Berita Harian | 31 Oktober 2022 :

Sabtu ini, bermula secara rasmi kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan kemuncaknya akan diterjemahkan pada 19 November nanti iaitu pada hari pengundian.

Berdasarkan situasi politik semasa tanah air, kempen PRU15 dijangka berlangsung lebih hangat dan sengit walaupun bakal dibayangi kempen menerusi media sosial.

Jika dulu, gelanggang kempen banyak bergantung kepada sesi ceramah di seluruh pelosok negara, namun kini bahan kempen dilambakkan di media sosial dan internet. Di pentas maya ini, kesahihan maklumat serta ketepatan data tidak lagi dapat dikawal.

Semua orang boleh berkongsi apa sahaja maklumat tanpa perlu terlebih dahulu memastikan kebenarannya. Di sinilah berlaku pertembungan maklumat sahih serta bermanfaat dengan maklumat palsu, fitnah serta adu domba yang boleh memudaratkan masyarakat.

PRU15 juga menyaksikan jumlah pengundi baharu agak tinggi iaitu melebihi 5.3 juta orang dan sebahagian besar daripadanya adalah anak muda dalam kalangan Undi 18. Golongan ini pengguna media sosial terbesar dan banyak bergantung kepada internet mendapatkan berita serta maklumat.

Dengan pengetahuan politik dan isu semasa yang cetek, mereka terdedah kepada kecelaruan maklumat serta pemahaman tepat terhadap isu semasa negara.

Menyedari kepentingan media sosial dalam kempen politik, ada pihak sanggup mengeluarkan belanja besar mewujudkan pasukan cybertrooper semata-mata untuk menggerakkan kempen maya.

Ruang kempen diwujudkan bertujuan memberi ruang kepada calon memenangi hati pengundi. Calon sepatutnya menjadikan peluang berkempen ini membentangkan manifesto atau wawasan hendak mereka bawa sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat.

Kesempatan ini sepatutnya digunakan sebagai wadah menyeru penyokong menggunakan kuasa mengundi menentukan hala tuju negara lebih baik daripada sebelumnya.

Namun, apa yang berlaku pada hari ini bermacam-macam budaya tidak sihat seperti penipuan, provokasi, rasuah, keji-mengeji dan fitnah berleluasa menyebabkan politik dan pilihan raya dianggap kotor.

Adakalanya suasana kempen panas mencetuskan pergaduhan di antara penyokong parti bertanding kesan daripada cetusan provokasi keterlaluan.

Ahli politik di Malaysia tidak sepatutnya mencontohi falsafah Itali, Nicholo Machiavelli dalam meraih tampuk kuasa. Antara falsafah beliau, untuk sesebuah kerajaan mengekalkan kuasa, menteri harus mengabaikan pertimbangan moral sepenuhnya dan menaruh segala keyakinan terhadap kekuatan dan kepintaran menipu.

Dengan kata lain, untuk mendapatkan sokongan rakyat dalam memegang kekuasaan, apa juga kaedah sama ada beretika atau tidak, halal atau haram, tidak lagi menjadi isu. Yang penting, matlamat menghalalkan cara jika mengikut fahaman itu.

Hakikatnya, berkempen itu seperti berdakwah kepada kebaikan. Maka tidak wajar calon dan penceramah menggunakan metod jijik dan kotor semata-mata untuk meraih sokongan.

Elak gugat keharmonian masyarakat

Perbuatan mencela peribadi calon lawan, mengejek dengan kata-kata kasar ketika kempen adalah tindakan mencemar akhlak dan menggugat keharmonian masyarakat.

Dalam hal ini, calon dan jentera parti mesti memahami politik itu salah satu kaedah untuk mengajak masyarakat ke arah kebaikan. Mereka perlu berkempen mengikut lunas undang-undang selain berpandukan akhlak terpuji, menjaga keharmonian masyarakat majmuk serta bebas daripada segala anasir negatif.

Jentera kempen perlu lebih fokus mengetengah kan kekuatan parti yang disokong, menawarkan manifesto dengan idea baharu dalam ekonomi dan sosial serta perancangan jangka masa pendek dan panjang untuk kemakmuran negara

” Mereka perlu berkempen mengikut lunas undang-undang selain berpandukan akhlak terpuji, menjaga keharmonian masyarakat majmuk serta bebas daripada segala anasir negatif “

Titah Agong jadi pedoman

Parti dan calon perlu menjadikan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai pedoman apabila menasihatkan semua calon dan penyokong parti mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen PRU15.

Baginda turut menitahkan semua calon bertanding secara sihat dengan mengelak kempen menyerang dan akur dengan garis panduan undang-undang serta peraturan ditetapkan pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pendukung parti dan calon perlu menghindari amalan fitnah dan adu domba seperti menyebarkan foto atau video palsu atau suntingan berbaur fitnah.

Bahan kempen disediakan perlu lebih memberi tumpuan kepada fakta sahih, data menyokong objektif manifesto serta pesanan positif ke arah mewujudkan negara lebih berjaya.

Akhlak ahli politik semasa berkempen adalah cerminan kepada tingkah laku mereka apabila memegang kuasa kelak. Malah akhlak buruk ini mungkin akan terbawa-bawa hingga ke Parlimen jika tidak dikawal mulai sekarang.

Pengundi pula harus gunakan prestasi kempen calon sebagai salah satu pertimbangan untuk mengundi nanti. Apa yang penting, pengundi perlu ada rasa tanggungjawab membuat pilihan, bukan bersandar sentimen dan emosi semata-mata.

Ahli politik terutama calon dan penyokong pula perlu lebih bertanggungjawab dan matang ketika berkempen dengan mengutamakan aspek kedamaian, keharmonian dan kasih sayang.

Akhlak, adab serta kesantunan sosial tidak boleh digadaikan semata-mata ingin meraih populariti dan sokongan pengundi. Justeru, sudah tiba masanya PRU15 menjadi medan kepada budaya berpolitik Malaysia bertamadun serta pilihan raya diwarnai citra positif dan santun. Kempen cara lama seperti memburukkan calon lawan, menyelongkar segala kesilapan silam pemimpin atau kerajaan perlu dijauhi dalam usaha negara mewujudkan politik matang dan sejahtera.

Artikel ini juga diterbitkan di :

1. bharian.com, 31 Oktober 2022 : https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/10/1018706/amal-politik-matang-henti-kempen-burukkan-pihak-lawan-amal-politik

Shafry Salim

Timbalan Pendaftar

 Pusat Kepimpinan dan Kompetensi

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)