Kesesakan jalan raya di kawasan itu bukan sesuatu perkara yang asing lagi.
Aliza pernah cuba menaiki pengangkutan awam yang paling hampir, iaitu di stesen Komuter Rawang dan Stesen MRT Sungai Buloh, namun ia tidak secekap yang dimahukan.
“Stesen KTM Rawang hanya lima minit pemanduan dari rumah saya, tetapi perkhidmatan KTM ada masalah jadual perjalanan, tidak seperti MRT atau LRT yang lebih kerap frekuensi perjalanannya,” katanya kepada MalaysiaNow.
Aliza yang bekerja di Petaling Jaya itu pernah mencuba perkhidmatan MRT bermula di Sungai Buloh, namun perjalanan dari rumahnya ke stesen itu mengambil masa setengah jam.
“Bila dikira semula, tambang MRT dan duit parkir ke tempat kerja melebihi kos jika memandu sendiri.
“Tambahan pula masa yang diambil lebih lama berbanding memandu kenderaan,” katanya.
Rawang, bandar yang terletak di utara Lembah Klang sudah lama menyaksikan masalah lalu lintas yang teruk, terutama di kawasan berdepan Sekolah Seri Garing.
Ia mempunyai dua stesen KTM iaitu Stesen Rawang dan Stesen Kuang.
Kedua-duanya terletak di jajaran KTM Rawang-Seremban.
Mengikut konsensus pada tahun 2014, Rawang yang berkeluasan 1065.7 kilometer persegi itu mempunyai 199,095 penduduk.
Ia dihubungkan ke Lembah Klang menerusi lebuh raya Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Rawang Bypass yang bersambung ke Jalan Kuching di Kuala Lumpur.
Jalan Kuching antara jalan utama yang sering berdepan dengan masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota.
Persoalan juga timbul mengenai kewajaran menambah jajaran stesen MRT atau LRT ke Rawang bagi mengurangkan kesesakan jalan raya bagi mereka yang bekerja di Kuala Lumpur.
Sebagai rekod, stesen terminal MRT terdekat di Rawang ialah MRT Sungai Buloh manakala stesen terminal LRT terdekat ialah Gombak.
MRT Sungai Buloh dan Stesen LRT Gombak masing-masing berjarak 18 dan 26 kilometer dari pusat bandar Rawang.
Bercakap kepada MalaysiaNow, pakar kejuruteraan trafik, Munzilah Md Rohani dari Universiti Tun Hussein Onn berkata, adalah relevan untuk memanjangkan perkhidmatan MRT ke Rawang.
“Bagaimanapun, bagi menentukan sejauh mana jajaran laluan dan juga lokasi stesen MRT, kajian terhadap permintaan perjalanan perlu dijalankan bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan kelak efektif dan efisien serta memenuhi kehendak dan keperluan pengguna.
“Selain daripada MRT, sistem pengangkutan awam lain seperti bas juga perlu dipastikan dapat diefisyenkan terutama tempoh perjalanan, kebolehcapaian, keselesaan kepada pengguna,” katanya.
Mengikut Pelan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor, 12 cadangan koridor laluan pengangkutan awam dikenal pasti namun memerlukan kos tinggi sehingga RM65 bilion.
Ia bertujuan meningkatkan nisbah pengangkutan awam kepada penggunaan kenderaan persendirian kepada 60:40 menjelang tahun 2035.
Pelan itu termasuklah jajaran LRT utara Rawang-Shah Alam.
Tambah Munzilah, selain jajaran MRT atau LRT, kerajaan boleh memperkenalkan skim perkongsian kenderaan antara pengguna jalan raya.
“Insentif boleh diberikan kepada mereka yang mengamalkan kongsi kenderaan untuk ke tempat kerja,” katanya.
Jadual waktu kerja anjal mampu menyusun pergerakan kenderaan atas jalan namun ia memerlukan kerjasama pihak majikan.
Aliza turut bersetuju dengan idea menambah jajaran MRT ke kawasan Rawang.
“Kalau ada stesen di Rawang ini, tak perlu tukar stesen atau ke Sungai Buloh lagi.
“Kemudahan yang ada sekarang masih belum memudahkan, malah ia tambah kos lagi.
“Macam mana hendak galakkan orang guna pengangkutan awam kalau ia tidak membantu?” soalnya.
Berita ini juga diterbitkan dalam ;
1. malaysianow, 6 Jun 2022 : https://www.malaysianow.com/berita/2022/06/06/tambah-jajaran-mrt-ke-rawang-mampu-kurangkan-kesesakan-trafik-lembah-klang/
2.malaysia msn.com, 6 Jun 2022 : https://www.msn.com/en-my/news/berita/tambah-jajaran-mrt-ke-rawang-mampu-kurangkan-kesesakan-trafik-lembah-klang/ar-AAY7jEg
MRT extension to Rawang, a ticket out of traffic jams in the Klang Valley?
malaysianow.com, 6 Jun 2022 : https://www.malaysianow.com/news/2022/06/06/mrt-extension-to-rawang-a-ticket-out-of-traffic-jams-in-the-klang-valley/