Oleh Anim Zalina Azizan
MELAKA – Bagi meningkatkan disiplin dan sahsiah diri pelajar, badan beruniform Siswa Siswi Koreksional (SISKOR), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan Program Kecergasan Minda dan Komuniti pada 24 September 2022 lalu bertempat di Bandar Hilir, Melaka.
Program Kecergasan Minda yang melibatkan 37 ahli SISKOR dan dua jurulatih itu melibatkan beberapa pengisian seperti lawatan ke Muzium Penjara Malaysia, Bandar Hilir, aktiviti membersihkan kawasan Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka dan aktiviti kecergasan fizikal.
Menurut pengarah program, Nurul Dayana Junizar pada era pandemik, para pelajar terpaksa hadapi pembelajaran secara dalam talian yang menyebabkan mereka tidak dapat berinteraksi secara fizikal.
Makanya peluang untuk berkomunikasi secara meluas agak terbatas sekali gus menyebabkan kemahiran komunikasi mereka tidak dapat ditingkatkan.
Mereka juga tiada pendedahan terhadap budaya kerjasama secara berpasukan atau berkumpulan disebabkan oleh tiada aktiviti secara fizikal selama dua tahun.
“Makanya penganjuran program seumpama ini mampu meningkatkan kemahiran insaniah dan pengetahuan para pelajar selain dapat mengeratkan lagi hubungan antara universiti dan komuniti.
“Program ini juga dilihat dapat menyelesaikan masalah kurangnya jati diri, komunikasi, mengasah bakat kepimpinan dan pembentukan sahsiah diri pelajar yang terkesan apabila terlalu lama mengikuti pembelajaran secara dalam talian,” katanya.
Sementara itu, Jurulatih SISKOR, Sarjan Mohd Azhrul Nizam Azman berkata program itu mampu memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan latar belakang institusi jabatan penjara yang ada di Malaysia.
“Selain itu, program ini juga dapat mewujudkan semangat kerjasama antara ahli SISKOR menerusi aktiviti yang dijalankan dan juga meningkatkan tahap disiplin dan keyakinan diri untuk diterapkan dalam kehidupan seharian,” katanya.
SISKOR akan terus melaksanakan aktiviti seumpama ini pada masa akan datang bagi membentuk kemenjadian graduan selain sebagai usaha mengurangkan tekanan agar dapat melahirkan pelajar yang sihat fizikal dan mental.