Generasi muda memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan sebuah negara yang berdaulat. Cabaran alaf baharu untuk generasi muda mencakupi pelbagai aspek dalam dunia teknologi yang terus berubah dan berkembang dengan pantas. Generasi muda menghadapi pelbagai tekanan dan tuntutan yang berbeza daripada generasi sebelumnya disebabkan oleh perkembangan teknologi, perubahan sosial dan perubahan global seperti teknologi IR4.0, perubahan pasaran kerja dan isu perubahan iklim serta alam sekitar. Bentuk penjajahan model baharu yang dihadapi ketika ini menyebabkan semua negara dunia terkena kesannya, yakni penjajahan baharu dalam bidang ekonomi, teknologi dan budaya. Penjajahan ini sangat berbahaya kerana ia mampu menjarah minda dan jati diri bangsa seterusnya menghancurkan sesebuah negara. Dalam membina kejayaan dalam alaf baharu, adalah penting bagi generasi muda untuk memahami dan menghayati semangat kemerdekaan sebagai “azimat” dalam menghadapi pelbagai cabaran yang muncul. Kemerdekaan bukanlah satu anugerah semata, tetapi ia adalah satu tanggungjawab yang memerlukan semangat juang yang tinggi untuk menjaga dan mempertahankannya. Semangat kemerdekaan merujuk kepada tekad, keazaman dan semangat perjuangan untuk mencapai dan mengekalkan kemerdekaan dari pelbagai bentuk penindasan dan penjajahan dari segi fizikal, mental, ekonomi dan budaya.

Generasi muda perlu menghayati nilai-nilai ini sebagai asas dalam menghadapi pelbagai cabaran alaf baharu yang berbeza dengan cabaran generasi sebelumnya. Generasi muda perlu faham bahawa kebebasan yang dinikmati hari ini adalah hasil daripada pengorbanan dan perjuangan yang hebat dari tokoh-tokoh dan generasi terdahulu sebelum merdeka dan oleh itu, mereka perlu menghargainya dan menghayati perjuangan tersebut dengan melaksanakan peranan mereka dalam membangun dan mempertahankan kedaulatan negara. Dalam menghadapi cabaran alaf baharu, generasi muda juga perlu memahami bahawa dunia berubah dengan begitu cepat. Globalisasi, kemajuan teknologi dan cabaran ekonomi adalah antara faktor-faktor yang boleh memberi kesan besar kepada kemajuan negara. Semangat kemerdekaan perlu menjadi “azimat” yang memberi daya tahan dan semangat yang luar biasa kepada generasi muda untuk menghadapi cabaran-cabaran alaf baharu yang begitu kompleks. Walaupun matlamat berbeza di alaf baharu namun pendekatan dan semangat juang tetap sama. Mereka perlu mempunyai semangat juang yang tinggi untuk terus mencari ilmu dan meningkatkan nilai diri demi kemajuan negara, dan pada masa yang sama, sentiasa bersedia untuk bertindak balas dengan bijak terhadap perubahan yang berlaku.

Pertama, semangat juang dan keberanian yang tinggi penting untuk menjadi pendorong kepada generasi muda dalam menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang. Sejarah menunjukkan semangat juang yang tinggi sangat diperlukan untuk mencapai kemerdekaan daripada penjajah tanah air. Generasi muda harus menghayati semangat juang generasi terdahulu dan tokoh-tokoh dan pahlawan kemerdekaan yang berjuang dengan penuh keberanian. Sebagai contoh, Tok Gajah bertindak menentang penjajah Inggeris yang hendak merampas pemerintahan negeri Pahang. Beliau mempunyai semangat perjuangan yang tinggi serta sanggup berdepan dengan askar-askar Inggeris yang lengkap bersenjata. Selain itu, Tok Janggut telah menentang penjajahan British semasa pengenaan cukai oleh pihak Inggeris di Kelantan. Generasi muda perlu memahami bahawa perjuangan adalah sebahagian daripada proses untuk mencapai matlamat dan perubahan dalam kehidupan. Selain itu, Rentap, pahlawan Sarawak abad ke-19, melawan penjajahan Inggeris dan pemerintahan Brooke. Keberanian dalam menghadapi rintangan akan membantu mereka untuk terus berusaha, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran. Semangat juang mengajar mereka untuk tidak mudah mengalah, bersemangat kental dan terus berusaha tanpa jemu untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

