Oleh Suhailah Muhammad Philip

JOHOR BAHRU – Kejohanan Sukan MAKSAK Johor 2022 yang berlangsung di Stadium Olahraga Mount Austin, pada 29 Januari lalu menyaksikan atlet Universiti Tun Hussein Onn Malaysia  (UTHM) membawa pulang tujuh pingat Emas, tiga Perak dan dua Gangsa.

UTHM diwakili 10 atlet yang diuruskan oleh Ismade Niam dari Pusat Pengajian Diploma selaku pengurus pasukan.

Menurut Ismade, jumlah kutipan pingat ini merupakan suatu pencapaian yang membanggakan bagi pasukan UTHM walaupun para atletnya hanya berlatih sendiri tanpa kehadiran jurulatih.

Bagi Pasukan Olahraga Staf UTHM, pingat Emas diraih oleh Ts. Dr. Mahyuzie Jenal dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik bagi acara Lontar Peluru Lelaki dan Lempar Cakera Lelaki Kategori Junior Veteran, manakala Ismahani Shamsudin dari Pusat Teknologi Maklumat memenangi Emas bagi acara Lontar Peluru Perempuan dan Lempar Cakera Perempuan Kategori Junior Veteran.

Sementara itu, Noradzuana Samiran dari Unit Audit pula meraih Emas bagi acara 3000 meter Kategori Junior Veteran, Suhailah Muhammad Philip dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar bagi acara Lontar Peluru Senior Veteran, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Tan Lai Wai dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina bagi acara 100 meter Senior Veteran.

Bagi pingat Perak pula, Muhammad Adzlin Selamat dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) bagi Acara 400 Meter Lelaki Terbuka, Ahmad Syakir Mohammad Jamil bagi acara 1500 Meter Kategori Terbuka dan Suhailah Muhammad Philip bagi acara Lempar Cakera Kategori Senior Veteran.

Manakala pingat Gangsa pula diraih oleh Muhammad Adzlin Selamat dari FTK bagi acara 1500 meter Lelaki Terbuka dan Dr. Aslam Abdullah dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan bagi acara 3000 meter Lelaki Kategori Junior Veteran.

Penganjuran MAKSAK JOHOR disertai oleh Anggota Perkhidmatan Awam Negeri, Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun di negeri Johor.

Selain UTHM, kejohanan ini turut disertai oleh Jabatan Imigresen Negeri Johor, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Jabatan Kesihatan Johor, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Majlis Bandaraya Johor Bahru Jabatan Pengairan dan Saliran Johor serta Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kejohanan Sukan MAKSAK Johor 2022 merupakan acara pemilihan rasmi untuk mengenal pasti atlet untuk mewakili Johor di Kejohanan Sukan MAKSAK Kebangsaan 2022 yang akan berlangsung di Stadium Olahraga Mount Austin.

Atlet UTHM yang terpilih bagi Kejohanan Sukan MAKSAK Kebangsaan 2022 yang dijadualkan pada bulan Jun ini adalah Ts. Dr. Mahyuzie Jenal, Ismahani Shamsudin, Suhailah Muhammad Philip, Noradzuana Samiran dan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Tan Lai Wai.