Jurang tenaga kerja dan cabaran pengekalan tenaga mahir sektor rel di Malaysia

Gambar hiasan: Sumber dagangnews.com

Sektor kereta api di Malaysia telah memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara sejak penubuhannya pada akhir 1800-an. Kereta api diiktiraf sebagai salah satu mod pengangkutan darat yang penting kerana kelebihannya seperti keupayaan bergerak dalam jarak jauh dengan kapasiti muatan yang besar. Selain itu, ia adalah salah satu bentuk pengangkutan yang paling selamat, berteknologi rendah karbon di samping berada di luar daripada kesesakan jika dibandingkan dengan mod pengangkutan darat yang lain. Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 telah merangka penambahbaikan sektor pengangkutan rel Malaysia dengan menyasarkan peningkatan permintaan penumpang kepada perkhidmatan rel daripada 4 peratus pada 2018 kepada 20 peratus menjelang 2030. Peningkatan permintaan kepada pengangkutan rel dijangka menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia, kerana sumbangan sektor rel kepada KDNK negara dijangka meningkat daripada 0.3 peratus pada 2015 kepada 1.2 peratus menjelang 2030. Sasaran ini boleh dicapai dengan meningkatkan jumlah perjalanan daripada 70 juta pada 2018 kepada 260 juta menjelang 2030 melalui projek menaik taraf rangkaian kereta api, pembangunan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi, dan pemodenan sektor rel.

Justeru, pemodenan dan penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan rel perlu seiring dengan peningkatan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja sektor rel. Tidak dapat disangkal, sektor rel telah menyediakan peluang pekerjaan yang ketara kepada ribuan pekerja dalam pelbagai peranan, termasuk di bahagian operasi, penyelenggaraan dan perkhidmatan pelanggan. Namun begitu, masih terdapat cabaran yang dihadapi oleh sektor kereta api di Malaysia khususnya mengekalkan tenaga kerja mahir dan pakar di samping memenuhi jurang kemahiran tinggi berasaskan teknologi terkini bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan selamat, cekap, boleh dipercayai serta memenuhi kualiti yang sepatutnya. Antara isu yang hangat di perkatakan kini dalam industri pengangkutan rel berkaitan dengan pembangunan modal insan adalah peningkatan jurang bakat dan kemahiran teknologi terkini selaras dengan pendigitalan sistem pengangkutan serta cabaran mengekalkan pekerja mahir untuk bekerja di sektor kereta api. Isu jurang kemahiran ini bukan hanya dihadapi oleh negara kita malahan telah dilaporkan dalam pelbagai laporan teknikal luar negara khususnya negara Eropah.

Cabaran mengekalkan tenaga kerja mahir industri rel negara

Menurut laporan Kesatuan Keretapi Antarabangsa (International Union of Railways), industri kereta api dijangka menghadapi kekurangan pekerja mahir yang ketara pada tahun-tahun akan datang. Laporan tersebut telah menyatakan bahawa menjelang 2025, industri akan memerlukan tambahan 1.2 juta pekerja mahir di seluruh dunia. Jurang ini disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk lapisan tenaga pekerja mahir yang sudah memasuki usia persaraan, kekurangan pelaburan dalam latihan dan pembangunan khususnya latihan berasaskan TVET, dan kurangnya minat golongan muda untuk meneruskan kerjaya dalam industri teknikal yang dianggap lebih sukar. Generasi muda kini lebih terarah kepada kerjaya Gig jika dibandingkan dengan pasaran pekerjaan dahulu. Ekonomi gig telah menjadi semakin popular dalam kalangan generasi muda, kerana ia menawarkan fleksibiliti, autonomi dan peluang untuk mengusahakan pelbagai projek. Sebaliknya, pekerjaan berteraskan sains dan teknologi memerlukan set kemahiran tertentu, pendidikan, pengiktirafan badan profesional dan selalunya komitmen jangka panjang untuk bidang tertentu. Justeru, penurunan bilangan muda yang mengambil jurusan berasaskan sains dan teknologi di institusi pengajian tinggi dapat dilihat dengan ketara. Kurangnya minat generasi muda juga adalah disebabkan oleh persepsi bahawa pekerjaan dalam industri ini bergaji rendah dan kekurangan peluang untuk pertumbuhan kerjaya.

Untuk menangani isu ini, kerajaan Malaysia dan pihak berkepentingan industri perlu mengambil langkah proaktif untuk menarik dan mengekalkan pekerja mahir. Isu perpindahan tenaga kerja mahir negara dalam bidang rel ke negara jiran seperti Singapura dan negara-negara timur tengah telah mula dihadapi sejak beberapa tahun yang lalu. Secara asasnya, perpindahan tenaga mahir dalam apa juga bidang kritikal adalah disebabkan tawaran tangga gaji yang jauh lebih tinggi yang dapat ditawarkan di samping faedah yang kompetitif seperti kemudahan penginapan, kesihatan, elaun tambahan serta pendedahan kepada teknologi terkini yang digunakan oleh negara lain yang tidak digunakan di Malaysia. Malahan isu kenaikan gaji serta insentif pakej pekerjaan tenaga kerja bidang rel telah mendapat perhatian pihak kerajaan. Isu tersebut menuntut kerajaan campur tangan dalam menambah baik skim perkhidmatan dan tangga gaji pekerja agar dapat mengurangkan kadar pusing ganti pekerja yang sangat membimbangkan dalam bidang rel.

