Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober setiap tahun. Pada tahun ini, kempennya bertemakan “Kesihatan Mental adalah Hak Asasi Manusia Sejagat.” Sambutan ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan serta kesedaran masyarakat dalam usaha memelihara kesihatan mental yang menjadi hak milik semua individu.

Menurut WHO, satu daripada lapan orang di seluruh dunia berhadapan dengan masalah kesihatan mental. Hal ini mampu menjejaskan produktiviti individu dan kualiti kehidupan mereka. Tekanan dalam kehidupan seharian merupakan salah satu faktor berlakunya masalah kesihatan ini.

Di Malaysia sendiri, isu ini merupakan salah satu isu kesihatan awam terutamanya setelah pandemik Covid-19. Namun begitu, tidak ramai yang tampil untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang dipulaukan masyarakat. Mungkin kerana masalah kesihatan mental lebih sinonim dengan ‘sakit jiwa’ ataupun ‘gila’ dalam masyarakat kita. Sedangkan, masalah kesihatan mental ini merangkumi banyak kumpulan.

Kumpulan pertama adalah kemurungan (depression) dan kebimbangan (anxiety). Kemurungan merupakan satu keadaan yang mana individu berasa sedih yang melampau dan berpanjangan, serta merasakan dirinya tidak berharga. Bagi individu yang mengalami masalah kebimbangan pula, mereka akan berhadapan dengan simptom keresahan, mudah berdebar-debar dan takut tanpa sebab.

Kumpulan seterusnya adalah skizofrenia yang diakibatkan oleh ketidakseimbangan satu sel kimia dalam otak. Pesakit akan berhadapan dengan halusinasi, kecelaruan pemikiran dan tingkah laku. Kumpulan yang terakhir pula adalah individu yang mengalami kecelaruan personaliti (personality disorder). Individu tersebut akan mengalami kesukaran untuk mengekalkan hubungan yang rapat, apatah lagi untuk bersosial.

Apa yang lebih membimbangkan adalah, masalah kesihatan mental boleh dialami oleh semua peringkat umur tanpa mengira golongan dewasa mahupun remaja. Sekiranya dibiarkan melarat tanpa sebarang rawatan, masalah kesihatan ini mampu menjadi punca kepada kecederaan fizikal dan domestik. Dalam sesetengah kes yang lebih kronik, individu berkenaan mampu mengambil jalan untuk membunuh diri.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan 467 kes bunuh diri dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun 2022. Kes bunuh diri di negara ini turut meningkat kepada 81 peratus dengan 1,142 kes dilaporkan pada tahun 2021 berbanding 631 kes pada 2020. (Sumber: Berita Harian, 10 September 2022). Faktor penyakit mental seperti kemurungan merupakan salah satu penyumbang utama kepada berlakunya kes ini.

Antara langkah awal untuk mencegah dan merawat masalah kesihatan mental adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti mengambil nutrisi yang seimbang, kerap bersenam dan melakukan aktiviti yang digemari. Pastikan untuk berkongsi masalah yang dihadapi dengan seseorang yang dipercayai selain mendapatkan bantuan profesional seperti pakar kaunseling. Sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan juga penting sekiranya seseorang individu didiagnosis mengalami masalah kesihatan mental.

Di samping itu, pihak kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH). Pusat ini menyediakan intervensi dan talian bantuan krisis kesihatan mental. Penubuhannya juga bertujuan untuk mempromosikan kesihatan mental serta pencegahan penyakit mental.

Dalam menghadapi isu ini, setiap orang memiliki peranan untuk menjadi anggota masyarakat yang prihatin dengan meningkatkan pemahaman tentang kesihatan mental. Dalam pada itu, sentiasa perhatikan individu di sekeliling kita. Sekiranya terdapat tanda awal masalah kesihatan mental dalam diri mereka, segera dapatkan rawatan.

Tuntasnya, isu ini tidak wajar dipandang enteng kerana kesejahteraan emosi adalah penting sebagaimana kesihatan fizikal. Cegah, sebelum parah.

 

 

 

Farhana Abd Hamid

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Artikel ini juga diterbitkan di.. 

1.Malaysia Gazette (malaysiagazette.com) : Atasi Stigma Kesihatan Mental Kesejahteraan Emosi Milik Semua, artikel penulisan Farhana binti Abd Hamid, Pusat Pengajian Bahasa UTHM

https://malaysiagazette.com/2023/10/07/atasi-stigma-kesihatan-mental-kesejahteraan-emosi-milik-semua/