HARIAN METRO | 31 Oktober 2022 :

Oleh Mohamad Fahd Rahmat rencana@hmetro.com.my

Jam dinding sudah menunjukkan jam 2 pagi, seorang lelaki masih mundar-mandir dalam kedai serbaneka di tengah-tengah bandar Bristol, England.

Langkahnya kekok, kakinya seakan jalan ‘mengengkang,’ namun digagahi demi tanggungjawab sebagai penyelia sambilan di situ.

Ada harinya dia melayani permintaan pelanggan yang mahu membeli minuman dan makanan, adakalanya sekadar bicara berbahasa-basi dengan pelanggan yang datang mencari rokok.

Begitulah rutin hujung minggu Profesor Ts. Dr. Zaidi Embong yang bermula dari Pengorbanan ketika di England berbaloi selepas bergelar Profesor, tabur bakti pada anak watan tengah malam hingga awal pagi sekitar tahun 2004 hingga 2008.

Dia terpaksa bekerja sambil belajar bagi menyara nafkah diri dan keluarganya serta memburu segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Fizik di University of Bristol, England.

Dengan beroleh upah kira-kira RM 2,729 (500 pound sterling) sebulan dia tidak betah membiarkan kesakitan dialaminya untuk mengalah.

Meskipun sudah menerima biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebanyak RM 3,821 (700 pound sterling) sebulan, namun beliau terpaksa melakukan kerja sambilan kerana kos sara hidup yang tinggi.

Rutin pekerjaannya itu dijalani selama empat tahun hinggalah berjaya menamatkan pengajian PhD pada usia 34 tahun.

Namun ketika itu, pada fikirannya kesakitan kaki ditanggungnya itu dianggap sakit biasa.

Sehinggalah pada tahun ketiga pengajian PhD di sana, dia disahkan menghidap penyakit jarang ditemui iaitu Miyoshi Dystropy yang menyebabkan otot semakin mengecil dari semasa ke semasa.

Rupa-rupanya apabila diimbas kembali, penyakit dialaminya itu sudah menunjukkan tanda-tanda sejak belajar di Sekolah Menengah Tinggi Melaka lagi.

Ketika itu, beliau aktif dalam akademik dan sukan termasuk bermain bola sepak, menyertai acara olahraga selain menjadi ahli Kadet Bersatu Malaysia.

“Saya masih ingat lagi di tingkatan lima ketika menyertai acara larian 4 x 100 meter berpagar, saat berlari kaki saya tiba-tiba rasa kejang, otot tiba-tiba lemah dan pedih, namun saya diam serta abaikan.

“Malah saya hanya sapu minyak angin, masa itu tidak tahu (tanda-tanda penyakit) dan saya tetap aktif melakukan aktiviti termasuk berkawad dan masuk keluar hutan sampailah habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Apabila tamat tingkatan lima, saya bekerja sambilan di Kuala Lumpur, masa itu abang saya tegur kenapa saya berjalan mengengkang, macam terenjut-enjut, tetapi saya sangkakan mungkin kesan ketika berlari dahulu.

“Selepas itu, saya dapat peluang belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor pun saya tetap aktif dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan arwah bapa pun pernah tanya kerana ketika solat keadaan saya lain macam,” katanya.

Dalam keadaan tidak sedar dan tidak mengendahkan simptom itu, semakin lama, perlahan-lahan keadaan dirinya menjadi tidak berdaya, hinggakan tidak mampu berlari malahan kakinya terasa semakin berat untuk melangkah.

“Ketika pengajian ijazah sarjana, tiba- tiba nak main badminton tak boleh, nak berlari-lari anak pun tak boleh, benda ini ‘trigger’ ketika saya di tahun lima, saya ambil keputusan drastik tidak mahu aktif bersukan dan menumpukan sepenuhnya untuk menyiapkan tesis.

“Rupa-rupanya kesan tak aktif sukan menyebabkan penyakit ini semakin ‘trigger’ sama seperti dihadapi arwah Mokhtar Dahari.” katanya.

Bapa idola kejayaan

Dilahirkan sebagai anak bongsu daripada 11 beradik dan kematian ibu sejak berusia 10 tahun menyebabkan anak kelahiran Kampung Ayer Molek, Kuala Sungai Baru, Melaka ini amat rapat dengan arwah bapanya, Embong Mahmood.

Menyifatkan ayahnya sebagai idola dalam hidup di samping Nabi Muhammad SAW, sikap rajin berusaha Profesor Zaidi banyak dipengaruhi sikap bapanya yang sangat bekerja keras dalam hidup.

“Ketika saya muda dulu, saya sentiasa optimis, dan sentiasa mahu mencapai kejayaan demi kejayaan.

“Ini disebabkan latar belakang keluarga saya bukan keluarga yang senang, arwah bapa saya pencen polis, arwah bapa sanggup kayuh basikal dari Melaka ke Kuala Lumpur dari Segamat sampai ke Johor Bahru menjual tikar pandan untuk membesarkan kami 11 beradik.

“Arwah ayah meninggal dunia pada usia 72 tahun akibat sakit tua, dan ibu, Zainab Md Yassin, meninggal dunia akibat angin ahmar ketika saya berusia 10 tahun,” katanya.

Meskipun pergerakan terbatas, namun tidak sesekali menyebabkan dirinya turut terperangkap dalam pemikiran kurang upaya malah sentiasa berani ke depan dengan melupakan kecacatan yang ada.

“Saya berani tonjolkan diri, saya lupakan kecacatan saya, saya tak fikir apa yang masyarakat fikir, saya ke depan sebab motivasi dalaman diri saya sejak kecil.

“Walaupun keadaan saya orang kelainan upaya (OKU), sifat saya, sikap yang normal masih berada dalam diri, semangat juang dan motivasi tak pernah putus sampai sekarang.

“Saya akan cuba sebaik mungkin dan akan berkhidmat lagi 10 tahun, namun apa-apa saya serah kepada takdir tuhan , saya serah pada Allah dan saya reda dengan apa saya dapat, saya anggap apa saya dapat ini kebaikan.

“Allah beri saya kebaikan, kita tahu setiap satu penyakit itu penghapus dosa dan tujuannya untuk mendekatkan diri kita dengan- Nya dan saya yakin selagi Allah beri saya kekuatan saya akan teruskan,” katanya.

Walaupun keadaan saya orang kelainan upaya (OKU), sifat saya, sikap yang normal masih berada dalam diri, semangat juang dan motivasi tak pernah putus sampai sekarang – ZAIDI EMBONG

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. hmetro.com, 31 Oktober 2022: https://www.hmetro.com.my/akademia/2022/10/897958/abai-sakit-demi-ilmu