 

Langkah merapatkan jurang kemahiran industri rel

Terdapat beberapa langkah yang boleh dilaksanakan dalam memastikan pengekalan bakat serta kemahiran industri. Salah satu penyelesaian utama ialah melabur dalam program latihan dan pembangunan yang boleh membantu merapatkan jurang kemahiran. Ini bukan sahaja membantu membangunkan kemahiran tenaga kerja sedia ada tetapi juga menarik golongan muda ke industri. Pembangunan strategi komprehensif yang mengambil kira keperluan industri dan tenaga kerja perlu disediakan. Strategi ini harus melibatkan kerjasama antara pihak berkepentingan industri, institusi pendidikan dan agensi kerajaan. Kolaborasi pelbagai pihak ini boleh memanfaatkan kepakaran dan sumber semua pihak berkepentingan untuk mewujudkan pendekatan yang komprehensif untuk latihan dan pembangunan.

Kerajaan juga boleh memberi insentif kepada syarikat yang terlibat dalam industri kereta api untuk melabur dalam program latihan dan pembangunan pekerja. Insentif dan geran pembangunan sumber manusia juga boleh diberikan kepada akademi latihan kendalian operator rel. Namun latihan yang diberikan adalah lebih baik sekiranya mendapat kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia khususnya membangunkan standard kemahiran pekerjaan kebangsaan (NOSS) terperinci bidang rel. Kerangka kemahiran harus direka bentuk untuk menyediakan pekerja dengan kemahiran dan kelayakan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan industri. Ini akan menggalakkan syarikat melabur dalam pembangunan tenaga kerja mereka dan mewujudkan kumpulan bakat pekerja mahir secara berterusan untuk industri.

Selain itu, usaha mempromosikan bidang pekerjaan dan pengajian berasaskan sains dan teknologi dalam rel perlu diperkasa bagi memperbaiki persepsi golongan muda. Ini boleh dicapai dengan mempromosikan industri sebagai sektor berteknologi tinggi dan inovatif yang menawarkan prospek kerjaya yang baik dan peluang untuk pertumbuhan. Industri juga boleh bekerjasama dengan institusi pendidikan awam dan swasta yang menawarkan bidang pengajian berkaitan pengangkutan rel untuk mewujudkan kesedaran tentang industri dan peluang yang ditawarkannya. Di samping itu, industri rel boleh bekerjasama dengan industri lain untuk menarik pekerja mahir. Sebagai contoh, industri kereta api boleh bekerjasama dengan industri aeroangkasa dan automotif, yang memerlukan kemahiran dan kepakaran yang hampir sama. Langkah ini akan menggalakkan kepelbagaian dan keterangkuman dalam industri. Ini boleh membantu menarik lebih ramai bakat dan memberi peluang pekerjaan yang lebih banyak. Secara tidak langsung langkah ini akan membantu mewujudkan kumpulan pekerja mahir yang boleh diambil bekerja dalam kedua-dua industri.

 

Peningkatan kemahiran masa hadapan sektor rel

Sektor kereta api telah mengalami perubahan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pendigitalan dan automasi. Akibatnya, kemahiran baharu diperlukan untuk masa hadapan, dan terdapat jurang kemahiran yang semakin meningkat dalam sektor ini. Memandangkan industri rel di Malaysia terus menerima pakai teknologi negara luar, kemahiran yang diperlukan untuk tenaga kerja generasi akan datang semakin berkembang. Industri kereta api mesti mengambil langkah untuk memastikan tenaga kerja mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam era digitalisasi.

Berdasarkan laporan yang disediakan oleh pihak Eropah, beberapa kemahiran utama yang akan diperlukan untuk masa depan industri rel adalah termasuk analisis data, automasi dan kecerdasan buatan. Set kemahiran pekerja masa akan datang yang disediakan ini telah menyerlahkan jurang kemahiran dalam kategori kakitangan yang berbeza, seperti jurutera, kakitangan operasi dan pengurusan. Satu contoh jurang kemahiran dalam industri kereta api Malaysia adalah kekurangan kakitangan yang mempunyai kemahiran dalam bidang analisis data. Memandangkan industri kereta api menjadi lebih automatik serta dilengkapi dengan sistem kecerdasan yang canggih, terdapat keperluan yang semakin meningkat untuk kakitangan mahir dalam bidang IT dan automasi serta boleh mengendali dan menyelenggarakan sistem automatik. Bagaimanapun, kemahiran menganalisis data, membuat peramalan berasaskan data yang banyak masih lagi kurang.

