Utusan Malaysia, 27 Ogos 2022 :

SEPERTI sebahagian besar penjawat awam di Putrajaya, saya juga tinggal di luar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu meskipun bertugas khusus bagi membuat liputan berita di situ. Kebetulan saya menetap tidak jauh dari stesen kereta api di Bangi, Selangor, yang asalnya dibuka oleh penjajah British pada 1902 sebelum dibina semula dengan lebih moden pada 1995.

Bagi penduduk pekan koboi ini, memang lumrah terpaksa mendengar irama sayup bunyi enjin komuter lebih 40 kali berulang-alik antara Batu Caves dan Pulau Sebang Tampin setiap hari. Itu belum dicampur bingit bising kereta api barang selain perkhidmatan tren elektrik (ETS) antara Arau dan Gemas yang silih melepasi stesen landasan berkembar ini.

Ironi, tidak pernah pula ada rekod penduduk merungut dek bunyi hingar daripada lokomotif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu.

Bagaimanapun, baru-baru ini saya difahamkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan memanggil pengurusan operator rel itu. KTMB dan Express Rail Link Sdn. Bhd. dipanggil bertemu pengarahnya ekoran aduan penduduk kononnya bunyi bising tren. Ia menggambarkan betapa seriusnya isu itu berkaitan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Untuk rekod, pasukan seramai empat penyelidik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pernah melakukan kajian empirikal terhadap kadar kebisingan tren KTMB pada 2017. Penyelidikan saintifik julung kali itu turut mendapat kerjasama JAS yang memang ada garis panduan khusus mengenai tahap pencemaran bunyi diukur berdasarkan unit desibel (dBA).

KEMATIAN

Rupa-rupanya agensi itu menetapkan dua kadar bising berbeza mengikut tempoh waktu iaitu dari pukul 7 pagi sehingga 10 malam dan 10 malam sehingga 7 pagi keesokan.

Hasil eksperimen itu terbukti tahap hingar adalah berbeza mengikut lokasi antara stesen di pekan dan bandar selain bentuk bangunan atau objek yang dilalui oleh sesebuah kereta api. Juga jenis tren yang bergerak kerana ETS didapati penyelidik UTHM sebagai lebih senyap diikuti komuter, tren antara bandar berenjin diesel dan paling bising tentulah kereta api barang.

Maka sebab itulah banyak kes kematian orang dilanggar komuter dan ETS kerana dua tren ini amat senyap dengan bunyi kehadirannya hanya dapat dapat didengar kurang 250 meter.

Kesimpulannya, mereka yang mengadu konon tren bunyi kuat kemungkinan besar tinggal betul-betul di tepi landasan walhal realitinya mana ada rumah dibina lima meter dari landasan.

Kelazimannya, ruang jurang dengan landasan yang dirujuk sebagai zon penampan memang direka bagi menyerap bunyi tren dan jika ada sekalipun, tembok kalis bising akan dipasang. Justeru, timbul persoalan, apakah anak muda masa ini jenis manja, suka kecoh mengadu isu remeh, sedangkan puluhan tahun generasi lama boleh pun relaks dengar hingar kereta api?