuk amalan membaca dalam kalangan warga UTHM khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Dianggarkan  lebih daripada 2 ribu  warga UTHM telah menyahut #bacasamasama, #malaysiamembaca #uthmmembaca pada sambutan tahun 2024 ini.

Program ‘Jom Baca Bersama 10 minit’ itu merupakan program tahunan yang dilaksanakan sejak tahun 2014 lagi bersempena Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia, dengan bertujuan menyokong pelaksanaan Sustainable Development Goals (SDG) oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi menggalakkan aktiviti membaca, penerbitan dan menjaga hak cipta.

Pada tahun ini, Perpustakaan Negara Malaysia dan Sektor Perpustakaan di seluruh Malaysia bersetuju untuk melaksanakan program ini secara serentak pada hari, tarikh dan masa yang sama, iaitu pada 23 April 2024 (Selasa), jam 11.00 hingga 11.10 pagi.

Dengan bertemakan ‘Pembacaan Melestarikan Perpaduan,’ pelaksanaanya adalah sejajar dengan hasrat untuk melahirkan masyarakat madani yang berilmu pengetahuan dan berbudaya nilai tinggi.

Ketua Pustakawan PTTA, Zaharah Abd Samad berkata, Malaysia adalah sebuah negara harmoni yang mempunyai pelbagai kaum, berbilang bangsa dan pelbagai bahasa.

Untuk mengenali dan hidup bersatu padu dalam kebudayaan yang pelbagai, rakyat Malaysia perlu meningkatkan budaya membaca kerana membaca tunggak perpaduan.

“Membaca dapat melepasi halangan bahasa, membolehkan masyarakat berkongsi cerita, sejarah dan perspektif.

“Melalui buku, kita belajar tentang perjuangan dan kejayaan sesama rakyat Malaysia, memupuk rasa identiti dan persefahaman Bersama,” katanya.

Bagi PTTA, penganjuran program sebegitu secara tidak langsung dapat mempromosi dan menyemai minat membaca dengan amalan pembudayaan membaca secara berterusan dalam kalangan warga kampus dan komuniti setempat.

Program ini juga dapat meningkatkan visibiliti PTTA sebagai sebuah gedung ilmu yang sarat dengan pelbagai informasi dan maklumat untuk diterokai.

Terdahulu, PTTA dengan kerjasama Pejabat Penerbit UTHM telah mengadakan Majlis Perasmian Program Jom Baca Bersama 10 Minit Secara Serentak Seluruh Malaysia peringkat UTHM yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor. Sr. Ts. Dr. Lokman Hakim Ismail.

Turut diadakan, pelancaran buku “Rayuan Pada Malam” karya Dr Lutfan Jaes yang merupakan Dekan Pusat Pengajian Umum & Kokurikulum dan juga buku “Antologi Skrip Teater Juara” karya Rosdi Abdullah yang merupakan Penolong Pendaftar, Pusat Kebudayaan Universiti.

Rentetan pelancaran dua buku tersebut, pengunjung juga turut disajikan dengan slot bual bicara “Podcast Baca VS Tengok” yang dilaksanakan secara hibrid yang berlintas langsung di Pentas Utama, PTTA.

Tepat jam 11.00 pagi warga UTHM diseru untuk berhenti seketika dan membaca sebarang bahan bacaan sama ada dalam format bercetak atau digital, buku, majalah atau bahan bacaan yang terdapat di telefon pintar masing-masing secara serentak selama 10 minit.

Lebih menarik, sesi bacaan ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ ini turut disertai oleh kanak-kanak berumur lima tahun dari Tadika Khalifah Junior UTHM, diikuti dengan persembahan nyanyian daripada mereka bertajuk “Bacalah, Bismillah – Alhamdulillah.”

“Pihak kami berharap program ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang dan semua pihak dapat berganding bahu dalam menjayakan kempen membaca sama ada di peringkat UTHM atau kebangsaan, sekali gus dapat mengamalkan budaya membaca di dalam kehidupan seharian,” kata Zaharah.