Nilai kebersamaan sering dilupakan dan nilai ini adalah salah satu nilai yang sangat penting dalam apa jua aspek. Baik kebersamaan dalam keluarga, masyarakat, agama dan pekerjaan, nilai ini perlu sentiasa dipelihara agar kejayaan dapat dikecapi bersama.

Apakah takrif kebersamaan?

Bagi penulis sendiri, perkataan ini jelas dan sentiasa diingati selepas mendengar ucapan daripada Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Prof. Ir. Ts. Dr.  Ruzairi bin Abdul Rahim yang acap kali mengingatkan supaya nilai kebersamaan sentiasa diterapkan dalam suasana pekerjaan. Kebersamaan menurut Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat pula ialah keadaan atau hal bersama.

Nilai kebersamaan dilihat begitu mahal kerana nilai ini semakin jarang dijumpai. Biasanya kita dapat melihat adanya nilai kebersamaan dalam menyelesaikan sesuatu kerja, namun jarang sekali diterapkan dengan sepenuhnya. Ada yang hanya wujud ketika permulaan iaitu di peringkat perbincangan sesuatu tugasan, namun tiada semasa pelaksanaannya.

Kadangkala kita juga tidak menyedari bahawa diri kita sendiri melupakan nilai kebersamaan yang sangat penting dalam kehidupan terutamanya apabila kita terpaksa mengejar tarikh-tarikh akhir sesuatu tugasan yang diterima dalam jangka masa yang singkat atau pada saat-saat akhir. Sudah tentu kita terpaksa memilih untuk menyelesaikan tugasan tersebut dengan kadar segera tanpa sempat mendengar atau memikirkan pandangan ahli-ahli lain. Justeru, marilah kita bersama melihat kemungkinan langkah yang perlu kita lakukan bagi menerapkan nilai kebersamaan dalam apa jua yang dilakukan. Semoga nilai ini terus subur dan sentiasa diamalkan bersama.

Kejayaan sendiri atau kejayaan bersama.

Tanyalah kepada sesiapa sahaja, pasti setiap orang inginkan kejayaan dalam hidup. Namun, sedar atau tidak kejayaan bersama adalah kejayaan yang paling bermakna berbanding kejayaan yang dicapai secara sendiri. Untuk mencapai kejayaan bersama sebenarnya nilai yang sangat penting ialah kebersamaan. Umpama kata-kata ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’ sering kita laungkan sebagai kata semangat dalam perjalanan menuju kejayaan berpasukan. Misalannya dalam pasukan bola sepak, mana mungkin mereka dapat mencapai kejayaan sekiranya nilai kebersamaan tiada dalam pasukan, dalam diri pemain, jurulatih mahupun pengurusan sesebuah pasukan. Kejayaan yang dirai bersama amat bermakna dengan semangat kerja yang semakin utuh dalam kalangan staf. Jika berjaya dalam sesuatu cabaran dan dilaksanakan bersama pasukan, kebiasaannya kata penghargaan seperti ‘syabas’ atau ‘tahniah’ lebih banyak diterima berbanding kejayaan individu. Sama ada ia diterima daripada ketua, majikan atau rakan sekerja, ucapan tersebut tetap akan menjadikan staf lebih bermotivasi dan merasa seperti telah menyumbang sesuatu yang berharga untuk pasukan dan organisasi. Secara tidak langsung membantu pencapaian kebersamaan dalam sesebuah pasukan pada masa akan datang dengan lebih mudah daripada sebelumnya.

Apa yang tidak penting bagi diri kita, boleh jadi penting untuk pasukan kita

Pernah atau tidak kita terlintas dalam fikiran semasa berpasukan, ‘kerja ini tidak memberi manfaat untuk aku, tak payah lah nak sibuk buat’ atau ‘alah ni dia boleh urus sendiri’ atau ‘rasanya ada ke orang nak dengar pendapat aku?,’ kata-kata seperti ini perlu disisih dalam diri dan sanubari jika kita bekerja bersama pasukan. Ini kerana dalam tidak sedar, kita sendiri tidak nampak keupayaan dan kekuatan yang ada dalam diri kita. Namun, pasukan kita sedang mengharapkan keupayaan dan kelebihan yang ada dalam diri kita bagi mencapai kejayaan sesebuah projek atau matlamat pasukan. Dalam kebersamaan sebenarnya perlu hadir keyakinan diri dan bakat sendiri. Alangkah ruginya sesebuah pasukan yang mempunyai pelbagai bakat dan pengetahuan tetapi tidak digunakan pada kadar maksimum.

