BATU PAHAT – Seramai 126 orang graduan layak menerima sijil masing –masing setelah berlangsungnya Majlis Konvokesyen Program Eksekutif sempena Istiadat Konvokesyen ke – 22 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan pada 8 Disember 2022 bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM.

Majlis konvokesyen tersebut diadakan bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar yang berjaya menamatkan sesi pembelajaran Program Eksekutif UTHM.

Program Diploma Eksekutif Imam Profesional dilaksanakan bagi meningkatkan profesionalisme pelapis imam dan juga sebagai kelayakan ikhtisas seorang imam profesional.

Program ini bertujuan melahirkan insan berilmu dan bertaqwa berteraskan konsep pengabdian mutlak kepada Allah SWT agar menjadi imam yang unggul dalam membimbing masyarakat ke arah kejayaan dan penghayatan islam.

Manakala, Program Diploma Lepas ljazah (PGDip) Pembelajaran dan Pengajaran Pengajian Tinggi, UTHM pula dilaksanakan bagi melatih staf akademik dalam bidang pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara lebih formal dan sistematik bagi memartabatkan kecemerlangan akademik.

Program ini juga bagi memberi peluang kepada staf akademik melengkapkan diri dalam pelbagai aspek kemahiran demi melahirkan graduan yang berkualiti selaras dengan perubahan dan cabaran di dalam dunia pendidikan.

Majlis Konvokesyen yang disempurnakan oleh Profesor Ts. Dr. Azme Khamis, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM merangkumi dua peringkat pengajian iaitu Penganugerahan Diploma Eksekutif Imam Profesional TM kepada 66 graduan dan Diploma Lepas Ijazah (PGDip) Pembelajaran dan Pengajaran Pengajian Tinggi kepada 60 graduan.

Prof. Azme dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang menerima penganugerahan pada hari tersebut.

“Besar harapan saya kepada semua graduan supaya dapat memanfaatkan sebaik mungkin ilmu dan pengalaman yang diperolehi sepanjang mengikuti Program Eksekutif UTHM ini serta dapat mengaplikasikannya dalam dunia pekerjaan sebenar,” katanya.

Turut hadir, Dato’ (Dr.) Haji Nooh Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor merangkap Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Sulaiman Ismail, Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Johor selaku wakil rasmi Ketua Pengarah Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor, Profesor Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Ahli- Ahli Jawatankuasa Eksekutif Universiti, Ahli-Ahli Senat UTHM dan wakil dari Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Majlis tersebut turut menyaksikan tiga graduan terpilih menerima Anugerah Khas YB. Dato’ Haji Md. Rofiki bagi penganugerahan Diploma Eksekutif Imam Profesional.

Naib Canselor dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada ibu bapa dan graduan yang berjaya menamatkan pengajian di universiti ini.

“Penganjuran majlis konvokesyen ini diharap dapat memberi semangat dan dorongan kepada graduan selain meningkatkan kecemerlangan universiti dalam membentuk hala tuju perjalanan program-program eksekutif dan profesional.

 

Penganugerahan Diploma Eksekutif Imam Profesional TM kepada 66 graduan.

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com):

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/ipt/126-graduan-dirai-dalam-majlis-konvokesyen-program-eksekutif-uthm/