BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada tahun ini terpilih menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institut Pendidikan Tinggi (IPT) kali ke-29 anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang diadakan bermula pada 19 hingga 27 Ogos 2023.

Penganjuran Pertandingan Debat Alam Sekitar yang hampir menginjak usia jubli Intan itu turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Untuk rekod, pertandingan debat itu merupakan pertandingan debat tertua di Malaysia yang mula dilaksanakan sejak tahun 1986.

Pertandingan kali ini menyaksikan Universiti Sains Malaysia (USM) meraih gelaran juara apabila berjaya menumpaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika berentap di pertandingan akhir yang berlangsung pada 27 Ogos 2023 bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk UTHM.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, JAS, Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar hadir menyempurnakan majlis perasmian penutup sekali gus menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Dato’ Abdul Latiff dalam ucapannya berkata objektif utama pertandingan itu adalah untuk meningkatkan pengetahuan mengenai isu dan dasar alam sekitar di peringkat nasional mahupun antarabangsa di samping mencungkil bakat berdebat dalam kalangan pelajar IPT.

“Pertandingan ini juga sebagai usaha berterusan bagi memulihara alam sekitar selain untuk meningkatkan kesedaran umum tentang isu alam sekitar yang harus ditangani bersama,” katanya.

Sementara itu pengarah program, Prof. Madya Ts. Dr. Suliadi Firdaus Sufahani pula berkata pertandingan debat kali ke-29 itu berjaya menarik penyertaan 30 pasukan yang terdiri daripada 19 universiti awam, enam universiti swasta dan lima institut pendidikan guru menjadikan jumlah pendebat adalah seramai 120 orang.

“Pertandingan pada kali ini dijalankan mengikut norma baharu dengan pendekatan hibrid iaitu pusingan awal dilaksanakan secara dalam talian pada 19 dan 20 Ogos 2023.

“Manakala pusingan suku akhir, separuh akhir dan akhir dijalankan secara bersemuka pada 25 hingga 27 Ogos 2023,” jelas beliau.

Turut hadir ke pertandingan akhir, Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UTHM, Prof. Sr Ts. Dr. Hj. Lokman Hakim Hj. Ismail merangkap Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM).

 

Kumpulan debat dari USM bergelar JUARA setelah berjaya menumpaskan lawannya ketika berentap di Pertandingan Akhir Debat Alam Sekitar Antara IPTA ke-29.