Antara latihan kemahiran dan pengetahuan lain yang diperlukan pada masa hadapan dalam sektor rel adalah seperti sistem pengangkutan automatik dan tanpa pemandu, teknologi maklumat dan aplikasi telematik, sistem kooperatif dan komunikasi V2X (vehicle-to-vehicle), Mobiliti-sebagai-sebuah perkhidmatan (MaaS), integrasi perkhidmatan berasaskan infrastruktur dalam kenderaan, personalisasi peranti/ kenderaan/ perkhidmatan semasa pemasangan, teknologi hijau dalam rel, pengurusan aset rel, perkongsian mobiliti dan model perniagaan serta fleksibiliti pengangkutan. Motivasi utama peningkatan kemahiran tersebut adalah disebabkan faktor ingin mencapai tahap keselamatan yang sepatutnya, meningkatkan kecekapan perjalanan operasi, penjimatan tenaga, penyelenggaraan dan pengawasan sistem rel secara holistik.

Pembangunan pakej kemahiran rel masa hadapan ini telah mula dibangunkan oleh beberapa negara seperti Singapura, Hong Kong dan Korea. Sebagai contoh, Pakej Pembangunan Tenaga Kerja Rel yang dibangunkan oleh pihak berkuasa pengangkutan darat (LTA) Singapura adalah untuk mempercepatkan pembangunan kemahiran tenaga kerja rel dan menarik lebih ramai bakat kejuruteraan untuk menyertai sektor rel tanpa perlu mengikuti jurusan atau bidang kejuruteraan rel secara khusus. Pakej ini menjadi nilai tambah kepada skim latihan sedia ada yang dibangunkan oleh operator rel atau akademi rel dan membolehkan lebih ramai pekerja menjalani program peningkatan kemahiran digitalisasi rel. Mereka turut memperkenalkan program mentor dalam bidang rel yang mana pekerja baharu atau separa mahir akan digandingkan dengan tenaga kerja mahir dan pakar tempatan atau luar negara mengikut bidang tertentu yang dapat membantu perkembangan kemahiran dan peningkatan kerjaya pada masa akan datang. Program pembangunan kemahiran kereta api seperti yang dibangunkan oleh negara-negara ini boleh dijadikan sebagai rujukan bagi menyediakan rangka kerja berstruktur untuk melahirkan profesional dan pengurus dalam bidang rel.

Kesimpulannya, jurang kemahiran dan bakat dalam industri kereta api merupakan isu mendesak yang perlu ditangani segera. Kekurangan pekerja mahir menghalang pertumbuhan dan pembangunan industri dan menjadi antara halangan utama untuk menerima pakai teknologi baharu sektor rel. Kerajaan Malaysia dan pihak berkepentingan industri perlu mengambil langkah proaktif untuk menangani isu ini, termasuk melabur dalam program latihan dan pembangunan, menyediakan insentif kepada syarikat, meningkatkan persepsi industri, dan bekerjasama dengan industri lain. Institusi TVET memainkan peranan yang sangat penting dalam merapatkan jurang kemahiran dan kumpulan bakat dalam industri rel Malaysia. Melalui kursus-kursus dan latihan yang disediakan oleh institusi TVET, individu dapat memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk bekerja dalam industri, dan membantu meningkatkan kemahiran standard dalam industri tersebut. Oleh itu, kerajaan dan industri harus memberi sokongan yang mencukupi kepada institusi TVET, dan mempromosikan serta menyediakan peluang pendidikan yang lebih baik. Dengan mengambil langkah ini, industri boleh merapatkan jurang kemahiran dan mewujudkan kumpulan tenaga kerja mahir untuk menghadapi cabaran sistem pengangkutan masa depan.

 

 

 

 

 

Profesor Madya Dr. Nor Aziati Abdul Hamid

Penyelidik Kanan

Pusat Kecemerlangan Industri Rel

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 12), 10 Mei 2023: Pakej kemahiran rel masa hadapan bakal tarik tenaga kerja mahir

 

2. Utusan Malaysia (muka surat: 32), 15 Mei 2023: Atasi segera jurang tenaga kerja dalam sektor rel negara

 

3. Utusan (utusan.com.my), 15 Mei 2023: Atasi segera jurang tenaga kerja dalam sektor rel negara

Atasi segera jurang tenaga kerja dalam sektor rel negara

 

4. Melaysiakini (melaysiakini.com), 15 Mei 2023: Atasi segera jurang tenaga kerja dalam sektor rel negara

https://www.melaysiakini.com/atasi-segera-jurang-tenaga-kerja-dalam-sektor-rel-negara-89795.html

 

5. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 29 Mei 2023: Jurang tenaga kerja dan cabaran pengekalan tenaga mahir sektor rel di Malaysia

Jurang tenaga kerja dan cabaran pengekalan tenaga mahir sektor rel di Malaysia

Categories
E-WacanaKeratan Akhbar 2023Rencana
Subscribe