PAGOH, 29 Ogos 2023 – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin hari ini merasmikan penubuhan dua makmal iaitu Makmal Cybersecurity dan Makmal EDEN Railway Signal Link Simulator serta Automated Fare Collection yang terletak di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh.
Kedua-dua makmal yang dibangunkan di bawah Program Industry Collaboration Programme (ICP) itu diuruskan oleh Indra Sistemas, Prasarana dan MRT Corp.
Makmal-makmal tersebut merangkumi teknologi sistem dan simulasi dalam bidang Cybersecurity dan Railway Signalling & Automatic Fare Collection Systems.
Pembangunan makmal-makmal itu juga melibatkan perkongsian dan pemindahan sistem teknologi platform yang telah dimudahcara oleh Technology Depository Agency (TDA) dengan kolaborasi bersama UTHM dan Syarikat Indra Sistemas S.A (Indra) yang berpengkalan di Sepanyol.
Kolaborasi tersebut dijangka dapat meningkatkan kepakaran tempatan dalam bidang rel dan seterusnya melonjakkan UTHM sebagai Hab Pembangunan TVET bagi wilayah selatan.
Terdahulu, satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan TDA telah diadakan dalam majlis yang sama.
MoU tersebut akan merintis peluang yang lebih besar kepada kerjasama IPT – industri dalam pemindahan teknologi dan Pembangunan kapasiti di bawah Industry Collaboration Programme (ICP) yang diterajui oleh TDA.
Melalui kerjasama strategik itu, KPT bertangungjawab untuk menyelaras penyertaan IPT dalam program ICP berdasarkan kepakaran masing-masing.
Di samping itu juga, KPT akan memastikan setiap IPT yang terlibat dalam program permindahan teknologi dapat memberi manfaat kepada pembangunan kapasiti pensyarah dan seterusnya melahirkan bakat yang diperlukan oleh negara.
Manakala, TDA yang bertindak sebagai pihak berkuasa ICP bagi perolehan Kerajaan akan memberikan khidmat nasihat serta memacu kerjasama strategik antara IPT dan industri.
Selain itu TDA juga mempunyai keupayaan untuk melihat jurang atau cabaran di dalam industri dan teknologi yang perlu diberikan perhatian oleh IPT.
KPT melihat kerjasama ini berupaya untuk membawa pemindahan teknologi dan kepakaran industri serta memberi dimensi baharu dalam pembangunan bakat tempatan.
Ia juga memberi suatu nilai tambah yang besar kepada KPT dalam melonjak kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan teknologi watan oleh IPT.