BATU PAHAT, 8 Mei 2023 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kampus induk hari ini menerima kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin sempena lawatan kerja beliau ke universiti awam seluruh negara.
Kedatangan beliau disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Naib Canselor, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim serta Pegawai-pegawai Kanan UTHM yang lain.
Dalam rangka lawatan tersebut, YB Menteri telah dibawa melawat ke pameran berimpak tinggi berkaitan kelestarian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pameran aktiviti pelajar yang diadakan di perkarangan Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA).
Beliau turut diberi penerangan berkaitan produk inovasi yang dipamerkan antaranya dron kargo (C-Drone) dan kereta elektrik selain pameran TVET seperti Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET), Pusat UNESCO & UNIVOC UTHM, Living Lab dan Teaching Factory dengan kerjasama rakan industri, Syarikat Teknousahawan Pelajar dan Syarikat Tebitan Universiti.
Dalam pertemuan selama lebih dua jam itu, YB Menteri juga sempat menyaksikan penukaran beberapa dokumen perjanjian persefahaman (MoU) antara UTHM dengan industri, menyampaikan bantuan bakul makanan dan wang tunai sumbangan Yayasan UTHM kepada pelajar B40 serta meninjau pelaksanaan Menu Siswa Rahmah di kafeteria berdekatan.
Pada akhir lawatan, beliau telah diberi taklimat berkenaan hala tuju dan pencapaian UTHM sepanjang 30 tahun penubuhannya, terutamanya dalam usaha memperkasakan bidang TVET negara.
Beliau dalam ucapannya menyeru UTHM untuk memantapkan lagi pelaksanaan hala tuju universiti yang bertujahkan kepada teknologi lestari dan pengangkutan agar bidang-bidang tersebut dapat menyumbang kepada penciptaan pekerjaan serta pendapatan negara.
Beliau juga berharap pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh UTHM menjadi kekuatan dalam merancakkan lagi jalinan kerjasama dengan industri bagi memperbanyak program perantisan yang bakal memanfaatkan semua pihak berkepentingan.
YB Menteri turut menyarankan UTHM untuk meneroka kebolehlaksanaan serta potensi program ‘Work-Based Learning’ dan bidang TVET Termaju dalam meningkatkan bilangan enrolmen, di samping memberi nilai tambah kepada graduan di pasaran kerja kelak
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan) Jabatan Pendidikan Tinggi KPT, Dato’ Prof. Dr. Norzaini Azman.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 9 Mei 2023: UTHM diminta bantu peta ekosistem pendidikan TVET
https://malaysiagazette.com/2023/05/09/uthm-diminta-bantu-peta-ekosistem-pendidikan-tvet/
2. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com), 11 Mei 2023: UTHM diseru bantu pemetaan ekosistem TVET negara
https://sinarbestari.sinarharian.com.my/my-ipt/uthm-diseru-bantu-pemetaan-ekosistem-tvet-negara
3. Sinar Harian (sinarharian.com), 11 Mei 2023: KPT saran UTHM bantu pemetaan ekosistem TVET
4. Malaysia MSN (msn.com), 11 Mei 2023: KPT saran UTHM bantu pemetaan ekosistem TVET
https://www.msn.com/en-my/news/berita/kpt-saran-uthm-bantu-pemetaan-ekosistem-tvet/ar-AA1b20d5