Maklum balas ahli kumpulan atau pasukan 

Tindakan paling awal biasanya dilakukan dalam kumpulan bagi mendapatkan nilai paling berharga iaitu kebersamaan dalam menyelesaikan tugasan ialah perbincangan. Sedar atau tidak, kita sering memilih untuk berdiam diri dalam setiap perbincangan lebih-lebih lagi perbincangan yang dilakukan secara tidak bersemuka. Berkemungkinan kita merasakan pandangan kita tidak penting bagi pasukan kita, mungkin juga kita merasakan tidak layak melontar idea dan pendapat, atau boleh jadi juga kita merasakan tiada apa-apa yang perlu dikatakan dalam setiap perbincangan. Hakikatnya kadang kala ketua/ahli pasukan yang lain sangat mengharapkan maklum balas daripada setiap ahli pasukannya walaupun dengan hanya menyebut ‘baik, saya setuju’ atau kata ringkas yang lain misalan, ‘ok, atau maklum’. Hanya dengan kata-kata ini sebenarnya sudah banyak membantu pasukan kita untuk bergerak ke fasa seterusnya dengan kuat, mudah dan yakin kerana telah mencapai kebersamaan dalam keputusan untuk berpindah ke fasa seterusnya. Kemahiran berkomunikasi yang baik juga penyumbang utama kebersamaan dalam kumpulan. Tindak balas ahli dan ketua yang baik juga dapat membina semangat keyakinan ahli pasukan untuk bekerja dengan nilai kebersamaan.

Raikan kepelbagaian pendapat dan bakat 

Dalam sesuatu pasukan biasanya terdiri daripada pelbagai latar belakang ahli. Kepelbagaian ini jika disertakan dengan nilai kebersamaan, impak kejayaan yang dicapai oleh pasukan tersebut adalah lebih besar. Proses kerja akan lebih cepat, mudah dan produktif. Kepelbagaian kreativiti baik dalam proses pelaksanaan mahupun hasil sesebuah kerja akan jadi lebih bermakna. Setiap bakat dan kemahiran atau pengetahuan yang terjalin bakal menghasilkan kreativiti dan inovasi baharu dalam hasil sesuatu kerja. Atur cara kerja syarikat-syarikat insurans contohnya, mereka banyak menerapkan cara kerja dengan nilai kebersamaan. Setiap hari mereka akan menghadapi pelbagai cabaran atau masalah daripada pelanggan mahupun perkhidmatan yang ditawarkan. Namun, mereka segera menyelesaikannya bersama-sama dan kerap melakukan perbincangan dalam satu pasukan dengan mengadakan perjumpaan mingguan dan mempunyai kumpulan sokongan ‘support group’ yang aktif walaupun hanya berbincang secara dalam talian. Mendengar pendapat dan permasalahan bersama dapat menjadikan sesuatu pasukan lebih berpengalaman dan matang dalam membuat keputusan atau mengurus sesuatu masalah. Ketua juga mempunyai peranan yang penting semasa menerima dan mendengar pendapat atau cadangan yang dikemukakan oleh ahli kumpulan secara berhikmah.  Galakan atau semangat sentiasa diberi kepada ahli untuk bekerja proaktif bersama kumpulan walaupun ketika menolak cadangan atau idea yang difikirkan mungkin kurang bersesuaian dengan keadaan atau proses sesuatu kerja. Memberi peluang kepercayaan pada kebolehan diri serta bakat staf dan ahli pasukan juga dapat membina keyakinan ahli sesebuah pasukan untuk lebih berani memikul tanggungjawab bersama.

Pasukan kita keluarga kita 

Kebersamaan dalam sesebuah pasukan sama seperti kebersamaan dalam keluarga. Dalam sesebuah keluarga, terdapat ibu, ayah, kakak, abang dan adik-adik. Sentiasalah menghulur bantuan dalam sesebuah pasukan. Bergerak bersama, mendaki bersama, jatuh bersama dan berada di puncak pun bersama. Jangan sesekali membeza-bezakan tempoh pengalaman bekerja setiap ahli kumpulan kerana ia akan mencipta jurang sesama ahli. Jurang yang tercipta akan menjadikan kebersamaan lebih sukar dicapai dalam sesebuah pasukan. Saling melengkapi antara satu sama lain baik anda senior atau junior kerana kerja berpasukan yang akan membawa organisasi kita bersama ke puncak kejayaan. Seandainya kebersamaan berjaya diterapkan dalam sesebuah pasukan, hubungan persaudaraan akan terjalin kukuh, seterusnya tugasan atau cabaran mendatang lebih tenang dihadapi bersama. Kita akan lebih selesa untuk bekerja bersama semua ahli pasukan.

Semoga dengan adanya nilai kebersamaan ini dalam diri setiap ketua mahupun ahli pasukan  mendatangkan keyakinan dan semangat dalam diri setiap individu untuk bersama-sama membawa kejayaan berpasukan yakni kejayaan yang bermakna dan lebih besar kepada organisasi. Ketua dan ahli pasukan perlu sentiasa memberikan kerjasama yang baik dalam memastikan nilai kebersamaan sentiasa subur dalam proses kerja dan prestasi pasukan. ‘Apa yang saya beri’ adalah sama penting dengan ‘apa yang saya dapat’ dalam setiap kebersamaan dalam sesuatu pasukan.

 

 

 

Nurulisyazila Othaman

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Bernama (bernama.com), 18 Januari 2023:

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2156817