JEPUN – Bagi menambahkan ilmu dan pengalaman sedia ada, 12 pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai program mobiliti antarabangsa ke dua universiti terkemuka Jepun iaitu Hokkaido University dan Muroran Institute of Technology (MIT) pada 7 hingga 17 Jun 2023 lalu.
Program mobiliti anjuran FKMP dengan kerjasama Persatuan Pelajar Mekanikal (PPM) dan Pejabat Antarabangsa UTHM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohammad Sukri Mustapa itu diadakan bertujuan untuk menerokai bidang akademik di kedua-dua universiti terbabit di samping mengenali budaya dan tradisi setempat kaum Sapporo.
Menurut Dr. Sukri, program itu menjadi platform kepada pelajar untuk menambah pengalaman mereka di luar negara selain mempelajari budaya kerja, pemikiran kritis, inovasi dan teknologi terkini yang dibangunkan hasil daripada penyelidikan yang dilakukan.
“Melalui mobiliti ini, para pelajar dari ketiga-tiga universiti berpeluang berkomunikasi dan bertukar pandangan berkaitan bidang akademik di universiti masing-masing.
“Selain itu program mobiliti ini juga mampu memberi impak kepada UTHM dalam membina hubungan yang baik sekali gus mencipta peluang kolaborasi dengan universiti luar negara,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Sr Ts. Dr. Hj. Lokman Hakim Hj. Ismail dan Dekan FKMP, Profesor Ts. Dr. Amir Khalid turut menyempurnakan upacara pelepasan peserta dengan menyerahkan bendera UTHM kepada pengarah program, Muhamad Arif Lukman Mohd Shuib.
TNC (HEPA) dalam ucapannya berkata program seumpama itu menjadi medium yang sangat berharga kepada pelajar UTHM untuk menimba sebanyak mungkin ilmu serta pengalaman di negara matahari terbit itu.
Ketika berada di sana, kumpulan pelajar tersebut berpeluang menyertai Festival Sapporo Natsu Matsuri yang disambut setiap bulan Jun dan Ogos setiap tahun, yang melibatkan persembahan tradisi pelbagai kaum dan etnik tempatan.
Sementara itu, delegasi UTHM juga sempat berbincang dengan Timbalan Presiden MIT, Profesor Tetsuya OKAWA berkaitan kerjasama dua hala yang boleh dilaksanakan oleh dua universiti terbabit.
Manakala salah seorang delegasi, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Rasidi Ibrahim pula membentangkan program-program akademik dan pusat penyelidikan yang ada di UTHM bagi tujuan promosi.
Selain itu, para pelajar pula diberi peluang oleh Institut Teknologi Muroran untuk mengikuti kuliah yang disampaikan oleh Prof. Oisyi Yoshihiko dengan tajuk penyelidikan “Buble Drag Reduction for Ship”.
Selain lawatan akademik, tiga penyelidik dan dua pelajar pascasiswazah turut berpeluang membentangkan hasil kajian masing-masing.
Mereka juga diberi kesempatan menyertai ucaptama seminar antarabangsa iaitu The 11th Asia Conference on Mechanical and Materials Engineering (ACMME 2023) yang diadakan di Sapporo pada 8 hingga 11 Jun 2023.