Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) memainkan peranan yang penting dalam ekonomi negara. PKS menyumbang sebanyak 38.3 peratus daripada keluaran negara kasar. Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia, terdapat lebih daripada 900,000 PKS yang berdaftar. PKS menyumbang lebih daripada 98 peratus daripada jumlah perniagaan yang beroperasi di negara ini. PKS tidak hanya memberikan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga berperanan untuk menyediakan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang industri. PKS mewujudkan 7.3 juta pekerja yang menyumbang sebanyak 48.4 peratus kepada guna tenaga negara. Walau bagaimanapun, menurut laporan Bank Negara Malaysia pada tahun 2021, hanya 18 peratus daripada eksport negara kita dihasilkan oleh PKS walaupun PKS mempunyai separuh dari tenaga kerja negara. Dalam menghadapi persaingan global yang sengit, PKS perlu mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan daya saing mereka. Salah satu pendekatan yang berkesan adalah kerjasama strategik di antara PKS dan Institut Pengajian Tinggi (IPT). Data menunjukkan bahawa kerjasama ini dapat memberikan manfaat signifikan kepada PKS.

Menurut kajian oleh Bank Dunia, negara yang berjaya mengintegrasikan inovasi dan penyelidikan ke dalam ekonomi mereka mempunyai pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi dan daya saing yang lebih baik. Kajian juga menunjukkan bahawa PKS yang menjalin kerjasama dengan IPT mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih tinggi dalam nilai tambah dan pendapatan. Kajian menunjukkan, dalam tempoh lima tahun selepas terlibat dalam program kerjasama, purata pertumbuhan pendapatan tahunan PKS dapat ditingkatkan kepada lebih dari 15 peratus, berbanding dengan PKS yang tidak terlibat dalam kerjasama, yang hanya mencatatkan pertumbuhan sekitar 8 peratus sahaja. Menurut Laporan pada tahun 2021, hanya sekitar 35 peratus daripada PKS yang menjalinkan kerjasama dengan IPT dalam bidang penyelidikan dan pembangunan. Kita masih ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Jerman dan Jepun. Sebagai contoh, menurut data dari penyelidikan di Jerman, lebih daripada 60 peratus PKS telah menjalin kerjasama dengan IPT dalam bentuk penyelidikan bersama, latihan tenaga kerja dan pertukaran pelajar. Oleh itu, terdapat banyak ruang untuk meningkatan penglibatan PKS dalam kerjasama strategik dengan IPT untuk memacu ekonomi negara yang lebih mampan.

Akses kepada kepakaran

IPT adalah tempat di mana penyelidikan, inovasi dan pembelajaran dijalankan. PKS yang menjalin kerjasama dengan IPT dapat mengakses kepada kepakaran dalam pelbagai bidang, daripada sains dan teknologi hinggalah kewangan dan pemasaran. Kerjasama ini dapat membantu PKS untuk meningkatkan produk dan perkhidmatan ke tahap yang lebih tinggi, meningkatkan kualiti dan keselamatan, serta memenuhi keperluan pasaran pengguna yang semakin komplek. Kajian menunjukkan bahawa 70 peratus daripada PKS yang berkolaborasi dengan IPT dapat meningkatan kualiti produk, dan 60 peratus mengatakan mereka mampu menghasilkan produk yang lebih relevan dengan keperluan pasaran.

Inovasi dan Pembangunan Produk

Kerjasama dengan IPT membolehkan PKS dapat terlibat dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan lebih aktif. IPT mempunyai kemudahan penyelidikan dan peralatan yang terkini dan ramai pakar penyelidik. PKS dapat berkongsi sumber, teknologi dan pengetahuan dengan IPT. Ini termasuk perkongsian infrastruktur, peralatan, teknologi dan kepakaran bersama. Perkongsian sumber ini dapat membantu PKS dalam mengurangkan kos operasi dan meningkatkan efisiensi penyelidikan. Kerjasama ini membolehkan PKS menghasilkan produk baharu, mengoptimumkan proses pengeluaran dan mencari kaedah-kaedah inovatif untuk menghadapi cabaran industri. Data dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menunjukkan bahawa PKS yang terlibat dalam projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama dengan IPT dapat meningkatkan pembangunan produk baharu dengan lebih efektif. Lebih daripada 40 peratus daripada PKS bersetuju penghasilan produk baharu dapat meluaskan peluang pasaran dan meningkatkan daya saing mereka di peringkat domestik dan antarabangsa. Sebagai contoh di Jerman, sistem pendidikan tinggi telah menjadi pendorong kepada inovasi dalam sektor perusahaan. Menurut data Federal Statistical Office of Germany, kerjasama antara universiti dan industri di Jerman telah menghasilkan lebih daripada 60,000 paten antara tahun 2010 dan 2020.

Pemindahan teknologi

Kerjasama dengan IPT juga memberi PKS peluang untuk memindahkan teknologi terkini dari IPT ke dalam operasi mereka. IPT mempunyai kepakaran teknologi dan pengetahuan terkini dalam bidang-bidang seperti kejuruteraan, sains dan perubatan. PKS yang menjalin kerjasama ini dapat memanfaatkan kepakaran yang terkini untuk meningkatkan proses pengeluaran, kualiti produk dan efisiensi operasi. Menurut kajian oleh Bank Dunia, pemindahan teknologi dari pusat pengajian tinggi kepada PKS dapat meningkatan produktiviti dan pertumbuhan PKS dalam jangka masa panjang.

