Oleh Dr. Adi Syahid Mohd Ali, Ts Dr. Azham Mohd Azmi, Dr. Nur Ilyani Ramli, Mohd Fikri Mohd Masrom
BATU PAHAT – Kolej Kediaman Dalam Kampus (KKDK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program ‘KKDK Hour’ pada 19 Mei 2023 lalu secara dalam talian dengan penyertaan seramai 166 peserta.
Menurut Pengetua Kolej Kediaman Dalam Kampus, Ts. Dr. Mohd Azham Mohd Azmi tujuan utama program KKDK Hour ini adalah untuk meningkatkan kesedaran peserta mengenai pentingnya penjimatan tenaga bagi kesejahteraan dan kelestarian alam.
Selain itu, program itu juga bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai sasaran tenaga di UTHM.
Pengurus Tenaga Universiti dari Pejabat Kampus Lestari, UTHM, Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Fairouz Mohd Yousof telah dijemput menjadi penceramah bagi membincangkan kepentingan penjimatan tenaga dan sasaran tenaga di UTHM.
Program itu juga melibatkan sesi perbincangan mengenai tip penjimatan tenaga yang mana peserta berinteraksi dan berkongsi pendapat mengenai langkah-langkah praktikal dalam mengurangkan penggunaan tenaga sehari-hari.
Selesai ceramah, peserta diminta menutup lampu selama satu jam sebagai tindakan simbolik dalam menyokong Kempen KKDK Hour.
Kempen tersebut akan diulang setiap minggu dengan tujuan menjadikannya amalan penjimatan tenaga di Kolej Kediaman.
“Diharapkan penganjuran program seumpama ini dapat mendorong pelajar untuk mengamalkan penjimatan tenaga dalam kehidupan harian mereka.
“Dengan adanya KKDK Hour, pihak kolej berharap dapat menjadi contoh yang baik dalam menjaga alam sekitar dan kelestarian sumber tenaga,” kata Dr. Mohd Azham.