Kedua, sikap tabah dan tidak mudah putus asa merupakan sifat yang penting dalam menghadapi cabaran alaf baharu. Tokoh-tokoh kemerdekaan memperlihatkan ketabahan yang luar biasa dalam perjuangan mereka walaupun menghadapi tentangan, penindasan dan ancaman tetapi mereka tetap tabah dalam usaha mereka untuk mencapai kemerdekaan. Ketabahan yang berasaskan semangat kemerdekaan memberi generasi muda daya tahan untuk tidak mengalah dalam menghadapi tekanan atau ancaman luar. Mereka tidak akan mudah putus asa pada halangan dan akan terus berpegang teguh pada nilai jati diri mereka. Dengan ketabahan ini, mereka dapat menghadapi masa-masa sukar dan fokus untuk mencapai matlamat mereka.

Ketiga, semangat kemerdekaan mengajar bahawa tekad dan keyakinan yang kuat adalah penting untuk mencapai kemerdekaan. Tokoh-tokoh kemerdekaan menghadapi pelbagai cabaran dan kekangan dari penjajah. Tekad dan keyakinan yang kuat membantu mereka untuk mengatasi rintangan dan kesukaran yang dihadapi dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan. Generasi muda perlu memiliki tekad yang sama untuk mencapai matlamat dan mengatasi cabaran alaf baharu yang lebih kompleks. Tekad dan keyakinan ini akan membantu generasi muda untuk terus fokus, bekerja keras dan berusaha untuk mencapai impian dan cita-cita demi masa depan yang lebih cemerlang.

Semangat yang kental untuk berusaha juga adalah merupakan aspek penting dalam menghadapi cabaran alaf baharu. Tokoh-tokoh kemerdekaan tidak hanya memperjuangkan kemerdekaan, tetapi juga membawa inspirasi kepada rakyat dengan semangat kental mereka. Sebagai contoh Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra telah menunjukkan kehebatan sebagai pemimpin yang berwibawa dalam pelbagai bidang, seorang pejuang yang berjiwa kental dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi untuk membebaskan negara dari cengkaman penjajah. Kisah perjuangan untuk mencapai kemerdekaan, dan hasrat untuk melihat Malaysia merdeka telah memberi inspirasi kepada rakyat untuk turut serta dalam perjuangan tersebut. Semangat yang kental ini mampu mendorong generasi muda untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mengembangkan potensi mereka sepenuhnya. Dalam dunia teknologi yang berubah dengan cepat, semangat kental ini mendorong mereka untuk terus belajar, meningkatkan kemahiran, dan memperoleh pengetahuan baharu. Generasi muda yang berjiwa kental akan dapat mengekalkan daya saing dan berjaya dalam pelbagai bidang yang mereka ceburi.

Sikap patriotisme dan cinta terhadap tanah air juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk mentaliti generasi muda dalam menghadapi cabaran. Patriotisme dan cinta terhadap tanah air adalah nilai penting yang dimiliki oleh tokoh-tokoh kemerdekaan. Semangat mereka untuk mendapatkan kemerdekaan tanah air dan usaha gigih meraka adalah contoh patriotisme yang terbaik. Cinta mereka terhadap tanah air terserlah melalui tekad yang kuat untuk membebaskan rakyat dari penjajahan. Patriotisme dapat mencetuskan rasa cinta dan kebanggaan terhadap negara.  Semangat ini dapat membantu generasi muda terus berusaha untuk memajukan tanah air mereka. Mereka akan bertanggungjawab untuk melindungi warisan kemerdekaan dan memastikan kemajuan serta kesejahteraan negara dapat dikekalkan.

