Platform digital di Malaysia mengalami pertumbuhan positif yang semakin meningkat hari ke hari kerana didorong oleh peningkatan usaha digitalisasi merentasi pelbagai industri, termasuk pembinaan. Dalam industri pembinaan semasa, platform digital memainkan peranan penting dalam memperkemaskan proses kerja, meningkatkan kecekapan serta kualiti bahan produk dan meningkatkan kolaborasi antara pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat dalam projek pembinaan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia 2023 (DOSM), sejak beberapa tahun kebelakangan ini pertumbuhan produktiviti industri pembinaan adalah rendah berbanding industri lain di Malaysia seperti industri pembuatan dan perkhidmatan.

Walau bagaimanapun, dalam industri pembinaan semasa, platform digital memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti, menambahkan kecekapan dan memperkasakan kerjasama dalam kalangan pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat dalam projek pembinaan. Memandangkan industri pembinaan memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia, pendigitalan merupakan satu perkara yang penting untuk meningkatkan produktiviti industri pembinaan untuk terus berada dalam keluk pembentukan ekonomi sesebuah negara. Terdapat beberapa platform digital yang tersedia untuk industri pembinaan semasa untuk meningkatkan entiti projek pembinaan.

Antaranya, Building Information Modelling (BIM) dan platform pengurusan projek. Platform ini menyediakan penyelesaian seperti Autodest BIM360, Trimble Connect, dan Procore. Platform ini dilihat mendapat daya tarikan dalam kalangan pemain industri pembinaan untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam memperkemaskan aliran kerja projek dan meningkatkan komunikasi dalam    kalangan pihak berkepentingan. Selain itu, alat kolaborasi seperti Aconex (kini sebahagian daripada pembinaan dan kejuruteraan Oracle) dan Bluebeam Revu mampu membantu menguruskan dokumen pembinaan dengan cekap, menarik kerjasama, mengurangkan kelewatan yang berkaitan dengan proses manual, dan komunikasi projek.

Seterusnya, memandangkan industri pembinaan dikategorikan sebagai industri yang berisiko 3D (Dirty, Dangerous dan Difficult), platform keselamatan dan pematuhan adalah penting  yang mana ia membantu untuk memberi tumpuan kepada peningkatan standard keselamatan di tapak pembinaan. Perisian seperti sistem Safeops dan iAuditor oleh Safety Culture telah digunakan untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan, menguruskan insiden dan meningkatkan program latihan keselamatan. Di samping itu, platform seperti SAP Ariba, Coupa, dan Oracle Procurement Cloud digunakan untuk mendigitalkan operasi perolehan dan meningkatkan keterlihatan rantaian bekalan. Platform pengurusan rantaian bekalan adalah penting bagi industri pembinaan Malaysia untuk mengoptimumkan proses perolehan, menguruskan hubungan pembekal dan mengesan bahan binaan. Seterusnya, teknologi baharu seperti Virtual Reality (VR) dan Augmented Reality (AR) sangat manfaat untuk visualisasi reka bentuk, latihan dan komunikasi projek. Walau bagaimanapun, platform ini masih baharu kepada industri pembinaan Malaysia yang mana ia masih dalam proses meneroka dan proses penerimaan juga masih di peringkat awal dalam kalangan industri pembinaan.

Platform digital menyediakan kelebihan seperti meningkatkan produktiviti, kualiti dan operasi penjimatan masa. Ini jelas terbukti di negara-negara maju yang menggunakan teknologi secara menyeluruh dapat meningkatkan jaringan kerjasama kerja, yang mana, platform digital memudahkan kolaborasi dalam kalangan arkitek, jurutera, kontraktor, subkontraktor dan pelanggan. Dengan menyediakan akses berpusat kepada data projek, dokumen dan alat komunikasi, platform ini membolehkan kerjasama yang lancar, mengurangkan ralat, kelewatan dan salah faham. Selain itu, platform digital juga membantu meningkatkan komunikasi dengan menyelaraskan saluran komunikasi dalam kalangan pemain pembinaan. Penyelarasan ini membolehkan untuk berkongsi maklumat, kemas kini dan maklum balas serta-merta. Ini boleh membawa kepada penyelarasan yang lebih baik, membuat keputusan yang lebih cepat, dan kurang salah faham dalam kalangan pemain pembinaan.

Seterusnya, platform digital juga menyediakan alat untuk perancangan, penjadualan dan pengurusan projek. Kebolehan platform digital ini membolehkan pemain industri pembinaan membuat garis masa yang realistik, memperuntukkan sumber yang berkesan dan memantau kemajuan dalam masa nyata. Ini membawa kepada kawalan projek yang lebih baik, mengurangkan kelewatan dan hasil projek yang lebih berkualiti. Lebih penting lagi, platform digital membantu menjimatkan kos dengan mengoptimumkan proses, mengurangkan kesilapan dan meningkatkan peruntukan sumber, ini dapat menjimatkan kos sepanjang kitaran hayat projek dan mengelakkan sebarang penambahan kos dalaman atau luaran yang boleh merisikokan projek pembinaan.

Platform digital juga mampu untuk membantu meningkatkan langkah-langkah keselamatan dalam industri pembinaan dengan mengesan insiden keselamatan, menjalankan pemeriksaan dan menguatkuasakan protokol keselamatan, dengan ini pemain pembinaan boleh mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan mengurangkan risiko kemalangan di tapak pembinaan. Dengan platform digital, pemain pembinaan dapat memastikan kawalan kualiti yang lebih baik sepanjang kitaran hayat projek. Dengan menjejaki spesifikasi projek, piawaian, dan keperluan pematuhan, pasukan dapat mengenal pasti isu kualiti lebih awal dan mengambil tindakan pembetulan untuk mengekalkan kualiti projek dan memenuhi jangkaan pelanggan.

     Secara keseluruhan, platform digital memainkan peranan penting dalam mengubah industri pembinaan dengan meningkatkan kualiti projek, produktiviti, kecekapan dan komunikasi hasil projek. Dengan penerimaan teknologi digital, industri pembinaan boleh kekal berdaya saing, menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran yang berubah-ubah, dan menyampaikan projek-projek yang berjaya dalam landskap industri yang pesat berkembang. Oleh itu, setiap pemain industri pembinaan perlu mengambil tanggungjawab untuk meningkatkan standard projek dengan mengguna pakai platform digital dalam projek pembinaan.

Ts. Dr. Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim

Pensyarah Kanan

Fakulti Pengurusan Teknologi Dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Andreena A/P S Kannan (Penulis bersama)

Fakulti Pengurusan Teknologi Dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Bernama (www.bernama.com), 23 Oktober 2024: PEMERKASAAN DIGITAL DALAM DUNIA PEMBINAAN 

Tinta Minda BERNAMA – PEMERKASAAN DIGITAL DALAM DUNIA PEMBINAAN