Oleh ChM. Dr. Zalilah Murni Yunus

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bekerjasama dengan Universiti Bundlekhand, Jhansi, Uttapradesh, India mengadakan program mobiliti inbound bertemakan ‘Chemistry Beyond Borders’ pada 15 hingga 22 Mei 2023 lalu bertempat di kampus Pagoh dan kampus induk Parit Raja.

Program tersebut melibatkan penyertaan pelajar Tahun 1 dan Tahun 2 program Kimia Industri (BWK), Jabatan Fizik dan Kimia manakala delegasi Universiti Bundlekhand pula melibatkan enam pelajar diiringi dua pensyarah iaitu Assistant Professor Dr. Rekha Lagarkha dan Assistant Professor Dr. Prakash Chandra.

Program tersebut diisi dengan aktiviti penyampaian kuliah kursus bidang kimia oleh pensyarah-pensyarah daripada kedua-dua universiti, pembentangan hasil kajian pelajar Pasca Ijazah daripada kedua-dua university serta lawatan ke makmal-makmal sains dan teknologi kampus Pagoh.

Delegasi turut diraikan dengan lawatan ke Perpustakaan Tunku Tun Aminah serta lawatan sekitar Kampus Parit Raja.

Menariknya, selain aktiviti di kampus delegasi turut berpeluang merasai suasana dan budaya tempatan dalam sesi lawatan santai ke tempat-tempat bersejarah di kawasan berhampiran.

Pelaksanaan program tersebut telah memberi manfaat secara kolektif terutamanya berkaitan pendedahan kepada sesi kuliah yang berbeza dan lebih kondusif, pengalaman menyampaikan hasil kajian peringkat sarjana dan doktor falsafah di peringkat antarabangsa dan peluang menguasai kaedah menganalisis data kajian.

Selain itu, para peserta berpeluang mengadakan perbincangan mengenai pengajaran dan pembelajaran (PdP), perkongsian pandangan dua hala dalam pelbagai aspek terutamanya aspek berkaitan kemudahan asas dan program akademik yang ditawarkan di universiti kepada pelajar-pelajar antarabangsa serta pengalaman merasai suasana setempat dan budaya tempatan.

Di akhir program, kedua-dua university mencapai kata sepakat untuk berbincang secara terperinci mengenai hasrat untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasakan lagi penyusunan dan pelaksanaan pelbagai aktiviti pada masa akan datang.

Sementara itu, pelajar-pelajar BWK yang terlibat sepanjang program melahirkan rasa teruja bukan sahaja dengan pengalaman sulung ini tetapi juga program kolaborasi seterusnya yang dijangka akan direalisikan pada tahun hadapan.

Manakala delegasi Universiti Bundlekhand pula teruja untuk berkongsi pengalaman berharga mereka sepanjang berada di UTHM dengan rakan-rakan senegara.

Maklum balas tersebut sekali gus memperlihatkan impak positif program kepada para pelajar dan kedua-dua institusi amnya yang mana ia mampu menambahkan lagi prospek kolaborasi UTHM bersama institusi pengajian tinggi luar negara.