Kejayaan penerokaan bidang sanis dan teknologi telah memberikan satu ‘harapan’ kepada pasangan untuk memilih masa yang ‘tepat’ bagi memiliki cahaya mata. Tidak hanya ketika kedua-dua pasangan masih hidup tetapi juga ketika salah seorang daripada pasangan tersebut iaitu si suami meninggal dunia. Kini teknik ‘in vitro fertilization” (IVF) dengan menggunakan sperma suami yang sudah meninggal dunia atau dikenali sebagai ‘posthumous assisted reproduction’ (PAR) telah menjadi satu alternatif yang diguna pakai bagi tujuan mendapatkan zuriat yang diinginkan. Meskipun banyak kajian yang masih dijalankan berkaitan perkara ini dari segi kaedah pelaksanaan dan penerimaan masyarakat namun secara umumnya dunia sains perubatan dan sistem perundangan khususnya barat telah menerima kaedah ini atas dasar kemanusiaan tanpa merujuk kepada perspektif keagamaan.

Agama Islam adalah agama yang suci dan mengandungi prinsip-prinsip yang jelas bagi memandu kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Aspek Maqasid Syariah dengan jelas menggariskan lima perkara utama yang perlu dipelihara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Isu mengambil sperma suami yang sudah meninggal dunia bagi tujuan memperolehi zuriat adalah bertentangan dengan perkara yang keempat iaitu menjaga keturunan. Secara umumnya menjaga keturunan melibatkan perlindungan dan pemeliharaan keturunan bagi tujuan menjaga sistem sosial dalam sesebuah masyarakat agar ianya seiring dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Bagi tujuan memelihara keturunan maka agama Islam mensyariatkan pernikahan bagi menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita dan mengharamkan perzinaan. Antara tujuan disyariatkan pernikahan ialah untuk memenuhi keperluan manusiawi dari segi zahir dan batin termasuklah mendapatkan zuriat. Namun terdapat juga pasangan yang menghadapi masalah untuk mendapatkan zuriat disebabkan oleh faktor kesihatan yang mengganggu kesuburan dan sebagainya. Terdapat pelbagai alternatif yang boleh digunakan sebagai usaha mendapatkan zuriat yang dibenarkan oleh Islam. Antaranya ialah melalui kaedah persenyawaan in vitro (IVF) iaitu ‘persenyawaan di kaca’ atau lebih sinonim dengan istilah ‘bayi tabung uji’

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-5 yang bersidang pada 16-17 November 1982 dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-6 yang bersidang pada 10 Oktober 1983 telah membincangkan tentang Bayi Tabung Uji. Muzakarah telah memutuskan bahawa: bayi tabung uji dari benih suami dan isteri yang sah dan dicantumkan secara ‘terhormat’ adalah sah disisi Islam. Bayi yang dilahirkan melalui tabung uji itu boleh menjadi wali dan berhak menerima harta pusaka dari keluarga yang berhak. Sebaliknya benih yang diambil dari bukan suami isteri yang sah maka bayi tabung itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan syariat Islam.

Percantuman benih secara ‘terhormat’ ini melibatkan ikatan perkahwinan yang sah antara suami dan isteri. Dalam konteks perbincangan ini apabila berlaku kematian ke atas suami maka hubungan suami isteri adalah terputus dan telah berakhir. Istilah yang sering digunakan ialah cerai mati. Dalam situasi ini mengambil sperma dari jasad suami yang sudanh meninggal dunia bagi tujuan mendapatkan zuriat adalah diharamkan. Pengharaman ini turut terpakai dalam situasi yang mana sperma suami diambil ketika suami masih hidup dan disimpan dalam ‘Bank Sperma’ kemudian disenyawakan ketika suami tersebut telah meninggal dunia.

Perkara ini dijelaskan oleh Prof. Dr. Ali al-Qurahdaghi dalam kitabnya Fiqh al-Qadhaya al-Fiqhiyyah al-Mu`asirah yang menyatakan “Seperti mana persenyawaan itu mungkin berlaku semasa suami masih hidup, persenyawaan juga mungkin berlaku setelah suami mati. Hal itu berlaku apabila sesuatu (kehamilan) itu terhasil selepas kematian suami dengan menggunakan nutfah (air mani lelaki atau peringkat awal janin) yang diambil sebelum kematian suami lalu disimpan dalam suatu tempat yang dinamakan “Bank Sperma”. Persenyawaan jenis ini adalah haram secara qat`i sama ada dilakukan secara in-vitro (luar rahim) atau in-vivo (dalam rahim). Ini kerana hubungan perkahwinan tamat dengan kematian, justeru apabila berlaku persenyawaan maka perkara itu berlaku dengan benih bukan suami lalu jadilah ia nutfah yang diharamkan. Sekiranya lahir juga anak daripada hal itu, maka zahirnya anak itu tidak dinasabkan kepada si suami selama mana punca benih itu tidak kekal hidup.” Hukum pengharaman ini seiring dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al Tarmizi iaitu:

???? ??????? ????????? ???????? ????????? ??????????? ???????? ???? ???????? ??????? ?????? ????????

