Oleh Nur Sabrina Mohd Jamri, Prof. Madya ChM. Dr. Hatijah Basri, Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati Muhammad
JAKARTA – Bagi menambah ilmu dan pengalaman di luar negara, 10 pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan kepujian, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai program International Summer Camp di Universitas Bakrie, Jakarta Indonesia pada 7 hingga 17 Ogos 2023 lalu.
Program di bawah seliaan pensyarah FAST, Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati Muhammad dan pensyarah Universitas Bakri, Dr. Kurnia Ramadhan itu merupakan bengkel yang berfokuskan kepada analisis sensori untuk penyelidikan dan industri makanan.
Antara pengisian ilmu yang diperoleh, pendedahan berkaitan beberapa teknik analisis yang digunakan dalam sektor penyelidikan dan industry, beserta latihan untuk menganalisis data menggunakan perisian seperti Microsoft Excel, XLSTAT, SPSS dan RStudio.
Selain itu, peserta juga turut didedahkan dengan tren dan perkembangan terkini berkaitan analisis penyelidikan makanan dan pembangunan produk makanan dalam industri.
Mereka juga perlu menghadapi penilaian akhir berdasarkan praktikal penggunaan perisian bersama tafsiran terhadap data-data yang dianalisis dan peperiksaan bagi menentukan mereka menguasai kesemua modul yang dikongsikan.
Untuk rekod, sebelum ini UTHM dan Universitas Bakrie pernah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Program mobiliti tersebut merupakan salah satu program kerjasama yang dirancang bagi membantu pelajar UTHM-Universitas Bakrie menyiapkan projek sarjana muda dalam bidang teknologi makanan.
Hasilnya, para pelajar mendapat pelbagai manfaat termasuklah dapat melihat secara kasar bagaimana sektor penyelidikan dan industri saling memerlukan untuk perkembangan revolusi perindustrian makanan.