Selain itu, semangat perpaduan adalah faktor penting dalam menghadapi cabaran alaf baharu. Perpaduan merujuk kepada semangat bersama dalam menjadi satu entiti nasional, walaupun terdiri daripada pelbagai kelompok etnik dan budaya. Perjanjian Persekutuan 1957 dan kemudian pembentukan Malaysia pada tahun 1963 adalah contoh bagaimana pelbagai negeri dan pelbagai bangsa telah bersatu untuk mencapai kemerdekaan dan membentuk sebuah negara berdaulat. Peristiwa bersejarah ini menunjukkan komitmen generasi dahulu dalam mencipta perpaduan nasional. Dalam dunia globalisasi, generasi muda perlu bekerjasama untuk mengatasi masalah yang komplek dan melintasi batasan-batasan sosial, budaya dan politik. Semangat kemerdekaan memupuk kesedaran tentang pentingnya bersatu demi kepentingan bersama, dan ini dapat membantu mereka mengatasi perbezaan dan bekerjasama dalam menghadapi cabaran alaf baharu. Keharmonian di antara pelbagai kumpulan etnik dan agama memainkan peranan utama dalam membangunkan negara dan menjayakan matlamat negara yang diimpikan.

Selain itu, penghargaan terhadap pengorbanan oleh generasi terdahulu merupakan aspek yang penting dalam membentuk sikap generasi muda dalam menghadapi cabaran. Penghargaan ini melambangkan penghormatan kita terhadap usaha dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh pahlawan-pahlawan dan tokoh-tokoh negara dalam mencapai kemerdekaan yang kita nikmati hari ini. Sebagai contoh, Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikir yang hebat serta pengorbanan beliau menentang pihak penjajah telah menjadikan beliau sebagai seorang tokoh yang sangat disegani dan dihormati. Semangat kemerdekaan mengajarkan generasi muda untuk menghargai sejarah dan warisan negara serta untuk menjaga dan mempertahankan kemerdekaan yang telah dicapai. Penghargaan ini akan mendorong generasi muda untuk memahami nilai-nilai yang mendasari kemerdekaan dan bertanggungjawab untuk mengekalkan kemerdekaan ini dari pelbagai aspek.

Kesediaan untuk menghadapi risiko juga merupakan ciri penting dalam semangat kemerdekaan. Generasi terdahulu, termasuk tokoh-tokoh kemerdekaan menghadapi pelbagai rintangan dan ujian semasa menentang penjajah. Mereka terdedah kepada penindasan dan penahanan oleh pihak penjajah yang cuba menghalang perjuangan mereka. Meskipun begitu, mereka terus gigih dan berani dalam usaha untuk menegakkan hak kemerdekaan. Generasi muda yang menghayati semangat ini akan lebih bersedia dan berani mengambil risiko untuk menghadapi cabaran, walaupun risiko tersebut mungkin melibatkan ketidakpastian dan kegagalan. Mereka perlu berani berinovasi, mencuba perkara baharu, dan menghadapi perubahan dengan bijaksana supaya tindakan-tindakan tersebut membawa manfaat dalam jangka masa panjang.

Terakhir, semangat kemerdekaan juga menggalakkan kesediaan untuk belajar dan dan meningkatkan nilai diri. Tokoh-tokoh kemerdekaan terdahulu telah mengambil inisiatif untuk memahami isu politik dan sosial semasa pada zaman tersebut. Mereka mendalami teori politik, memahami hak-hak asasi dan belajar daripada perjuangan kemerdekaan negara-negara lain. Pengetahuan ini membantu mereka mengartikulasikan kemerdekaan Malaysia sehingga kita mampu mencapai kemerdekaan dan berjaya mentadbir negara. Generasi muda perlu memahami bahawa pembelajaran dan peningkatan diri adalah kunci dalam menghadapi cabaran alaf baharu. Mereka perlu meneroka dan belajar pengetahuan baharu, teknologi terkini, kemahiran baharu dan pandangan baharu yang membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan dalam dunia digital dan teknologi.

Keseluruhannya, semangat kemerdekaan mampu menjadi sumber inspirasi yang kuat dalam membentuk sikap dan tindakan generasi muda dalam menghadapi cabaran alaf baharu. Semangat kemerdekaan seperti semangat juang, ketabahan, tekad, inspirasi, patriotisme, perpaduan, penghargaan, kesediaan menghadapi risiko, kemahuan untuk belajar, serta keupayaan untuk mempertahankan kedaulatan, memberi mereka daya tahan dan keyakinan untuk menghadapi masa depan dengan penuh yakin dan optimisme. Semangat ini adalah pendorong yang kuat yang akan membantu generasi muda mencipta Malaysia yang lebih baik dan memajukan negara ke tahap yang lebih tinggi pada era yang penuh cabaran ini.

 

 

 

Prof. Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Top of Form