Alergi atau alahan merupakan satu perkataan yang tidak asing kepada kita semua. Ia membawa maksud respon sistem imun badan terhadap sesuatu bahan yang membawa kepada ketidakselesaan, kerengsaan atau lebih teruk lagi boleh menyebabkan berlakunya gangguan pernafasan. Terdapat beberapa jenis kategori alahan antaranya alahan terhadap makanan, haiwan, ubat-ubatan, tumbuhan atau tanaman juga persekitaran seperti debu dan habuk.
Bagi ibu ayah yang mempunyai anak yang mempunyai alahan, sudah pasti mereka menghadapi pelbagai cabaran yang perlu ditempuh dalam membesarkan anak. Malah, si anak yang mempunyai alahan ini juga perlu melalui fasa tumbesaran yang mencabar lebih-lebih lagi ketika mereka berada jauh daripada pantauan ibu dan ayah seperti di sekolah, mahupun di luar rumah.
Penulis sendiri mempunyai pengalaman anak yang sangat sensitif dan alah kepada pelbagai jenis komponen makanan antaranya kicap, telur, produk berasaskan kelapa, keju, karamel, beberapa pewarna makanan tiruan dan buah-buahan tertentu. Alahan yang dialami si anak bermula sejak usianya masih kecil. Ketika usianya mencapai enam bulan, si kecil itu mula didedahkan dengan pelbagai jenis makanan dan bermula dari situlah penulis menyedari anaknya mempunyai alahan terhadap pelbagai jenis komponen makanan.
Perkara ini turut disahkan oleh doktor pakar yang merawatnya. Si kecil itu sering mengalami kegatalan dan kemerahan, bengkak dan sembap di bahagian muka setiap kali badannya memberi tindak balas terhadap makanan yang membawa kepada alahan tersebut. Pelbagai rawatan cuba dilakukan seperti mengikut jadual pemakanan yang disarankan oleh doktor untuk memperkenalkan komponen makanan yang membawa alahan ini sedikit demi sedikit, juga memberi beberapa ubat-ubatan.
Keadaan ini lebih mencabar apabila si kecil itu mula ke tadika seawal usia empat tahun. Tatkala anak-anak lain menyambut hari lahir bersama kawan-kawan dengan memotong dan menikmati kek di tadika, si kecil itu hanya mampu memandang tanpa boleh menjamah dek kerana ramuan kek kebiasaannya menggunakan telur, juga pewarna tiruan. Acap kali juga si kecil itu menggenggam coklat, biskut atau apa sahaja yang diberikan oleh guru mahupun kawan-kawan di sekolah sehingga waktu balik, hanya kerana takut untuk mencubanya tanpa ibu dan ayah di sisi. Persoalan demi persoalan diajukan kepada ibu dan ayah tentang keadaannya yang perlu makan hanya makanan yang dibekalkan dari rumah dan tidak boleh makan makanan yang sama seperti kawan-kawan lain. Itulah emosi yang perlu dijaga setiap hari. Tidak mudah untuk membuat si kecil itu faham akan erti alahan yang dialaminya.
Pelbagai tanggapan diberikan bukan sahaja kepada si anak, malah kepada ibu dan ayah apabila melihat anak kecil itu sentiasa membawa bekal makanannya sendiri ke mana sahaja. Antara tanggapan yang diterima termasuklah ibu dan ayah terlalu takut untuk mencuba lagi dan lagi makanan yang membawa kepada alahan. Namun, sebaliknya sesetengah mereka percaya teknik ini mampu menghilangkan alahan yang dihidapi.
Tidak kurang juga, ada yang beranggapan bahawa ibu dan ayah terlalu cerewet dalam memilih dan memberi makanan kepada anak, atau anak yang tidak sudi atau terlalu memilih untuk menjamah makanan yang disediakan lebih-lebih lagi ketika memenuhi undangan jamuan atau musim perayaan. Adakalanya, apabila juadah terhidang, tidak ada satu pun yang boleh dijamah kerana faktor alahan yang dialaminya. Semua makanan hanya mampu dipandang sepi oleh si kecil yang penulis percaya mempunyai keinginan yang sama dengan kanak-kanak seusianya untuk mencuba pelbagai rasa dan nikmat rezeki makanan yang terhidang.
Ada ibu bapa yang menganggap situasi itu terlalu sukar untuk ditangani dan mereka memilih untuk memberikan sahaja tanpa mengambil kira kesan yang berlaku selepas itu. Ada juga individu lain yang sengaja memberikan makanan yang boleh membawa kepada alahan walaupun telah dimaklumkan tentang perkara tersebut. Bayangkan, sekiranya berlaku alahan yang teruk ketika itu seperti gangguan pernafasan, namun tiada bekalan perubatan yang dibawa atau jauh daripada kemudahan klinik mahupun hospital, sudah pasti keadaan akan menjadi lebih sukar dan boleh membahayakan anak kecil.
Dalam ilmu perubatan, alahan ini mungkin boleh hilang apabila usia meningkat dewasa. Namun, keadaan ini tidak berlaku kepada semua individu yang mempunyai alahan. Ada juga di antara mereka yang alahannya kekal walaupun mereka telah mencapai umur dewasa. Begitu juga dengan anak penulis, meskipun kini anaknya telah berusia lapan tahun, namun alahannya masih kekal sama tanpa ada perubahan sedikit pun. Walau bagaimanapun, semakin anak-anak ini meningkat dewasa, sudah pasti mereka mampu mengawal emosi dan semakin faham tentang keadaan diri mereka yang sedikit berbeza dengan individu lain.
Jadi, sebagai masyarakat kita perlu sentiasa cakna dan tidak memandang remeh pada anak-anak yang mempunyai alahan terhadap makanan seperti ini kerana sudah pastinya setiap ibu dan ayah mempunyai alasan tersendiri dalam memastikan yang terbaik buat anak-anak mereka. Bagi ibu dan ayah yang mempunyai anak alahan, kita perlu sentiasa tabah dan sabar dalam membesarkan amanah Allah dan mengambil setiap ujian ini dari sudut positif. Jika kita positif, si anak juga akan sentiasa positif dalam memahami keadaan diri mereka. Walaupun keadaan ini terlihat sukar pada mata orang lain, namun jika kita sentiasa bersangka baik dengan Allah sudah pasti kita akan melihat pelbagai hikmah di sebaliknya.
Nadia Nur Afiqah Ismail
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)