Melakukan aktiviti fizikal semasa berpuasa boleh menjadi satu cabaran kepada individu akibat ketiadaan pengambilan makanan dan minuman sepanjang hari. Walau bagaimanapun, dengan persiapan yang rapi dan penjagaan kesihatan yang baik, seseorang masih boleh menjalankan aktiviti fizikal semasa berpuasa.
Puasa adalah menahan diri daripada makan, minum dan aktiviti lain dari fajar hingga terbenamnya matahari pada bulan Ramadan. Sementara sukan pula melibatkan aktiviti fizikal yang dilakukan untuk kesihatan, kecergasan dan keseronokan.
Untuk menjalani ibadah puasa dengan baik, seseorang perlu memastikan bahawa mereka mempunyai tenaga yang mencukupi untuk menahan diri sepanjang hari. Oleh itu, adalah penting untuk memilih jenis makanan yang sesuai dan mencukupi sebelum dan selepas waktu berpuasa. Memilih makanan yang tinggi protein dan serat akan membantu mengekalkan tenaga dan mengurangkan rasa lapar.
Pada masa yang sama, sukan membantu dalam pengurangan berat badan dan mampu memperbaiki tahap kesihatan secara keseluruhan. Namun, perlulah berhati-hati dengan jenis aktiviti yang dipilih dan tidak dilakukan secara berlebihan ketika berpuasa.
Di bawah ini disenaraikan beberapa tip yang boleh membantu individu bagi menjalankan aktiviti fizikal semasa berpuasa:
- Jadualkan aktiviti fizikal pada waktu yang sesuai seperti waktu petang atau selepas berbuka puasa. Suhu badan pada waktu ini akan lebih baik dan tubuh mempunyai cukup tenaga untuk bergerak.
- Memulakan aktiviti dan meningkatkan intensiti secara perlahan-lahan. Hindari aktiviti yang memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi di awal puasa.
- Amalkan aktiviti fizikal yang tidak memerlukan penggunaan tenaga yang terlalu tinggi seperti berjalan kaki, yoga, tai chi dan aktiviti regangan.
- Pastikan diri sentiasa hidrasi dengan pengambilan air yang mencukupi. Amalan pengambilan air yang secukupnya ketika berbuka puasa dan sahur adalah sangat penting untuk mengelakkan dehidrasi.
- Memilih makanan yang berkhasiat dan memenuhi keperluan nutrisi semasa berbuka puasa dan ketika sahur. Pengambilan sumber karbohidrat dan protein yang mencukupi mampu memenuhi keperluan tenaga dan memperbaiki tisu semasa melakukan aktiviti fizikal.
- Perlu tahu tahap kemampuan diri sendiri. Jangan memaksa diri untuk melakukan senaman yang berlebihan kerana anda dalam keadaan berpuasa dan mempunyai tenaga yang terhad. Dicadangkan masa senaman perlu dihadkan iaitu tidak melebihi 60 minit.
Oleh itu, menjalankan aktiviti fizikal semasa berpuasa memerlukan persiapan diri dan ilmu. Setiap individu juga perlu mengambil kira tahap kesihatan sebelum memulakan aktiviti fizikal ketika berpuasa dan bijak memilih waktu dan jenis aktiviti dan ingin dilakukan.
Farhawahidah Ahmad Puad
Bahagian Pengurusan Pelajar
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh