Oleh Nurul Elmy Mohamed Yusof, Norashikin Johari, Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Seramai 449 staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dari pelbagai skim dan gred jawatan dirai dalam Majlis Anugerah Bitara Kirana yang berlangsung pada 22 Ogos 2023 bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Majlis tersebut menyaksikan seramai 195 staf menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) manakala Anugerah Jasa Bakti (15), Anugerah Taat Setia (160), Anugerah Khas Panel Pembangunan Sumber Manusia (45), Anugerah Inspirasi Cendekiawan (27) dan Anugerah Sukan (46).

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad selaku wakil rasmi Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani yang juga Pro Canselor UTHM. 

Dato’ Sri Ibrahim dalam ucapannya menyeru warga kerja untuk mengamalkan budaya integriti dan kerjasama berpasukan bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

“Ini kerana kedua-duanya mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu, bahkan kepada organisasi yang disertai,” katanya.

Beliau dalam ucapannya turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua staf UTHM yang terpilih untuk menerima anugerah.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim turut berpesan kepada warga kampus agar bersaing secara sihat dalam mencipta kejayaan, selain sentiasa meningkatkan kebolehan diri dan melaksanakan tugas yang diberi dengan sehabis baik.

“Saya yakin dan percaya UTHM mempunyai begitu ramai staf daripada golongan Runners mahupun Joggers, lantaran itu pihak universiti akan terus memberi sokongan dan pengiktirafan sewajarnya demi meningkatkan lagi motivasi setiap warga,” katanya.

Untuk rekod, Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UTHM sebelum ini telah dijenamakan semula sebagai Majlis Anugerah Bitara Kirana bagi memberi nafas baharu kepada identiti UTHM.

Bitara Kirana yang membawa maksud ‘sinar yang tiada tara’ memberi gambaran kepada apresiasi UTHM terhadap warga kerjanya yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan.

Selain itu, ia juga sebagai penghargaan kepada mereka yang telah memberi khidmat bakti terbaik dalam melaksanakan tugas, mahupun sumbangan lain seperti kegiatan sukan, sosial dan kemasyarakatan.

Majlis anjuran Pejabat Pendaftar itu turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pegawai-pegawai Kanan Universiti. 

 

“Jadilah warga UTHM yang “BITARA” (tiada tara dan satu-satunya) serta “KIRANA” (bersinar, cantik, elok dan indah) tanpa dikotori persaingan tidak sihat, berhasad dengki, iri hati dan saling menjatuhkan.” – Prof. Ruzairi