Setelah lebih dari dua tahun kita berhadapan dengan penularan pandemik akibat Covid-19, akhirnya kita memasuki fasa peralihan ke endemik dan mula menjalani kehidupan seperti biasa secara beransur-ansur. Pintu-pintu masuk negara juga sudah mula dibuka kepada pelancong asing. Ramai antara kita yang sudah mula menjalani kehidupan seperti sebelum adanya pandemik. Bagi orang yang suka dengan aktiviti melancong, pastinya ada yang telah menyenaraikan destinasi-destinasi yang ingin dilawati selepas era pandemik ini.
Jepun sudah semestinya menjadi salah sebuah negara dalam senarai yang ingin dilawati oleh orang-orang yang gemar melancong ke luar negara. Keindahan negaranya serta keunikan budaya yang masih terpelihara sering kali menjadi tarikan kepada para pelancong untuk melawat negara matahari terbit ini. Negara Jepun juga antara negara yang mula bersedia untuk membuka pintu masuknya kepada pelancong asing secara berperingkat-peringkat.
Rancanglah perjalanan kita dengan baik agar kita dapat mengurangkan risiko berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini. Jika kita ingin melancong ke Jepun, terutamanya dalam suasana penularan Covid-19 yang masih belum berkesudahan ini, sudah tentulah pelbagai persiapan rapi perlu diambil dan perlu diberikan perhatian. Perkara utama yang menjadi lebih penting daripada perkara yang lain adalah penekanan kita dalam aspek kesihatan dan perubatan. Sebaiknya, pastikan kita mempunyai polisi insurans yang dapat melindungi kita sekiranya apa-apa berlaku kepada kita ketika dalam perjalanan kita nanti.
- Peruntukan kewangan yang lebih daripada sebelum pandemik
Dalam hal kesihatan, penduduk di Jepun sendiri pun diwajibkan untuk mengambil polisi insurans (Health Insurance). Dengan adanya insurans ini, penduduk di Jepun hanya perlu membayar sebanyak 30 peratus sahaja daripada jumlah perubatan. Sebanyak 70 peratus lagi akan ditanggung oleh syarikat insurans. Dalam perkongsian Dr. Sufi Norhany yang merupakan seorang doktor yang bertugas di Jepun, (https://www.thevocket.com/wanita-ini-kongsi-kos-rawatan-yang-anda-perlu-bayar-sebagai-pesakit-luar-di-jepun/) kos perubatan pesakit luar tanpa adanya insurans atau surat jaminan, bayaran minimum mencecah sehingga 18,000 Yen (lebih kurang RM620.00). Jika kos sebagai pesakit luar pun sudah tinggi, apatah lagi jika kita mengalami sakit yang memerlukan kita mendapatkan rawatan di hospital dan memerlukan rawatan lanjut.
- Fahami sistem perubatan di jepun
Sistem perubatan Jepun yang sedia ada agak rumit bagi orang asing. Antara sebab utama adalah disebabkan kekangan komunikasi. Kita sedia maklum bahawa negara Jepun hanya menggunakan bahasa Jepun sahaja dalam pelbagai urusan. Ini termasuklah dalam bidang kesihatan. Tidak ramai petugas-petugas kesihatan di Jepun yang boleh bertutur dengan baik dalam bahasa Inggeris. Dalam sistem perubatan Jepun ada suatu perkara yang disebut sebagai Tarai Mawashi.
Tarai Mawashi membawa maksud mengelak dari melakukan tugasan penting. Tugasan itu biasanya merupakan tugasan yang berat. Jadi, ianya diserahkan kepada orang lain. Dalam hal perubatan pelancong asing, biasanya pesakit mungkin akan ditolak dari menerima rawatan disebabkan tidak ada pegawai perubatan yang boleh bertutur dengan baik dalam bahasa Inggeris. Hal seperti ini berlaku disebabkan mereka perlu melindungi diri mereka sendiri dari memberikan sesuatu rawatan yang salah atau kurang bersesuaian disebabkan kekangan komunikasi yang boleh membawa kepada salah faham.
