Oleh Noor Azlin Yamin / CyberSecurity Troopers
Bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber dan mengurangkan jenayah siber dalam kalangan masyarakat, satu webinar Cyber Security Awareness 3.0 telah dilaksanakan pada 4 Jun 2022 lalu secara dalam talian.
Webinar ini telah melibatkan kerjasama antara Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), CyberSecurity Malaysia Community (RawSec) dan Kolej Komuniti Segamat 2.
Sejak 2017, pelajar-pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit Keselamatan Maklumat dan Web dibawah bimbingan Noor Azlin Yamin begitu komited dalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan masyarakat.
Menurut pengarah program, Mohamad Hafiz Mansor tahap kesedaran keselamatan siber dalam kalangan rakyat di negara ini masih rendah sehingga ramai menjadi mangsa jenayah siber.
Malah masih ramai juga rakyat di negara ini tidak mengamalkan penggunaan teknologi secara beretika dan berhikmah.
“Adalah menjadi tanggungjawab kursus ini sebagai medium perantaraan dalam membantu masyarakat memperolehi ilmu pengetahuan dan kemahiran keselamatan siber,” katanya.
Sepanjang program ini berlangsung, peserta-peserta telah menerima perkongsian ilmu yang menarik dan bermanfaat serta kemahiran yang boleh dipraktikkan tentang Scam, Bagaimana Hendak Selamat dalam Dunia Siber?, Fitnah Alam Siber, Web 3.0 dan Secured Today Does Not It Will Be Secured Tomorrow.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Mohamad Sirajuddin Jalil semasa menjadi panel jemputan webinar berkata, masyarakat perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai keselamatan siber dan teknologi terbaharu serta perlu sentiasa berwaspada terhadap pelbagai bentuk ancaman siber terkini.
Tambah beliau, program sebegini sangat memberi impak yang tinggi kepada kumpulan sasar dan juga kepada pelajar kursus itu sendiri.
“Penganjuran program ini juga boleh dijadikan sebagai platform pencarian bakat-bakat baharu dalam bidang keselamatan siber,” katanya.
Oleh itu, masyarakat perlu mengambil langkah berjaga-jaga antaranya dengan memastikan kata laluan yang kukuh, memasang dan mengemas kini perisian antivirus pada gajet digital, menggunakan rangkaian yang selamat semasa melakukan transaksi dalam talian, sama ada untuk urusan perbankan atau pembelian barangan dan sentiasa berwaspada dengan perkongsian maklumat peribadi dalam usaha membanteras jenayah siber.