Oleh Khairul Asyraf Mohd Rodzi, Muhamad Adli Faezal Rosnan, Nur Shafiqah Abdul Razak

RAWANG – Kumpulan pelajar program Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya membawa pulang dua piala kemenangan ketika menyertai pertandingan sempena berlangsungnya Architectural Student Workshop 2023 (ASW2023) pada 8 hingga 11 Ogos lalu.

ASW2023 yang ke-34 anjuran UCSI University itu menyaksikan kumpulan pelajar terbabit berjaya meraih kemenangan bagi acara Society Rebuild kategori Observation Deck dan Anugerah Khas ‘Sorakan terhebat’.

Untuk rekod, ASW2023 merupakan program tahunan yang dianjurkan secara bergilir dalam kalangan institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjalankan program Senibina di Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).

Pengisian utama program Rewind 34th ASW 2023 ialah pertandingan senibina yang berbentuk kreativiti dan inovasi di peringkat kebangsaan yang bertemakan “Rewind”.

Beberapa kategori telah dipertandingkan antaranya Society Rebuild: Installation, Videografi, Pertandingan Bakat: Menyanyi, Fotografi dan Pertandingan Reka Bentuk Rakit.

Pertandingan tersebut diadakan bertujuan untuk meningkatkan daya saing pelajar dalam bidang senibina melalui penyertaan dalam pertandingan, selain memberikan pendedahan dan pengalaman baharu kepada pelajar melalui pelbagai aspek.

Program itu juga turut menyediakan pelbagai bengkel aktiviti yang komprehensif bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar dalam aspek kesenibinaan yang bersifat kreatif, bernilai keusahawanan dan penyelesaian masalah teknikal seni bina.

Antara modul yang disediakan, Communication Drawing, Conceptual Art, Bamboo Crafting, Watercolour Art, Leaf Weaving dan Graphic Illustration.

Menurut Pensyarah Jabatan Senibina, Khairul Asyraf Mohd Rodzi, penyertaan para pelajar senibina UTHM di Rewind 34th ASW 2023 dilihat sebagai satu ruang dan peluang untuk meningkatkan kualiti hasil kerja dan kemahiran insaniah pelajar selain mempromosikan program senibina UTHM dalam kalangan IPT.

“Penyertaan itu juga memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan menyeluruh tentang industri senibina dan pembinaan daripada wakil-wakil industri, pensyarah dan pelajar lain yang berpengalaman serta memiliki kemahiran,” katanya.