CHINA, 22 Jun 2023 – Bagi menjalinkan kerjasama strategik dalam bidang akademik dan penyelidikan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rabiah Ahmad mengunjungi Dongguan University of Technology, Dongguan dan Guangxi University of Science (DGUT) and Technology, Liuzhou pada 17 hingga 22 Jun 2023 lalu.

Lawatan kerja di bawah tajaan UK-CHINA-Belt and Road initiative Konsortium itu turut disertai Prof. Madya Ts. Dr. Asmarashid Ponniran, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Prof. Madya Ir. Dr. Soon Chin Fhong, penyelidik utama dari Pusat Penyelidikan Shamsuddin-Mikroelektronik dan Nanoteknologi (MiNT-SRC).

Dalam lawatan tersebut, delegasi UTHM menghadiri persidangan yang bertajuk “2023 Symposium on China-Foreign Countries’ Higher Education and Research,” yang mana Prof. Rabiah telah dijemput menyampaikan keynote address bertajuk “UTHM Towards Global Technolopreneur University 2030.”

Sementara itu, kunjungan delegasi UTHM ke GXUST pula bertujuan membincangkan kolaborasi akademik antaranya berkaitan mobiliti pelajar China berkredit ke fakulti-fakulti kejuruteraan di UTHM dan penyeliaan pelajar penyelidikan secara bersama.

Presiden GXUST, Prof. Dr. Liu Baochen berbesar hati menerima kunjungan delegasi dari enam rakan universiti konsortium UK-CHINA-BRI iaitu UTHM, National University of Laos, Cornivus University of Budpest, Chiang Mai University, Edinburgh Napier University dan Hanoi University of Industry.

Beliau sangat mengalakkan pertemuan seumpama itu bagi membincangkan sebarang bentuk kerjasama dalam memperkasakan lagi bidang akademik dan penyelidikan universiti.

Dalam lawatan kerja itu juga, para delegasi dibawa melawat Pusat Incubator Inovasi Pelajar, Pusat Latihan Kemahiran Pengaturcaraa Pelajar dan Pusat Nanoteknologi yang dilengkapi dengan peralatan canggih untuk analisis bahan dalam skala nano. 

Delegasi UTHM turut mengadakan perbincangan berkaitan pemetaan kurikulum bersama Dekan-dekan sekolah kejuruteraan dan Pengarah Hubungan Antarabangsa GXUST.