BATU PAHAT – Lima pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) antara 127 pelajar institut pengajian tinggi seluruh negara yang terpilih menyertai program ‘Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa YSS ke Sabah’ pada 1 hingga 18 September 2023.

Lima pelajar tersebut iaitu Norelya Ardyla Mohmad Fauzi @ Mohamad Fauzi dan Hadrahtul Hasinah Mohd Faaruk dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Khairunnisa Wadiah Mohamad Khair dan Nur Syafiqah Husna Zainul Arshad dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) serta Sabariah Mohd Said dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV).

Menurut Ketua Jabatan Nilai dan Kesukarelawanan Pelajar, Pusat Pembangunan Pelajar (PBP), Dr. Radzi Ambar, pemilihan pelajar tersebut dibuat oleh pihak Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Perpaduan Negara (KPN) pada 24 Jun lalu melalui proses temuduga yang dilakukan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah/Pengarah YSS.

Calon yang dipilih terdiri daripada mereka yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan semangat sukarelawan yang tinggi serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Tambah beliau, misi sukarelawan siswa tersebut akan dilaksanakan di tiga kampung iaitu Kampung Terongkongan Laut, Kudat; Kampung Singgah Mata dan Kampung Pangkalan Bandau, Kota Marudu.

“Pelaksanaan misi ini bertujuan untuk melahirkan pemimpin sukarelawan siswa di pentas global, melestarikan perpaduan, kefahaman serta penghayatan pelajar terhadap kepelbagaian khazanah warisan negara.

“Misi berkonsepkan immersion ini juga diadakan bagi memberi peluang kepada sukarelawan siswa untuk tinggal bersama komuniti tempatan dan melaksanakan kerja sukarelawan mengikut bidang pengajian masing-masing yang berteraskan right volunteers for the right job,” jelas beliau.