Oleh Ts. Dr. Muhammad Asyraf Hasim

BATU PAHAT – Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima kunjungan delegasi daripada Universitas Muhammadiyah Kalimantan Timur (UMKT), Indonesia bagi tujuan lawatan penanda aras pengurusan kualiti akademik dan program mobiliti pelajar pada 13 dan 14 Februari 2023.

Delegasi tersebut terdiri daripada 10  staf dan 18 pelajar Sarjana Pengurusan dan Ijazah Sarjana dari Fakultas Ekonomi Bisnis dan Politik, UMKT.

Ketibaan delegasi disambut pengurusan fakulti yang ketuai oleh Dekannya, Prof. Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri; Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Azlina Md Yassin; Timbalan Dekan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan & Penerbitan), Prof. Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom; Ketua Jabatan Siswazah, Prof. Madya Ts. Dr. Roshartini Omar dan Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan, Dr. Noor Aslinda Abu Seman.

Lawatan tersebut diisi dengan taklimat pengurusan kualiti akademik dan sesi penasihatan pengurusan akademik secara khusus bagi program-program pascasiswazah yang ditawarkan FPTP serta pengurusan penyelidikan, pembangunan dan penerbitan di fakulti.

Menurut Dr. Shafie, perkongsian itu bagi memberi pendedahan baharu dan peluang kepada program pascasiswazah di UMKT Indonesia untuk meningkatkan mutu akademik seiring keperluan semasa.

”Pada pertemuan tersebut, beberapa isu lain juga telah dibincangkan seperti usaha meningkatkan kecemerlangan pelaksanaan program akademik, program pemerkasaan kualiti pelajar serta strategi yang dapat membawa institusi menjadi lebih dikenali di peringkat global.

”Delegasi lawatan turut berpeluang mengenal pasti peluang kerjasama yang boleh dilaksanakan secara bersama seperti program mobiliti pelajar yang melibatkan pertukaran pelajar antara institusi, kerjasama dalam penganjuran persidangan dan penerbitan, dan lawatan-lawatan akademik yang bersesuaian,” katanya.

Selain itu, program lawatan itu turut diisi dengan slot  ’Postgraduate Engagement Day’ yang melibatkan 20 orang pelajar pascasiswazah FPTP bersama pelajar UMKT.

Antara aktiviti di bawah slot tersebut, taklimat berkaitan program-program pascasiswazah di FPTP, perkongsian pengalaman pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) oleh beberapa pelajar pascasiswazah FPTP dan perkongsian ilmu berkaitan How to Publish Your Research oleh Dr. Juliana Abd Halip.

Melalui slot itu, para pelajar FPTP dan UMKT juga dapat berkenalan dengan lebih dekat lagi melalui sesi suai kenal yang diadakan pada akhir sesi.

Selain itu, forum bicara bertajuk ’Social Entrepreneurship’ turut diadakan bertempat di Bilik Seminar Utama FPTP.

Forum berdurasi dua jam yang disertai pelajar sarjana dan PhD dari kedua-dua universiti itu melibatkan dua panel jemputan iaitu Profesor Dr. Wan Fauziah Wan Yusoff dari FPTP dan Dr. Farid Wajdi, Dekan Fakultas Ekonomi Bisnis dan Politik, UMKT serta dibantu oleh Dr. Muhammad Asyraf Hasim sebagai moderator.

Delegasi turut dibawa melawat fasiliti dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di fakulti serta Perpustakaan Tunku Tun Aminah.

Di samping itu, pihak Jabatan Pengurusan Perniagaan turut mengiringi delagasi melawat Pusat Memproses Makanan FAMA di Rengit, Batu Pahat dan Azhar Manufacturing Sdn. Bhd.

Lawatan industri itu memberi pendedahan serta pengalaman secara langsung berkaitan pemprosesan serta penjualan produk makanan dan minuman oleh syarikat-syarikat kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

”Pihak kami berharap program lawatan seumpama itu dapat membantu menambah baik pengurusan kualiti dan pentadbiran UMKT khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan dan penerbitan,” kata Dr. Shafie.