Sekilas pandang tentang ‘deep learning’

Ilustrasi deep-learning

Teknologi komputer masa kini sangat maju dan menarik. Ianya termasuklah bidang Artificial Intelligence (AI) yang sangat berguna untuk menyelesaikan masalah yang kompleks. Jadi, sebagai pelajar atau mereka yang mengikuti bidang sains komputer perlu tahu satu ilmu yang disebut sebagai deep learning. Persoalannya di sini adalah apa itu deep learning? Deep learning merupakan subset kepada pembelajaran mesin. Ia adalah rangkaian saraf yang boleh terdiri daripada beberapa lapisan. Rangkaian saraf berfungsi seperti otak manusia kerana keupayaannya untuk belajar daripada jumlah data yang besar.

Deep learning banyak dimuatkan di dalam beberapa aplikasi untuk meningkatkan fungsi automasi tanpa bantuan kepakaran manusia. Antara aplikasi yang menggunakan teknologi deep learning ini termasuklah pengecaman wajah, pengecaman suara, analisis berita, pengesanan penipuan kewangan, analisis saham dan pengesanan penyakit barah. Deep learning yang digunakan untuk pengecaman wajah adalah satu proses mengenal pasti atau mengesahkan identiti seseorang dengan menganalisis ciri-ciri wajah mereka. Kaedah biasa yang digunakan untuk pengecaman wajah adalah menangkap imej atau video wajah seseorang dan menggunakan algoritma tertentu untuk mengekstrak ciri wajah seperti jarak antara mata, bentuk hidung dan mulut serta eye contact. Ciri-ciri ini kemudiannya dikenal pasti dengan pangkalan data wajah yang telah disediakan untuk menentukan identiti seseorang itu.

Jika bercakap tentang aplikasi pengecaman suara pula, ia merujuk kepada keupayaan aplikasi untuk mengesan dan mengenali pertuturan atau bunyi manusia. Ia adalah teknologi yang membolehkan peranti seperti telefon pintar dan pembesar suara pintar bertindak balas kepada arahan suara dan berinteraksi dengan manusia melalui pengecaman pertuturan. Pengecaman suara menggunakan deep learning adalah untuk memproses ciri pertuturan manusia seperti kelantangan dan kekerapan. Kemudian, aplikasi itu boleh membezakan pertuturan daripada bunyi lain dalam persekitaran seperti bunyi latar belakang atau muzik serta mengecam perkataan dan frasa yang dituturkan oleh seseorang dengan tepat. Aplikasi analisis berita pula merujuk kepada proses memeriksa berita, artikel dan laporan untuk mengenal pasti corak, aliran dan tema asas. Ia berupaya menganalisis kandungan berita, mencari perkaitan dan hubungan antara peristiwa dan isu yang berbeza dan mentafsir kepentingan berita dalam konteks yang lebih luas. Ia juga sangat berguna dalam pemantauan media, analisis politik dan ramalan kewangan.

Aplikasi pengesanan penipuan kewangan adalah satu proses untuk mengenal pasti dan mencegah aktiviti penipuan dalam industri kewangan. Biasanya aktiviti penipuan tersebut dapat dikenal pasti dengan penggunaan teknologi, analisis data dan teknik penyiasatan. Aplikasi ini berupaya mengenal pasti corak tingkah laku penipuan atau transaksi yang mencurigakan. Kita sedia maklum, terdapat beberapa cara atau bentuk aktiviti penipuan dalam industri kewangan seperti kecurian identiti, penipuan kad kredit, pengubahan wang haram dan penipuan perakaunan. Kewujudan aplikasi ini, setidak-tidaknya dapat mengurangkan kerugian kewangan atau kerosakan kepada reputasi institusi kewangan.

Deep learning yang dimuatkan dalam aplikasi analisis saham adalah untuk pedagang dan pelabur mengetahui maklumat tentang pasaran saham. Jenis aplikasi ini dapat membantu pelabur membuat keputusan terbaik sebelum membeli dan menjual saham. Deep learning juga diaplikasikan dalam aplikasi pengesanan penyakit barah. Aplikasi ini mampu mempelajari dan mengenali corak dalam data set seperti mammogram, CT scan dan MRI image yang boleh membantu mengenal pasti kawasan yang mencurigakan yang mungkin terdapatnya barah seseorang pesakit.

Kesimpulan terbaik dalam artikel ini adalah deep learning menjadi penting dalam kehidupan hari ini kerana ia dapat membantu masalah-masalah yang lebih kompleks.

 

 

 

 

Ts. Dr. Mohd Azahari Mohd Yusof

Pensyarah Kanan

Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 25 Mac 2023: Sekilas pandang tentang deep learning

Sekilas pandang tentang deep learning

 

2. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com), 6 April 2023: Deeplearning bantu pelajar fahami fungsi automasi tanpa kepakaran manusia

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/guru-komuniti/deeplearning-bantu-pelajar-fahami-fungsi-automasi-tanpa-kepakaran-manusia?fbclid=IwAR3svpdtUK73pIZx1JA1KFXOly2oAWb1kUBCQW5fuocxie6ApMgICbJkHEw

Categories
E-WacanaKeratan Akhbar 2023Rencana
Subscribe