Tarai Mawashi dalam sistem perubatan Jepun ini bukan sahaja berlaku kepada pelancong asing, tetapi turut berlaku kepada orang Jepun sendiri. Faktor-faktor seperti kekurangan pakar perubatan atau fasiliti dalam kes-kes yang dirujuk serta kuota pesakit yang telah mencapai tahap maksimum antara faktor yang menyumbang berlakunya Tarai Mawashi. Tarai Mawashi menjadi lebih teruk dalam situasi pandemik dan endemik ini kerana prosedur hospital menjadi lebih ketat. Jika kes-kes kesihatan orang Jepun sendiri pun boleh ditolak, apatah lagi bagi pelancong asing yang mempunyai lebih banyak kekangan.
- Sediakan ubat-ubatan yang diperlukan secukupnya
Oleh itu jika kita terfikir untuk melancong ke Jepun, pastikan kesihatan kita adalah dalam keadaan yang baik. Ubat-ubatan yang kita perlu makan setiap hari, sediakan dalam jumlah yang secukupnya. Jangan sesekali terfikir untuk membeli ubat-ubatan tersebut di Jepun. Bukan mudah untuk mendapatkan ubat-ubatan yang sama di Jepun tanpa preskripsi dari doktor atau pakar perubatan di Jepun. Malahan, mungkin kita mungkin akan melalui prosedur yang panjang hanya semata-mata untuk mendapatkan ubat-ubatan yang kita anggap “biasa” sahaja di negara kita.
Selain itu, ubat-ubatan yang kita biasa gunakan sebagai ubat persediaan jika berlaku sakit seperti demam, batuk atau selesema juga sediakanlah secukupnya. Sebaik-baiknya bawa bersama surat akuan daripada doktor di Malaysia yang menyatakan mengapa kita perlu membawa ubat-ubatan tersebut bersama kita dalam kuantiti yang tertentu. Surat ini adalah sebagai jaminan yang kita tidak membawa ubat-ubatan terlarang dari memasuki Jepun.
- Kemahiran bertutur dalam bahasa jepun
Bagi sesiapa yang merancang untuk pergi melancong tetapi tidak boleh bertutur dalam bahasa Jepun, sebaiknya pergilah melalui agensi pelancongan yang menyediakan pemandu pelancong yang boleh bertutur dalam bahasa Jepun. Jika tidak pun, sekurang-kurangnya pastikan kita mengenali sesiapa yang berada di Jepun dan boleh bertutur dalam bahasa Jepun dengan baik bagi pihak kita. Ini adalah sebagai persediaan jika berlaku sesuatu kepada kita semasa kita berada di Jepun. Pastikan juga orang yang ingin kita hubungi tersebut maklum akan perjalanan kita sebelum kita melancong ke sana. Bukan sudah berlaku sesuatu baru kita hubungi mereka.
- Elakkan melancong sekiranya dalam keadaan mengandung
Bagi yang mengandung pula adalah sangat tidak digalakkan untuk pergi melancong ke Jepun, apatah lagi dalam keadaan seperti sekarang ini. Kita sedia maklum bahawa kos perubatan di Jepun adalah sangat tinggi. Bagi kes-kes bersalin secara normal pun kos minimum mencecah sehingga 400,000 Yen (lebih kurang RM18,000). Jika berlaku kelahiran di luar jangkaan semasa melancong di Jepun bayangkanlah kos yang perlu dibayar. Penjagaan ibu dan bayi yang dilahirkan pra matang boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit.
Pelbagai aspek perlu diberikan perhatian jika kita mahu melancong ke Jepun ketika ini. Persediaan dari segi kewangan juga perlu lebih banyak berbanding dengan perjalanan sebelum adanya Covid-19. Rancanglah perjalanan untuk melancong dengan bijak. Bukan sekadar untuk memenuhi keinginan sendiri sahaja. Kos melancong itu sendiri pun sudah memerlukan belanja yang besar, apatah lagi jika berlaku sesuatu yang tidak kita jangka dalam tempoh perjalanan itu nanti. Pastinya situasi itu akan lebih menyukarkan. Persediaan yang baik sebelum melancong akan menjadikan perjalanan yang dirancang menjadi lebih lancar.
Siti Hajar Bidin
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)