KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalinkan kerjasama pintar dengan UPECA Aerotech Sdn. Bhd. dan Spirit Aerosystems Malaysia Sdn. Bhd. bagi meningkatkan kualiti akademik melalui pendekatan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (WBL) yang dilaksanakan oleh Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP).
Bagi tujuan tersebut satu majlis memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara ketiga-tiga pihak telah dilaksanakan ketika berlangsungnya Majlis Perasmian Malaysia Aerospace Summit 2022 (MyAERO’2020) di KLCC, Kuala Lumpur pada 16 Ogos lalu yang disempurnakan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.
Kerjasama pintar berkonsepkan formula ‘menang-menang’ bersama dua buah syarikat berprofil tinggi Malaysia khususnya di dalam pembuatan alatan-alatan ganti pesawat turut mendapat perhatian daripada National Aerospace Industry Coordinating Office (NAICO), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
UTHM diwakili Dekan FKMP, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Bukhari Manshoor, manakala UPECA Aerotech Sdn. Bhd. pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Kavan Jeet Singh dan Spirit Aerosystems Malaysia Sdn. Bhd. diwakili Timbalan Presidenya, Datuk Zulkarnain Mohamed.
Kerjasama bersama kedua-dua syarikat ini bakal memberi peluang penempatan kepada para pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pembuatan Pesawat) dengan Kepujian, FKMP melalui pendekatan akademik Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (WBL) iaitu subset pembelajaran di tempat kerja.
FKMP menyokong konsep 3U1i yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum ini yang menyediakan ruang pendidikan fleksibel bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar melalui WBL dan perkhidmatan yang secara efektifnya hanya boleh diperolehi melalui penerokaan di luar kampus. khususnya dengan industri yang berkaitan bidang aeronautik/aeroangkasa.
Untuk tujuan pemahaman, di bawah struktur kurikulum ini, pelajar-pelajar FKMP ini akan mengikuti pengajian di universiti selama tiga tahun dan akan mengikuti modul pembelajaran berasaskan pengalaman di industri selama setahun.
Bagi tempoh kumulatif satu tahun di industri, kaedah WBL akan diterapkan, yang merujuk secara khusus kepada pencapaian hasil pembelajaran berstruktur yang diperoleh melalui pengalaman melaksanakan peranan atau fungsi kerja.
WBL akan dilalui oleh pelajar pada tahun akhir pengajian (dua semester) di industri-industri yang terpilih. Semasa di industri, pelajar akan didedahkan kepada modul-modul tertentu di samping berpeluang mengaplikasikan pengetahuan akademik dan kemahiran teknikal yang dipelajari di universiti.
Modul-modul yang akan dijalankan di industri akan dirangka bersama-sama dengan industri pembuatan pesawat di Malaysia.
Jalinan kerjasama ini memberi peluang untuk merekrut modal-modal insan mahir mengikut acuan dan keperluan syarikat mereka.
Pendekatan ini bertepatan dan sesuai dengan prestasi sektor bisnes pembuatan alat-alat pesawat dan penyenggaraan pesawat negara yang telah merekodkan peningkatan yang amat ketara selepas pembukaan pintu sempadan negara dan fasa peralihan ke endemik.
Ketua Jabatan Kejuruteraan Pembuatan FKMP, Prof. Madya Ts. Dr. Omar Mohd Faizan Marwah @ Omar meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap MoU ini kerana faedah yang diperolehi melalui sesi libat sama bersama industri bakal mengupayakan peningkatan visibiliti program akademik ini dan aktiviti pemerkasaan kualiti akademik secara berterusan bagi program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pembuatan Pesawat) dapat berlaku dan dicapai.
“MoU ini juga membawa semangat yang besar ke arah menggalakkan penambahbaikan ekosistem inovasi industri aeroangkasa negara dan hubungan universiti-industri di Malaysia selari dengan hasrat Malaysia Aerospace Industry Blueprint 2030,” katanya.