Belakangan ini, ramai rakyat Malaysia menggunakan perkataan ‘terpaling.’ Perkataan ini bukanlah suatu yang asing lagi dalam kalangan masyarakat Melayu pada hari ini. Bermula dengan bahasa slanga dan akhirnya kini banyak digunakan dalam penulisan di media sosial. Saban hari, masyarakat pada hari ini seakan tidak lagi peduli akan kesalahan tatabahasa dalam bahasa kebangsaan kita.

Menerusi carian di laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka, penanda darjah penghabisan ter- dan paling tidak boleh digunakan serentak dalam satu binaan ayat. Sebagai contoh, frasa ‘terpaling cantik.’ Penggunaan darjah penghabisan bagi frasa ini adalah salah sama sekali. Frasa yang lebih tepat adalah ‘tercantik’ atau ‘paling cantik’.

Apakah kesan yang bakal berlaku jika kesalahan tatabahasa sebegini dinormalisasikan penggunaannya dalam pertuturan seharian? Generasi muda terutamanya pelajar-pelajar sekolah akan menganggap frasa ini betul kerana digunakan secara meluas pada hari ini. Kesannya, mereka akan mengguna pakai bukan sahaja dalam perbualan, bahkan dalam penulisan rasmi khususnya peperiksaan.

Mungkin ada yang menganggap bahasa Melayu sekadar medium komunikasi. Asalkan bahasa yang digunakan dapat menyampaikan mesej dan berkongsi informasi, ianya sudah memadai. Abaikan sahaja tatabahasanya betul atau salah. Persepsi ini perlulah diubah kerana peranan bahasa adalah jauh lebih luas.

Sedarkah kita bahawa bahasa yang kita gunakan turut melambangkan identiti kebangsaan? Penggunaan bahasa yang betul haruslah dipupuk dan diterapkan dalam masyarakat. Bahasa bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi, malah ia mampu menjadi wadah untuk menyubur semangat patriotisme. Dalam erti kata lain, bahasa mampu menimbulkan perasaan bangga dan cinta akan negara.

Walaupun bahasa bersifat dinamik dan berubah mengikut peredaran zaman, ini bukanlah alasan untuk mengetepikan masalah kesalahan bahasa yang semakin parah. Penggunaan bahasa yang cacamarba mampu merosakkan keindahan bahasa Melayu itu sendiri. Jika tiada sebarang usaha yang progresif dan proaktif bagi mengekang masalah ini, sudah pasti ia akan semakin merebak dalam kalangan generasi hari ini. Maka, tidak mustahil jika suatu masa nanti bahasa Melayu akan jauh lebih rosak.

Antara usaha yang boleh dilakukan bagi menangani masalah ini ialah papan-papan tanda dan iklan haruslah menggunakan bahasa Melayu yang betul. Seringkali kita lihat, iklan-iklan yang dipaparkan di sekeliling kita sudah bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa asing. Ditambah pula dengan ejaan dan tatabahasa yang salah, namun dibiar sahaja terpampang pada papan iklan. Walau bagaimanapun, usaha ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak secara berterusan dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Selain itu, pihak kerajaan dan swasta harus berganding bahu bagi melaksanakan kempen bahasa Melayu. Dalam kempen tersebut, masyarakat akan diberi pendedahan dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Dalam usaha penyebaran informasi, pihak penganjur perlulah memanfaatkan sepenuhnya pelbagai saluran media arus perdana di kaca televisyen dan radio. Begitu juga aplikasi dalam talian. Dengan kepesatan era digital pada hari ini, sudah pastinya penyebaran maklumat akan menjadi lebih mudah.

Bersempena dengan bulan kebangsaan ini, marilah kita menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul. Tingkatkan jati diri sebagai warganegara dengan mencintai bahasa kebangsaan kita.

 

Anak perantau sesat di lembah,

Melangkah jauh tidak berteman;

Bahasa Melayu bahasa yang indah,

Semoga tak lapuk, hilang dek zaman.

 

 

 

 

Farhana Abd Hamid

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)