Realiti lanjutan (XR) sememangnya salah satu topik yang paling hangat dibincangkan secara global dalam semua platform media, namun perbincangan dalam pasaran Malaysia masih lagi belum terbuka berbanding negara luar. Tujuan pembangunan teknologi dapat dijelaskan dengan penggunaan utama XR yang membolehkan pengguna meningkatkan pengetahuan mereka dan juga meningkatkan tahap keyakinan dalam industri tertentu yang melibatkan XR untuk diguna pakai dalam bidang kesihatan, pendidikan, pembuatan dan juga peruncitan.

XR melibatkan sebarang gabungan interaksi manusia-mesin yang mana tanggapan realiti yang diubah atau dibina dengan komputer. Dalam erti kata lain, istilah XR kebanyakannya merujuk pada video 360°, realiti maya dan realiti tambahan. Realiti lanjutan (XR) ialah istilah lengkap bagi realiti maya (VR), realiti tambahan (AR), dan realiti campuran (MR) yang kesemuanya termasuk menggunakan peranti untuk menindih maklumat interaktif atau mempersembahkan maklumat maya dalam kapasiti 3D .

Kita mula melihat lebih banyak perkembangan dalam penggunaan realiti maya (VR) serta peningkatan dalam pembangunan untuk program tambahan dan metaverse. Oleh itu, lebih banyak alat yang akan ada di pasaran teknologi maklumat (IT) dan lebih ramai orang dapat menerima teknologi, malah kos atau cabaran mengenai realiti semakin berkurangan. Berdasarkan fasa pandemik yang telah berlalu selama dua tahun, persekitaran pekerjaan dan sistem pendidikan telah berubah dengan lebih ramai orang bekerja secara jarak jauh. Ini merupakan peluang untuk melihat perkembangan bagaimana XR boleh membantu menyatukan orang ramai dan meneroka cara mereka agar sesuai dengan persekitaran IT dan pembelajaran mereka.

Memetik kenyataan daripada SKMM dalam artikel pada 28 Januari 2022, penggunaan teknologi 5G yang mempunyai kesinambungan pantas akan memungkinkan capaian aplikasi realiti maya (Virtual Reality), realiti terimbuh (Augmented Reality) dan kecerdasan buatan AI (Artificial Intelligence) yang sebelum ini tidak dapat dilakukan dengan 4G. Perancangan 5G di Malaysia ialah salah satu sokongan dalam pembangunan realiti lanjutan.

Realiti maya menjadi antara peluang terbaik yang membolehkan pelajar mempraktikkan kemahiran yang pelajar tidak biasa. Pereka bentuk realiti maya boleh mengubahsuai dengan meletakkan pengguna atau pelajar ke dalam persekitaran yang realiti untuk mempelajari dan mempraktikkan sesuatu konsep. Contohnya, membantu pelajar medikal dalam melakukan pembedahan secara realiti dalam maya. Keberkesanan XR untuk pembelajaran merupakan satu dimensi baru dalam dunia pendidikan. Penggunaan teknologi XR dalam pembelajaran mendapat sambutan kebelakangan ini selepas gelombang pandemik. Kajian di barat menunjukkan bahawa pelajar secara terbuka lebih terlibat semasa pengalaman pembelajaran menggunakan realiti maya. Pelajar juga lebih cenderung untuk menyelesaikan sesuatu aktiviti sehingga selesai.

Menyentuh tentang cabaran dalam melaksanakan realiti lanjutan dalam pembelajaran, program XR ini tidak disampaikan dengan cara yang sama seperti ePembelajaran yang sedia ada digunakan, yang mana salah satu andaian memerlukan pelajar mempunyai komputer riba atau komputer meja untuk mengakses program tersebut. Untuk menggunakan program realiti lanjutan, pelajar perlu menyediakan beberapa komponen seperti set kepala dan beberapa komponen lain. Antara cabaran lain pelajar perlu belajar untuk mengorientasikan sesuatu teknologi seperti mempelajari cara menggunakan pengawal tangan dan merasa selesa dengan set kepala untuk kali pertama.

Pada 18 Ogos 2022 lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah melancarkan Makmal Kecerdasan Buatan AI (Artificial Intelligence) yang diadakan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Ini merupakan salah satu inisiatif untuk mengatasi cabaran dalam melaksanakan realiti lanjutan bagi sektor pendidikan di Malaysia.

Masa depan Realiti Lanjutan untuk perlaksanaan dalam sektor pendidikan adalah tidak jelas sama ada para pelajar perlu untuk mendapatkan komputer riba dan set kepala VR. Perkara yang jelas ialah teknologi semakin berkembang pesat, peranti lebih mampu milik dan kit alat AR terbina dalam telefon. Keupayaan untuk mengadaptasi peranti boleh pakai dan menggunakannya di dalam institut pengajian semakin diharapkan dalam pembelajaran. Jika peranti menjadi lebih inovatif dan lebih mudah untuk digunakan, diperoleh dan diedarkan, XR akan menjadi alat yang lebih biasa dan bersepadu dalam persekitaran pembelajaran pendidikan di Malaysia.

Pada masa ini, kita berada pada peringkat awal XR. Keterbukaan perlaksanaan ini di Malaysia masih sedang mendalami fasa permukaan teknologi dan keupayaannya. Pereka bentuk semakin baik dalam membangunkan pengalaman XR, dan alatan menjadi lebih canggih dalam menyampaikan maklumat. Kita juga dapat melihat syarikat menjenamakan semula serta meningkatkan taraf XR. Persoalan untuk masa depan bukanlah sama ada teknologi itu akan menjadi sebahagian daripada persekitaran kerja atau pembelajaran, tetapi sejauh mana keberkesanan penggunaannya terhadap corak pendidikan di Malaysia.

 

 

 


Ts. Dr. Mazidah Mat Rejab

Pensyarah Kanan

Fakulti Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)