Oleh Aisyah Nabila Zaiton
BATU PAHAT – Pusat Kebudayaan Universiti (PBU), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Jabatan Teater Tari dengan kerjasama Kelab Warisan telah menganjurkan UTHM Got Talent kali ke-8 pada 3 Jun 2022 lalu bagi mencungkil bakat baharu pelajar.
Program yang dijalankan secara fizikal bertempat di Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail, kampus induk ini menyaksikan 13 penyertaan bakat baharu terdiri daripada para pelajar UTHM dan masyarakat setempat.
Dr. Mohd Nizam Attan, Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti, Dr. Mohd Nizam Attan turut hadir memberi sokongan bersama lebih 200 penonton.
Menurut penasihat program, Rosdi Abdullah pertandingan UTHM Got Talent 2022 ini merupakan program tahunan Pusat Kebudayaan Universiti.
“Bermula pada tahun 2014, pertandingan ini diberi nama UTHM Idol dan kemudian bertukar UTHM Got talent pada tahun 2019.
“Ramai bakat-bakat baharu berjaya dicungkil bagi mewakili UTHM ke peringkat yang lebih tinggi seperli MAKUM, negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau pertandingan ini pernah mencungkil bakat-bakat baharu yang telah menjuarai pertandingan seperti Battle of The Band MAKUM, Tarian SAKTI IPT dan Pengisahan Kenegaraan Kebangsaan.
“Sebagai universiti berteraskan sains,teknologi dan kejuruteraan, para pelajar UTHM harus aktif untuk memberi nilai tambah pada diri agar dapat bersaing di luar sana,” katanya.
Program ini juga turut dimeriahkan dengan aktiviti keusahawanan iaitu jualan makanan daripada pelajar UTHM dan komuniti setempat.
Program yang berlangsung pada 9 Mei ini bermula dengan pendaftaran dan berakhir dengan pentas saringan dan pentas final pada 3 Jun 2022.
Pemenang tempat pertama dimenangi oleh Nadia Azman, tempat kedua oleh Nur Khairiah Mohd Khalid manakala tempat ketiga oleh Ahmad Fuad Tajul Ariffin.
Pemenang saguhati pula diraih oleh Muhammad Naufal Lukman dan Muhammad Aiman Mohd Nasir.