Pendidikan dan latihan khusus

IPT juga mampu menyediakan program latihan dan pembangunan yang khusus direka untuk memenuhi keperluan industri. Program ini dapat membantu PKS untuk meningkatkan kemahiran pekerja, teknologi terkini, membentuk kepimpinan yang berkesan dan memperkukuhkan prestasi keseluruhan organisasi. Kemahiran ini akan membantu PKS menghadapi cabaran pasaran dengan efektif. Contohnya, bagi PKS dalam sektor pembuatan, pekerja boleh dilatih dalam penggunaan teknologi dan proses pengeluaran yang terkini. Bagi PKS dalam sektor perkhidmatan, pekerja boleh mendapatkan latihan dalam pelbagai aspek seperti perkhidmatan pelanggan, komunikasi dan pengurusan projek.

Tenaga kerja

IPT juga mampu menyediakan menghasilkan graduan yang sesuai dengan keperluan industri. Ini membantu menghasilkan tenaga kerja yang berkualiti dan kompeten yang sesuai dengan kehendak pasaran pekerjaan khususnya PKS. Dengan kerjasama yang erat dengan industri, IPT mampu menghasilkan graduan yang lebih relevan dengan kemahiran yang diperlukan oleh PKS tempatan. Ini membantu mengurangkan jurang antara keperluan industri dan kebolehan graduan yang sering menjadi isu utama. Data menunjukkan PKS yang menjalin kerjasama dapat memberi peluang pekerjaan yang lebih baik dan berkualiti kepada pekerja tempatan, seiring dengan peningkatan dalam pengeluaran dan kecekapan perniagaan.

Rangkaian dan hubungan perniagaan

Melalui kerjasama dengan IPT, PKS dapat mengembangkan rangkaian perniagaan dengan lebih luas. Ini memberi peluang kepada PKS untuk berinteraksi dengan syarikat lain, PKS lain dan organisasi profesional berkaitan industri. Rangkaian ini membuka pintu kepada peluang kerjasama dan perkongsian yang boleh memberikan manfaat bersama dalam jangka masa panjang. Ini membuka pintu kepada potensi inovasi dan penemuan baharu yang dapat meningkatkan daya saing PKS. Kolaborasi dalam penyelidikan juga dapat membantu mengatasi cabaran teknikal atau kewangan yang mungkin dihadapi oleh PKS.

Kepakaran pemasaran

IPT memiliki kepakaran dalam analisis pasaran dan pemasaran. PKS dapat bekerjasama dengan IPT untuk memahami keperluan pelanggan, tren pasaran dan strategi pemasaran yang berkesan seperti pemasaran digital dan e-dagang. Ini membantu PKS mencapai pasaran yang lebih luas dan bersaing dengan lebih efektif. Melalui pemasaran digital, PKS mampu memasuki pasaran baru yang belum diteroka. Mereka juga boleh menjalin hubungan dengan syarikat atau organisasi yang beroperasi dalam pasaran yang berbeza atau segmen pasaran yang belum diteroka. Ini membuka pintu kepada peluang pertumbuhan yang lebih tinggi dan diversifikasi perniagaan.

Sumber kewangan dan sokongan

Kerjasama antara PKS dengan IPT tidak hanya memberikan manfaat dalam bentuk peningkatan pengetahuan dan kepakaran, tetapi juga membuka peluang akses kepada sumber kewangan tambahan yang boleh membantu PKS dalam mengembangkan projek inovasi dan penyelidikan. IPT memiliki akses kepada program bantuan kewangan dan pembiayaan projek penyelidikan yang diberikan oleh pihak kerajaan atau swasta. Melalui kerjasama dengan IPT, PKS dapat memanfaatkan dana penyelidikan yang ada untuk membantu membiayai projek inovasi mereka. Ini bererti PKS dapat menjalankan projek-projek yang mungkin sebelumnya sukar dijalankan akibat sumber kewangan yang terhad.

Penglibatan dalam komuniti akademik dan industri

PKS yang menjalin kerjasama dengan IPT dapat terlibat dalam komuniti akademik dan pelbagai industri. Ini membolehkan mereka berinteraksi dengan penyelidik, pelajar dan profesional lain, membina hubungan yang erat dan mendapat maklumat industri dan keperluan pasaran yang terkini melalui persidangan dan kajian. Penyelidik dan profesional mempunyai kepakaran teknikal dan pengurusan, yang dapat membantu PKS dalam meningkatkan produk atau perkhidmatan mereka untuk memenuhi permintaan pasaran berasaskan teknologi terkini seperti automasi, internet kebendaaan, kecerdasan buatan dan data raya.

Dalam dunia perniagaan yang sentiasa berubah dan kompetitif, kerjasama antara PKS dan IPT adalah satu langkah strategik yang perlu dilihat secara serius. Ini membantu PKS untuk mengatasi cabaran dan meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran global. Dengan akses kepada pengetahuan, kepakaran, inovasi, dan sumber yang ada dalam IPT, PKS dapat mencipta nilai tambah yang signifikan, mencapai pertumbuhan yang mampan dan memberikan sumbangan kepada ekonomi negara secara menyeluruh. Oleh itu, pembentukan kerjasama yang strategik antara PKS dan IPT perlu ditingkatkan bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mampan dalam jangka masa panjang.

 

 

 

Prof. Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)