Dasar pecah dan perintah yang diamalkan penjajah telah memberi kesan kepada kehidupan masyarakat Malaysia. Hal ini dapat dilihat dalam konteks amalan pembudayaan berasaskan kaum yang masih diaplikasikan sehingga ke hari ini.

Sungguhpun begitu, Malaysia telah melalui pelbagai drama dan air mata bagi memastikan kesepaduan dalam perbezaan tersebut dapat dicapai. Peristiwa 13 Mei 1969 masih kekal sebagai sejarah hitam dan menjadi peringatan akan buruknya kesan perpecahan. Justeru, pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuk pengisytiharan Rukun Negara sebagai pegangan buat seluruh warganegara.

Usaha lain telah diterjemahkan melalui sistem pendidikan. Sistem pendidikan adalah platform terbaik dalam usaha menerapkan semangat perpaduan terhadap seluruh rakyat. Tidak hairanlah, usaha penyepaduan telah dilakukan sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Beberapa laporan pendidikan seperti Laporan Barnes (1951), Laporan Fenn-Wu (1951), Penyata Razak (1956), dan Penyata Rahman Talib (1960) telah mengangkat matlamat perpaduan sebagai agenda utama pendidikan.

Setelah negara mula melangkah ke arah negara industri, agenda perpaduan masih dikekalkan dengan mengekalkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Di samping itu, beberapa silibus pendidikan dirombak seperti Pendidikan Sivik yang digantikan dengan Pendidikan Moral. Pemerkasaan mata pelajaran Pendidikan Islam turut dilaksanakan. Usaha ini adalah bagi memastikan sistem pendidikan dapat menyediakan sumber tenaga yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih.

Bagi memastikan matlamat tersebut kekal dilandasannya, Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah diisytiharkan pada tahun 1988 sebelum disemak semula menjadi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) pada tahun 1996.

Secara umumnya, kerangka FPK mengandungi intipati yang tersusun dan menyeluruh dalam menterjemahkan aspirasi pendidikan yang ingin dicapai oleh negara. Bermula dari pembangunan individu yang bersepadu dan seimbang dari aspek jasmani, emosi dan intelek (JERI), sehingga mampu mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian sesebuah keluarga, masyarakat dan negara.

Berdasarkan kerangka tersebut, pendefinisian perpaduan adalah lebih holistik. Hal ini kerana, perpaduan dilihat melalui kesepaduan elemen-elemen kecil iaitu seseorang individu yang dapat dilahirkan dengan kemampuan berfikiran rasional, bertanggungjawab dan dapat bersemangat patriotik serta memiliki jati diri yang kukuh sebagai rakyat Malaysia.

Dengan penerapan nilai-nilai murni yang diintegrasikan dalam diri seseorang individu melalui pendidikan, pastinya ia dapat memberi panduan dalam melakukan perkara-perkara yang baik dan mulia di samping memberi manfaat kepada masyarakat di sekelilingnya. Sesungguhnya, inilah asas kepada perpaduan yang ingin dicapai tanpa membezakan bangsa, agama, budaya dan bahasa yang mewarnai masyarakat Malaysia.

Dalam kancah arus globalisasi yang semakin mencabar kini, pelbagai cabaran baharu muncul. Wujud tangan-tangan ghaib yang cuba mengganggu-gugat keharmonian yang dipertahankan dari segenap sudut. Tidak hanya membaling batu lalu disorok tangan, malah ada yang tanpa segan-silu turut menikam secara berhadapan.

Justeru, cabaran sebegini tidak mudah jika hanya dilaksanakan oleh sebelah pihak sahaja. Seluruh warganegara terutama generasi FPK yang telah wujud lebih 30 tahun (sejak FPN) dalam sistem pendidikan kebangsaan, perlu turut sama mengimplemenkan nilai-nilai yang diterapkan dalam kehidupan sehari-hari.

Sesungguhnya, kemajuan sesebuah negara bukan terletak hanya kepada berapa jumlah pendapatan negara, bukan juga hanya terletak kepada tingginya bangunan-bangunan pencakar langit. Tetapi ianya terletak kepada keseimbangan pembangunan yang dapat memberikan manfaat kepada semua pihak. Jika tidak, kemodenan yang dikecapi hanya ibarat tin kosong yang kuat bunyinya namun kosong di dalamnya. Takut nanti luntur identiti, hilang nilai murni, musnah generasi.

 

 

Oleh:

Mohd Nur Syufaat Jamiran & Dr. Nur Sofurah Mohd Faiz

Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)