BATU PAHAT – Hilmi Nasri Rahmat dan Hilmi Nazri Rahmat,28 graduan kembar seiras Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkongsi kegembiraan apabila berpeluang naik ke pentas bersama untuk menerima skrol graduan ketika berlangsungnya Istiadat Konvokesyen ke-22 UTHM.
Anak kembar sulung kepada pasangan Rahmad Mohd Salleh,52 dan Badariah Kamilin,48 itu menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (Katering) kelas pertama serta turut terpilih menerima Anugerah Naib Canselor.
“Dapat belajar dan berkonvo bersama adalah impian kami sejak kecil lagi memandangkan kami sangat rapat dan banyak melakukan apapun bersama.
“Malah kami lega dapat tunaikan impian kedua ibu bapa yang ingin melihat kami berjaya dan menjadi contoh kepada adik-adik,” kata Nasri.
Sepanjang pengajian di UTHM, pasangan kembar itu turut bergiat aktif dalam organisasi kepimpinan pelajar dan sukan lawn bowls serta telah mencatat beberapa rekod kejayaan di dalam dan luar kampus.
Di samping kesibukan mereka mengejar segulung ijazah, Nasri dan Nazri juga tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang anak.
Sebagai anak sulung, setiap hari mereka juga berkorban masa dan tenaga untuk membantu kedua ibu bapa menjalankan bisnes kedai makan.
Tambah Nasri dan Nazri yang kini sedang melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Pendidikan Teknikal (Reka Bentuk Instruksional dan Teknologi), mereka pernah gagal beberapa kali untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.
Namun pelbagai ujian yang ditempuhi pada awalnya tidak mematahkan semangat pasangan kembar itu untuk bergelar mahasiswa universiti selari dengan falsafah hidup mereka, setiap kejayaan tidak akan datang bergolek.
Mereka berpesan kepada bakal-bakal graduan agar mengimbangi bidang akademik dan juga kurikulum kerana ianya merupakan aspek penting yang akan dinilai apabila menceburi bidang pekerjaan kelak.