Maksud: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah sekali-kali dia menyiram airnya pada tanaman orang lain.

Hadis ini menjelaskan bahwa seorang mukmin yang beriman kepada Allah dan hari kiamat diharamkan menanamkan benih spermanya ke dalam ovum wanita lain yang tidak memiliki ikatan pernikahan yang halal baginya. Dari segi penentuan nasab anak yang dilahirkan dari sperma suami yang sudah meninggal dunia tidak boleh dinasabkan kepada ayah biologinya dan tidak berhak untuk mewarisi harta daripada peninggalan si ayah kerana semasa proses persenyawaan dilakukan isteri dan mayat suaminya itu sudah menjadi orang asing kerana sudah tiada ikatan perkahwinan lagi.

Keinginan untuk memperolehi zuriat merupakan impian bagi setiap pasangan yang mendidikan rumah tangga. Kehadiran cahaya mata yang dinantikan akan menyerikan lagi sebuah ikatan perkahwinan yang telah dimeterai. Namun begitu kebahagiaan yang ingin dicapai perlulah melalui kaedah yang betul dan tidak bertentangan dengan syariat. Bagi pasangan yang diuji dengan ketiadaan zuriat perlulah bersabar dan reda dengan ujian yang diberikan kepada mereka. Sentiasalah bersangka baik dengan ketentuan Allah SWT kerana tidak ada sesuatu yang Allah SWT jadikan sia-sia melainkan pasti mengandungi hikmah yang perlu difahami dengan penuh kebijaksanaan. Rasulullah SAW memberikan berita gembira kepada pasangan yang tidak dikurniakan zuriat semasa di dunia. Ini dapat difahami daripada maksud sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Said al Khudri r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

??????????? ????? ???????? ????????? ??? ?????????? ????? ???????? ?????????? ??? ??????? ????????? ????? ?????????

            Maksudnya:

Seseorang mukmin sekiranya ia ingin memiliki anak (namun tidak mendapatkannya) di syurga sesungguhnya ia akan mengandungnya, menyusuinya dan membesarkannya mengikut apa yang dikehendakinya.

                                                                                                                                                                                                            (Hadis riwayat Ibnu Majah no. 4338)

Imam Tirmizi menyatakan terdapat perbezaan pandangan antara ahli ilmu berkaitan maksud hadis ini. Ada yang berpandangan tidak ada yang akan melahirkan anak di syurga. Namun mengikut pendapat kebanyakkan daripada ahli ilmu menyatakan Allah SWT akan memberikan apa yang dihajatkannya oleh hambaNya di dalam syurga sebagaimana firman Allah SWT:

???????? ??? ??????????? ??????????? ????????? ??????????? ?????????? ?????? ??????????

            Maksudnya:

Dan di dalam syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): “Kamu adalah tetap kekal di dalamnya

                                                                                                                                                (az-Zukhruf:71)

 

Islam adalah agama yang sempurna. Justeru sebagai umatnya kita disarankan agar tidak menggunakan kekuatan akal semata-mata dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang timbul. Sebaik-baiknyanya kekuatan akal itu haruslah disandarkan kepada prinsip-prinsip dan panduan yang telah dijelaskan oleh sumber-sumber rujukan dalam Islam agar sesuatu keputusan atau tindakan yang dilakukan tidak akan tersasar dari tiga asas utama yang telah digariskan dalam agama Islam iaitu akidah, syariah dan akhlak.

 

 

 

 

 

Dr. Halimi Mohd Khalid

Pensyarah Kanan

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
 
 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 22), 9 Januari 2024: IVF antara ikhtiar dibenar Islam untuk dapat zuriat. Kenyataan daripada Dr. Halimi Mohd Khalid, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), UTHM

 

2. Berita Harian (bharian.com.my), 9 Januari 2024: Haram ambil sperma, tabung sperma daripada suami sudah meninggal dunia. Kenyataan daripada Dr. Halimi Mohd Khalid, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), UTHM

https://www.bharian.com.my/wanita/keluarga/2024/01/1197956/haram-ambil-sperma-tabung-sperma-daripada-suami-sudah-meninggal