BANGKOK, 17 Julai 2022  – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya meraih tempat pertama kategori ‘On-line @homeedu’ bagi pertandingan robotik terbesar dunia iaitu ‘World RoboCup 2022’ yang berlangsung di Bangkok pada 11 hingga 18 Julai 2022.

Pertandingan anjuran Worldwide Robocup Federation ini melibatkan penyertaan 45 negara antaranya Belanda, Sweden, Sepanyol, Mexico, Jepun, Indonesia, United Kingdom, Thailand, Brazil, Jerman, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu.

Tiga kategori pertandingan telah disertai UTHM iaitu ‘On-line @homeedu,’ ‘On-site @homeedu’ dan juga ‘On-site @home Major League.’

UTHM dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) dan Dr. Jefrey Tan dari My-Edu meraih gelaran juara bagi kategori ‘On-line @homeedu’ mengalahkan 14 pasukan lain dari Jepun, Amerika, Mexico, dan China.

Manakala bagi kategori ‘on-site @homeedu,’ hasil kolaborasi  antara UTHM,  UM (Ketua) dengan My-Edu pula mendapat tempat kedua menewaskan enam pasukan lain dari Mesir dan Thailand.

Bagi kategori ‘on-site @home Major League,’ hasil kolaborasi antara UTHM,  Universiti Tun Abdul Razak (UTAR) dan My-Edu yang mempertaruhkan robot bernama Hussein-Bot dan UTAR-Bot telah berjaya memasuki peringkat separuh akhir.

Hanya menggunakan robot bernilai RM40 ribu, mereka berjaya mengalahkan pasukan Softbank Japan (Chief Of Science Office) yang mempertaruhkan robot bernilai kira-kira RM600 ribu dan juga pasukan LARs dari University of Leeds yang menggunakan robot TIAGo bernilai RM450 ribu.

Pertandingan ini disertai oleh sembilan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dan dua pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina iaitu Muhamad Faizul Akma, Muhammad Zulfauzan Fahmi, Muhammad Amirul Amri, Zubair Adil Soomro, Nur Nazifa, Siti Nurlina, Muhamad Aliif Aimran, Mohd Fakhruddin, Muhammad Fikri, Mohd Irfan dan Rohadatul Aisyah, yang mana mereka telah mereka cipta dua robot servis iaitu HUSSEIN-Bot dan BAY-XEE-Bot.

Mereka diselia oleh Dr. Abu Ubaidah Shamsudin dari Electric Vehicle Research Centre (EV-REC) selaku penyelia utama, Hazwaj Mhd Poad,  Dr. Herdawatie Abdul Kadir dan dibantu oleh Rosley Sawarno serta FKEE, Pusat Pembangunan Pelajar (PBP) dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), UTHM.

Menurut Dr. Abu Ubaidah HUSSEIN-Bot dan BAY-XEE-Bot merupakan robot servis kuarantin yang mampu melakukan interaksi kompleks dengan manusia.

“Proses kuarantin yang mengambil masa yang agak lama boleh menimbulkan tekanan kepada manusia.

“Maka bagi menyelesaikan masalah ini robot tersebut dilengkapi kecerdasan buatan yang mampu mengenal pasti keadaan emosi manusia seperti marah, sedih dan gembira dan sentiasa berusaha memperbaiki emosi manusia dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan.

Malah manusia juga tidak perlu bersusah payah memanggil robot untuk datang kerana robot tersebut mampu menganalisa ekspresi wajah serta kecerdasannya mampu mengenal pasti bila ia diperlukan, ” jelas beliau.

Sementara itu Dekan FKEE, Profesor Madya Dr. Rosli Omar turut merakamkan ucapan tahniah beliau kepada pasukan ini.

“Saya berharap kejayaan pasukan ini mampu memberikan inspirasi kepada pelajar lain dalam menyahut cabaran globalisasi ilmu, sentiasa melihat ke hadapan dan berusaha mengharumkan nama universiti di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pertandingan ini merupakan satu platform bagi para pelajar UTHM untuk mengembangkan bakat dan mempelajari kemahiran baharu dengan penglibatan pihak industri dan universiti lain sekali gus mampu mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih luas.

Pasukan ini juga bakal bertanding di Robocup Bangkok 2023. Tonton hasil reka cipta mereka untuk RoboCup 2022 di pautan berikut  https://youtu.be/r05VaEViaXM

 

 

Robot Servis HUSSEIN-Bot

Robot Servis BAY-XEE-Bot

Berita ini juga telah diterbitkan dalam :

1.malaysiagazette, 18 Julai 2022 : https://malaysiagazette.com/2022/07/18/uthm-raih-juara-kategori-di-world-robocup-2022/

2. malay.news, 18 Julai 2022 : https://www.malay.news/uthm-raih-juara-kategori-di-world-robocup-2022/