Penggunaan teknologi sudah lama diperjuangkan sejak 2013 lagi. Namun, di Malaysia kepentingannya terserlah setelah kemunculan pandemik pada awal tahun 2020. Bukan kerana pandemik kita terpaksa beralah kepada teknologi tetapi zaman memerlukan perubahan mengikut arus kemodenan dan teknologi tinggi. Sejak dari itu, kita telah menempuh ancaman pandemik dan melalui kehidupan norma baharu. Bezanya kita hadapi semua ini dengan penuh cabaran dan prosedur operasi standard (SOP) tersendiri.
Perubahan ini menuntut pelaksanaan kaedah penyampaian baharu dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Penerapan teknologi dan aplikasi kini sudah terbuka luas bagi semua peringkat pendidikan. Kini, kehidupan endamik ini seolah-olah mendesak masyarakat dunia termasuklan Malaysia ke arah penggunaan teknologi dan pendigitalan bahan secara menyeluruh. Rata-rata universiti dan semua peringkat pendidikan juga turut serta menyampaikan PdP secara maya.
Persediaan ke arah bahan digital amat penting pada era ini. Bukan suatu yang mudah untuk mentransformasikan bahan bercetak kepada bahan digital tetapi ia merupakan satu keperluan semasa. Tidak hairanlah kini para akademik sedang bergasak minda dan jiwa bagi meningkatkan kemahiran Information and communication Technology (ICT) dan pendigitalan bahan. Usaha murni ini bukan suatu yang mudah untuk diekplorasi malah memerlukan kemahiran tinggi dengan pelbagai aplikasi yang terkini.
Malahan, institusi juga berusaha mempertingkatkan fasiliti dan kemudahan ICT supaya pembelajaran pendigitalan ini lebih efisen. Bagi pensyarah, tidak semua mampu menggunakan teknologi dan sebahagian besar masih lagi menggunakan konsep pembelajaran teradun. Pelbagai pendekatan baru cuba diterapkan kepada pensyarah bagi mencapai aspirasi pembelajaran ini. Namun bukan semua dapat menerima kesan lonjakan ini. Kesimpulannya, penyediaan bahan digital ini perlu mengambil kira keperluan dan permintaan generasi kini dengan menyelami jiwa dan cita rasa mereka supaya hasil pembelajaran yang disampaikan lebih berkesan dan bermakna.
Konsep era pembelajaran digital
Generasi kini merupakan pelajar yang mudah menerima perubahan dan lebih terbuka. Konsep ini berasaskan kepada keperluan pelajar iaitu mereka lebih suka kepada perkara baharu dan segar. Oleh kerana bahan-bahan bercetak kurang diminati dan tiada sambutan maka, konsep pendigitalan ini sesuai disediakn kepada pelajar generasi ini.
Antara ciri-ciri bahan digital yang dianggarkan sesuai ialah ringkas dan padat. Pembelajaran melalui video, audio, multimedia interaktif, platform, aplikasi AR, VR, MR dan sebagainya adalah sebahagian darpada elemen digital. Penyampaian segerak atau tidak segerak perlu tempoh yang singkat, ringkas dan padat. Dengan pembelajaran pantas dan cergas ini memberikan keseronokan kepada pelajar yang aktif dan dinamik. Yang penting hasil pembelajaran perlu sampai dengan berkesan kerana mereke berhak menilai dan memilih mengikut citarasa sendiri. Dengan cara ini, mereka mudah bosan dan senang bertukar arah. Kemudahan capaian web 2.0 di hujung jari lebih menarik minat mereka untuk mengeksplorasi dengan lebih mudah dan cepat. Segala maklumat dan kemudahan bersifat global yang menawarkan khidmat percuma dan berbayar dapat dicari tanpa menyelak buku di depan mata.
Ketandusan interaksi
Kesan lonjakan ini menyebabkan hubungan pensyarah dan pelajar seakan hilang di sebalik skrin komputer atau telefon pintar. Semasa sesi pembelajaran memberikan suasana lebih sunyi dan searah dengan mematikan fungsi audio dan video. Pemerhatian jarak jauh ini sukar dikawal oleh pensyarah terutama bab memantau kemajuan setiap pelajar. Bahkan pensyarah tidak dapat mengenal setiap pelajar dengan lebih dekat dengan hanya melihat profil mereka di skrin sahaja. Tambahan pula, pelajar terpaksa belajar sendiri tanpa sokongan rakan sealiran. Mereka seolah-olah berada di alam yang asing atau sendirian tanpa bual bicara dan perbincangan dengan orang sekeliling. Proses ini memaksa mereka Self-Directed Learning (SDL) mengikut keupayaan sendiri. Perasaan ini memberi sedikit tekanan dan kebimbangan kepada pelajar tanpa elemen interaksi orang sekeliling.
Jujur dalam menuntut ilmu
Bagi generasi X dan kini (millennial dan Z) mungkin cukup berbeza proses pembelajaran mereka. Generasi kini lebih mengejar solidariti, kebahagiaan bersama dan eksistensi diri agar dihargai secara sosial. Sebaliknya, disiplin diri dan kejujuran kurang dititikberatkan pada setiap diri khususnya dalam menuntut ilmu yang hakiki. Kemudahan komputer dan telefon pintar telah mengubah proses pembelajaran semasa. Merujuk kepada visi pendidikan negara yang berasaskan revolusi industri ke empat, pensyarah kini bukan lagi sebagai pengajar dan sumber rujukan utama, mereka telah berperanan sebagai fasilitator bagi memantau kemajuan pelajar masing-masing dengan pelbagai interaksi maya. Semua bahan yang disediakan dapat dicapai dengan mudah oleh pelajar menyebabkan pelajar bebas berguru secara digital ini.
Sebagai generasi milenial dan Z, kemahiran insaniah amat penting dalam menuntut ilmu yang manafaat. Disiplin diri dengan menghadiri kelas, menyiapkan semua tugasan dan projek sehingga penilaian akhir yang meliputi penilaian sumatif dan formatif. Semua penilaian ini berdasarkan hasil kerja pelajar sama ada hasil kerja sendiri atau sebaliknya. Tapi, sejauh manakah penilaian ini tepat dan betul kepada pelajar. Disebabkan pengaruh teknologi ini menyebabkan pelajar sanggup menggunakan perkhidmatan yang bersifat terbuka dalam menyiapkan projek dan menyelesaikan masalah tugasan dan ujian atau peperiksaan. Pelbagai teknik juga digunakan bagi mengelirukan pensyarah atau penilai. Apabila hasil keputusan yang dikeluarkan sangat baik menyebabkan proses saringan terpaksa dilakukan bagi menyemak semula keputusan sebelum keputusan disahkan.
Justeru itu, kemahiran insaniah (KI) seharusnya didakapi oleh setiap pelajar dalam menuntut ilmu dengan pelbagai pendekatan pembelajaran. Sikap jujur itu sebenarnya dapat membentuk diri lebih displin dalam proses pembelajaran sepanjang hayat mereka di samping membina generasi yang lebih bijak. Peranan pensyarah juga sebagai penasihat yang berkesan penting dalam memberi motivasi dan inspirasi ke arah pembentukan generasi yang luhur dan moden.
Ts. Dr. Sabariah Musa
Ketua Jabatan
Jabatan Pembangunan Pembelajaran Maya
Pusat Pembelajaran Maya
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)