Pembangunan pesat terutama dalam aspek pembinaan infrastruktur di Malaysia kian rancak sementelah berakhirnya era pandemik. Perkara ini dapat dilihat dengan pembinaan lebuhraya SUKE, LRT, MRT dan beberapa bangunan baharu di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan juga negeri-negeri lain. Nyatanya, pembangunan ini amat ketara untuk memenuhi kehendak masyarakat yang memerlukan fasiliti dan infrastruktur yang berkualiti dalam menjalani urusan harian.
Penghasilan projek berkualiti yang mana dapat dibina dan disiapkan dalam tempoh masa, kos dan kualiti yang dipersetujui dalam kontrak bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. Pelbagai cabaran sering diperkatakan oleh pemain industri binaan dalam mereka bentuk, membina dan menyiapkan sesuatu projek tidak kira sama ada projek pembangunan mahupun infrastruktur berat. Antaranya seperti keberkesanan sistem perolehan (procurement system) yang dipilih bagi melaksanakan sesuatu projek pembangunan. Pemilihan sistem perolehan yang tepat akan mempengaruhi kualiti penghasilan projek yang mana perlu memenuhi kepuasan pihak klien secara menyeluruh.
Secara umumnya, sistem perolehan merupakan suatu tatacara untuk melantik kontraktor bagi pelaksanaan sesuatu kerja pembinaan. Terdapat beberapa kaedah perolehan boleh dijalankan bagi melantik kontraktor seperti melalui sebut harga, tender terbuka, tender reka dan bina, penswastaan, bersekutu (partnering), usaha sama (point venture), permintaan (requisition), gotong royong, kontrak pusat, pra-kelayakan, request for proposal serta rundingan terus.
Sepertimana termaklum, perolehan rundingan terus sedang hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat kini. Tambahan pula dengan berita terkini yang mana pihak kerajaan turut melihat perkara ini sesuatu yang serius melibatkan perolehan rundingan terus yang perlu dikaji semula tahap keberkesanannya. Tender secara terus ini dikatakan sangat terdedah dengan masalah “salah pilih kontraktor” dan sering dikaitkan dengan isu kroni (cronyism). Hal yang sama juga berlaku di luar negara seperti Hong Kong misalnya yang juga dikenali sebagai “Quanxi” (ahli keluarga atau saudara mara terdekat). Sebagai remedi daripada situasi ini, semua urusan perolehan projek kerajaan disarankan melalui proses tender secara terbuka.
Tender terbuka atau tender konvensional merupakan satu kaedah perolehan yang sangat meluas digunakan sama ada di negara maju mahupun negara membangun seperti Malaysia. Sistem ini dilihat sebagai satu pendekatan yang efektif kerana membuka peluang saksama kepada semua kontraktor untuk bersaing secara sihat dalam menawarkan harga yang terbaik dan berpatutan kepada pihak klien. Perkara ini selaras dengan prinsip perolehan itu sendiri yang pada dasarnya membuka dan memberi peluang sama rata kepada semua kontraktor yang layak untuk bertanding bagi memperoleh sesuatu projek pembinaan.
Walaupun sistem tender runding terus menjadi bahan perdebatan pelbagai pihak, namun ia masih dianggap sebagai suatu kaedah yang relevan bagi situasi-situasi tertentu. Misalan projek-projek yang mempunyai reka bentuk yang kompleks, tempoh masa projek yang singkat, bajet yang terhad, dan juga memerlukan teknologi termaju yang spesifik. Bukan itu saja, malah ia juga masih sesuai digunakan bagi projek-projek yang melibatkan perolehan keselamatan atau pertahanan negara, atau ketika berlakunya bencana alam.
Dalam pembangunan infrastruktur yang melibatkan aspek keselamatan dan pertahanan negara seperti kem askar, penjara, dan pusat pentadbiran negara, kaedah secara runding terus ini amat diperlukan. Hal itu dikatakan sedemikian kerana melibatkan aspek kerahsiaan negara yang mana mungkin sukar dikawal dan boleh mendedahkan bahaya kepada negara jika sesuatu projek keselamatan dan pertahanan dibuat secara tender terbuka.
Jika sesuatu kejadian bencana alam seperti banjir kilat dan kejadian tanah runtuh, sistem rundingan terus memainkan peranan penting melibatkan keputusan perlu dibuat oleh kerajaan dalam melantik kontraktor bagi pelaksanaan kerja-kerja tebatan banjir, penambahbaikan dan pembersihan secara segera bagi mengekang perkara yang tidak diingini terus berlaku.
Kejadian bencana tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini di Batang Kali berhampiran jalan utama yang menghubungkan laluan di antara Batang Kali dan Genting Highland merupakan situasi yang memerlukan tindakan segera kerajaan. Bukan itu saja, keputusan segera diperlukan bagi kerja-kerja pemulihan pasca bencana alam luar jangkaaan seperti penambahbaikan cerun dan pemeliharaan kestabilan jalan raya. Jelaslah, kaedah secara runding terus memainkan peranan utama bagi situasi terdesak sebegini.
Oleh yang demikian, pertimbangan yang sewajarnya amat diperlukan dalam membuat keputusan bagi tender runding terus untuk tidak diteruskan. Ia bukan sahaja akan memberi impak kepada pihak kontraktor, malahan ia juga akan memberi impak kepada masyarakat umumnya. Perlaksanaan sedia boleh ditambah baik yang mana prosedur pelantikan kontraktor diperkemas dan lebih sistematik. Hanya kontraktor yang “berwibawa,” berpengalaman kerja lepas yang cemerlang serta memiliki kekuatan sumber termasuklah kewangan, teknikal dan pekerja yang mencukupi dan tidak mempunyai sebarang kes berkaitan kelewatan atau disenarai hitam oleh pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) boleh dipilih bagi menjalankan projek.
Selanjutnya, proses rundingan harga perlu melalui tapisan yang terperinci dan harga yang ditawarkan kepada kontraktor juga perlu munasabah serta mengambil kira kadar harga pasaran semasa. Hal ini amat penting, kerana setiap wang yang dirunding antara dua pihak yang berkontrak melibatkan wang kerajaan iaitu hasil kutipan daripada pembayar cukai terdiri daripada rakyat Malaysia yang setia dengan tanah air. Bukan itu sahaja, setiap masyarakat tidak kira dalam mahupun luar bandar merupakan golongan yang layak untuk merasai dan menikmati setiap pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan.
Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom
Ketua Koordinator Jaringan Global
Unit Building Infomation Modelling (BIM)
Penyelidik Utama Pusat Penyelidikan Pengurusan Infrastruktur Lestari dan Alam Sekitar (CSIEM)
Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan)
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Sr Norazilan Mazahar, PQS, MRISM
Penolong Juruukur Bahan Kanan, Bahagian Kontrak Dan Ukur Bahan (BKUB)
Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB)
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Artikel ini juga diterbitkan di :
1. Utusan Malaysia, 2 Januari 2023 :
2. Utusan Malaysia Online (www.utusan.com.my) , 2 Januari 2023 : https://www.utusan.com.my/ekonomi/2023/01/masihkah-relevan-perolehan-secara-runding-terus-pada-2023/
3. Berita Harian, 5 Januari 2023 :